Inovasi penting untuk syarikat cari peluang baru: Presiden Halimah
SINGAPURA: Kebolehan untuk terus berinovasi adalah penting bagi syarikat-syarikat mencari peluang baru, kata Presiden Halimah Yacob.
Presiden Halimah menambah bahawa pemerintah akan terus menyediakan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (SME) bagi membantu syarikat-syarikat tersebut menebarkan sayap ke pasaran antarabangsa dan mempelbagaikan khidmat mereka.
Puan Halimah berkata demikian semasa melawat syarikat teknologi pendidikan, KooBits Learning.
Syarikat tempatan itu menawarkan program online, yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan ciri-ciri permainan bagi membantu kanak-kanak mempelajari matematik dan sains.
Pada awalnya, KooBits menjual program tersebut ke sekolah-sekolah.
Namun ia kemudian menawarkan program itu kepada para ibu bapa apabila sekolah-sekolah di merata dunia terpaksa ditutup semasa pandemik COVID-19.
Wadahnya kini digunakan oleh lebih 200,000 pelajar di 50 buah negara.
"Kita lihat pada KooBits seperti syarikat-syarikat teknologi yang lain.
"Mereka juga menghadapi banyak cabaran semasa COVID-19 kerana pembelajaran di rumah (HBL) tetapi mereka telah dapat menghadapi cabaran tersebut dengan baik dan telah melihat perniagaan mereka meningkat.
"Saya rasa ini satu inovasi yang baik dan saya dapat lihat bahawa dengan adanya penggunaan AI, penggunaan teknologi, maka dapatlah syarikat-syarikat berkembang dengan lebih baik, bukan sahaja di Singapura sebab kita mempunyai pasaran yang amat kecil, jadi syarikat harus berfikir bagaimana dapat mereka meluaskan peluang mereka di luar negeri, dengan menggunakan teknologi dan AI," ujar Presiden Halimah lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.