Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Insentif S$3 belum cukup berbaloi untuk pikat pemandu teksi ke Changi

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ramai sudah kembali melakukan perjalanan ke luar negara, tetapi sesetengah pemandu teksi menyatakan, jumlah penumpang yang tiba di Lapangan Terbang Changi belum cukup berbaloi untuk mendorong pemandu teksi beratur di lapangan terbang tersebut. 

Ada juga yang memberitahu Mediacorp bahawa ia mungkin lebih menguntungkan untuk 'meronda-ronda' di jalan raya  daripada beratur dan menunggu di Lapangan Terbang Changi semata-mata untuk mendapatkan caj tambahan. 

Awal bulan ini, kenaikan caj tambahan S$3 bagi perjalanan dari Lapangan Terbang Changi dilanjutkan sehingga 30 Jun 2023, selain kenaikan satu sen bagi tambang berdasarkan jarak   perjalanan teksi. 

Kenaikan sementara bagi caj tambahan  itu diperkenalkan buat pertama kali pada Mei selama sekitar sebulan bagi "memastikan bekalan teksi yang lebih baik" di tempat tersebut, menurut Lapangan Terbang Changi ketika itu. Syarikat-syarikat teksi kemudian melanjutkan langkah tersebut sehingga hujung 2022. 

KEKURANGAN PENUMPANG

Mediacorp mengunjungi beberapa terminal di Lapangan Terbang Changi pada pukul 5.00 petang Khamis (22 Dis), di mana waktu menunggu teksi tidak melebihi dua minit disebabkan oleh kekurangan penumpang. 

Dalam perjalanan ke Terminal 1, banyak teksi boleh dilihat beratur - namun, hanya dua penumpang yang beratur. Hampir pukul 6.00 petang, hanya seorang saja yang beratur dan berhasil mendapatkan teksi dengan serta-merta, memandangkan  teksi sudahpun menunggu di situ. 

Di Terminal 3 pula, terdapat beberapa penumpang yang beratur sejak pukul 5.00 petang, namun, mereka berhasil mendapatkan teksi dalam masa beberapa minit selepas mula beratur. 

Encik Ong Chin Lye memberitahu Mediacorp bahawa beliau berada di lapangan terbang tersebut kerana baru saja menghantar penumpang ke Jewel Lapangan Terbang Changi. 

"Jika tidak, saya tidak akan datang ke sini, walaupun saya tahu terdapat penerbangan yang akan tiba. Minyak sekarang amat mahal dan masa adalah wang," kata pemandu teksi berusia 62 tahun itu dalam bahasa Mandarin. 

"Kadangkala, apabila saya melihat banyak teksi yang beratur, saya tidak akan beratur. Buat apa membuang masa? Saya ingin ambil penumpang dan terus beredar dari situ." 

Selain memandu teksi selama 11 tahun, Encik Ong turut menggunakan wadah Grab. Beliau menarik perhatian, walaupun ramai sudah kembali melakukan perjalanan ke luar negara, namun jumlahnya masih rendah berbanding sebelum COVID-19. 

Kekurangan pelawat dari China khususnya amat ketara, katanya, sambil menambah bahawa beliau hanya melihat pelawat yang datang atas sebab perniagaan dan pelajar dari China buat masa ini. 

BOLEH DAPAT LEBIH UNTUNG JIKA MEMANDU MERATA SINGAPURA

Para pemandu teksi turut berpendapat, setakat beratur hanya untuk mengambil penumpang yang ingin ke destinasi berdekatan hanya akan membazirkan masa. 

Para pemandu teksi juga menggunakan wadah Grab dan mereka boleh meraih pendapatan lebih tinggi menggunakan aplikasi tersebut berbanding menunggu di lapangan terbang. 

"Kawan-kawan saya memberitahu saya bahawa pendapatan mereka naik agak tinggi dengan penetapan harga premium Grab. Jadi, mengapa perlu beratur di lapangan terbang? Caj tambahan itu belum cukup berbaloi untuk mendorong mereka ke Changi, terutama sekali jika penumpang hanya ingin ke Pasir Ris atau Tampines," kata Encik Vincent Tai, bekas pemandu teksi yang masih menghubungi pemandu-pemandu teksi lain. 

"Mereka tidak mahu menyerap kos minyak dan menunggu selama setengah jam di lapangan terbang."

Mediacorp sudahpun menghubungi Changi Airport Group dan syarikat-syarikat teksi berhubung bekalan teksi di Lapangan Terbang Changi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan