Insentif S$100 buang awal e-skuter bahaya bermula hari ini
Sekitar 450 permohonan diterima pada jam 5.00 petang tadi daripada pemilik e-skuter yang berdaftar untuk membuang alat mobiliti peribadi (PMD) mereka itu yang tidak mematuhi piawaian keselamatan kebakaran baru.
Para penunggang membawa skuter mereka ke tempat pembuanga ditetapka di Boon Lay Place.
SINGAPURA: Sekitar 450 permohonan diterima pada jam 5.00 petang tadi daripada pemilik e-skuter yang berdaftar untuk membuang alat mobiliti peribadi (PMD) mereka itu yang tidak mematuhi piawaian keselamatan kebakaran baru. Demikian menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (23 Sep).
Jumlah itu membentuk segelintir daripada 90,000 e-skuter yang didaftarkan bersama LTA - yang mana 90 peratus daripadanya tidak memenuhi keperluan keselamatan UL2272.
Hari ini adalah hari pertama pelaksanaan skim insentif LTA bernilai S$100 untuk pemilik e-skuter yang bersetuju membuang PMD mereka itu lebih awal, menjelang larangan penggunaan peranti sedemikian di sini pada Julai tahun depan.
Untuk layak menerima insentif S$100 tersebut, e-skuter harus sudah didaftarkan dan pemiliknya perlu membawa alat PMD mereka ke tempat pembuangan ditetapkan.
Hanya dua tempat pembuangan tersebut dibuka pada Isnin, berdasarkan senarai LTA yang meliputi 181 kawasan dengan disertakan waktu operasi mereka.
Di pejabat LTA di Sin Ming, e-skuter pertama tiba sejurus selepas jam 11.00 pagi. Menjelang tengah hari, lima orang menyerahkan alat mobiliti mereka namun dua daripada mereka tidak layak menerima insentif wang tunai tersebut.
Salah seorangnya adalah wanita dengan e-skuter tidak berdaftar, yang menuntut sebab beliau tidak layak menerima S$100 itu.
Seorang lagi pengguna yang tidak layak bagi insentif tersebut berkata beliau membeli alat mobiliti terpakai itu daripada rakannya pada harga S$200.
Sementara itu, di satu lagi tempat pembuangan berhampiran Blok 209 Boon Lay Place, sekumpulan pengguna PMD dilihat beratur menantikan pusat tersebut dibuka pada jam 5.00 petang.
Seorang pengguna berusia 57 tahun, yang hanya mahu dikenali sebagai Eric Lim, datang bersama dua e-skuter berdaftar yang dibelinya ada harga S$1,000 dan S$600.
Apabila diminta pandangannya berhubung larangan tersebut dan insentif pembuangan awal, lelaki itu berkata "tiada pilihan" tetapi memahami keputusan LTA untuk melarang penggunaan e-skuter tanpa pensijilan UL2272 ekoran kes-kes kebakaran melibatkan alat-alat mobiliti sedemikian.
Seorang lagi pengguna, yang ingin dikenali sebagai Encik Lim,juga berkongsi pandangan serupa.
"Saya rasa ia satu perkara baik kerana akibat bateri berkapasiti tinggi, kebakaran berlaku. Ini adalah baik, untuk lebih dikawal selia," katanya.
Insentif S$100 itu akan diteruskan sehingga 30 November ini.
Pengguna yang membuang e-skuter selepas tarikh itu tidak layak menerima insentif S$100 tetapi masih boleh meninggalkan alat mobiliti mereka di tempat-tempat pembuangan ditetapkan sehingga 31 Mac 2020.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.