Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Insentif tambahan $2,500 akan diberikan kepada 200 guru tuisyen MENDAKI

Sekitar 200 guru Skim Tuisyen Mendaki (MTS) kini boleh menerima insentif sehingga S$2,500 berdasarkan prestasi mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sekitar 200 guru Skim Tuisyen Mendaki (MTS) kini boleh menerima insentif sehingga S$2,500 berdasarkan prestasi mereka.

Prestasi mereka akan diukur mengikut dua kriteria yakni (i) peratusan pelajar dalam kelas yang mencatat kadar kehadiran sebanyak 80 peratus dan (ii) peratusan pelajar dalam kelas yang mencatat peningkatan satu gred sebelum dan selepas ujian.

Insentif tersebut akan diberikan kepada guru-guru MTS yang layak menjelang akhir tahun ini.

Hal itu diumumkan Timbalan Pengerusi Yayasan MENDAKI, Zaqy Mohamad di majlis penyampaian Anugerah Tutor MENDAKI 2023 pada Ahad (26 Nov).

Ia bagi mengiktiraf usaha para tutor dalam membimbing anak didik mereka.

Bagi tujuan itu juga, imbalan guru MTS dinaikkan sebanyak 20 peratus kepada S$60 sejam sejak awal tahun ini.

"Saya berharap insentif ini akan menggalak lebih ramai guru tuisyen yang berpotensi untuk tampil ke hadapan dan bekerjasama dengan MENDAKI dalam membina sebuah Masyarakat Gemilang," kata Encik Zaqy, yang juga Menteri Negara Kanan bagi Pertahanan merangkap Tenaga Manusia.

Beliau turut memberi penghargaan kepada sumbangan para guru tuisyen, ketua guru tuisyen, penyelia pusat, penjaga dan rakan-rakan kerjasama yang telah menyokong usaha MTS.

Untuk tahun ini sahaja, lebih 1,000 guru tuisyen sudahpun mengajar lebih 8,000 pelajar di sekitar 100 pusat MTS dan tujuh pusat virtual.

Encik Zaqy juga menarik perhatian tentang sikap proaktif para guru tuisyen dalam memberikan maklum balas dan saranan kepada program MTS demi kebaikan para pelajar.

Antaranya ialah menyediakan makanan buat para pelajar MTS yang hadir ke kelas setiap hari Sabtu.

"Berdasarkan pemerhatian para guru tuisyen, ini telah membantu meningkatkan semangat para pelajar semasa kelas. Kami akan terus menyemak program dan proses MTS untuk memastikan ia kekal diakses kepada lebih ramai pelajar," ujar Encik Zaqy.

PESARA 76 TAHUN DIIKTIRAF ANUGERAH SUMBANGAN CEMERLANG

Majlis yang diadakan di Max Atria, Singapore Expo itu turut meraikan sumbangan 51 guru MTS.

(Gambar: Yayasan MENDAKI)

Antaranya ialah Encik Siah Nah Nam yang menerima Anugerah Sumbangan Cemerlang.

Sepanjang 20 tahun berkhidmat sebagai Penyelia Pusat MTS di Sekolah Rendah Lakeside, beliau bekerjasama dengan para guru untuk memastikan keadaan yang selamat dan kondusif buat para pelajar dan guru tuisyen.

Ini lebih ketara semasa pandemik COVID-19 apabila beliau sendiri memastikan setiap bilik darjah sentiasa dibersihkan.

Bekas Pengurus Operasi di sekolah itu juga tidak lokek berkongsi nasihat dengan para pelajar untuk membantu mereka menangani masa-masa sukar.

Walaupun sudah mencecah usia 76 tahun, Encik Siah mahu terus berbakti dalam bidang pendidikan kerana prihatin dengan perkembangan para pelajar.

"Rasa puas hati apabila melihat mereka berjaya dan pendidikan adalah satu wadah, asas untuk kerjaya dan masa hadapan mereka," kata Encik Siah yang mempunyai tiga cahaya mata dan tiga cucu.

BEKAS PELAJAR MTS BALAS JASA DENGAN MENYUMBANG KEMBALI

Itu juga antara faktor yang terus mendorong penerima Anugerah Tutor Cemerlang, Anggreini Hamid, 41 tahun untuk terus menyumbang waktu dan tenaga menerusi MTS selama hampir 20 tahun.

Sebagai seorang bekas pelajar MTS sendiri pada tahun 1997 dan 1998, beliau memahami kesukaran yang dihadapi para pelajar.

Berbekalkan semangat untuk berbakti semula kepada masyarakat, Cik Anggreini tampil menjadi guru MTS dan membimbing generasi muda.

"Cara pembelajaran para pelajar berubah. Dari situ, saya menggunakan strategi pembelajaran dan pengajaran yang berbeza untuk para pelajar saya. Saya rasa besar hati setelah memenangi anugerah ini lagi dan saya akan terus memberi yang terbaik untuk murid-murid saya di masa akan datang," kata Cik Anggreini, seorang ibu dua cahaya mata.

Ini juga kemenangan yang keempat Cik Anggreini dalam kategori ini.

(Gambar: Yayasan MENDAKI)

Selain beliau, lagi 33 guru MTS turut diberikan Anugerah Tutor Cemerlang.

MAHU JADI INSPIRASI BUAT GURU TUISYEN YANG LAIN

Seorang lagi penerima anugerah tersebut ialah Encik Suhaimi Bidin, 37 tahun.

Ini merupakan kemenangan kali kedua beliau.

Bermula sebagai pendidik bebas, beliau tertarik untuk mengajar di MTS selepas melihat kejayaan saudara terdekatnya yang juga seorang guru tuisyen MTS.

Encik Suhaimi yang sudah berkhidmat hampir 10 tahun di MTS Sekolah Rendah Unity dan Sekolah Rendah Concord mahu menjadi inspirasi kepada para guru tuisyen yang lain pula.

"Saya menggunakan platform ini atau kemenangan saya ini untuk menjadi suara untuk memberitahu guru-guru tuisyen yang lain atau pendidik yang lain untuk lebih berusaha untuk berjaya," kata Encik Suhaimi.

(Gambar: Yayasan MENDAKI)

Kategori Anugerah Ketua Tutor Cemerlang pula diberikan kepada lima individu, manakala lagi 11 individu menerima Anugerah Perkhidmatan Lama.

Majlis di Max Atria Singapore Expo ini turut dihadiri sekitar 130 tetamu termasuk mereka yang menyumbang kepada kejayaan MTS.


Sejak dimulakan pada 1982, seramai 260,000 sudah meraih manfaat daripada MTS.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan