Inovasi baru jimat masa & tenaga manusia diperkenalkan Aaliyah's untuk ibadah korban fizikal tahun ini
BERITAmediacorp: Satu inovasi baru akan digunakan buat pertama kalinya dalam ibadah korban secara fizikal tahun ini.
Dipanggil 'Halal Non-Stunning Restrain Box', ia dapat mengurangkan tenaga manusia yang diperlukan serta mempercepatkan lagi proses ibadah korban.
Misalnya, seorang sahaja boleh lakukan penyembelihan berbanding tiga yang diperlukan sebelum ini dan sehingga 300 kambing dapat disembelih dalam masa sejam.

Inovasi baru itu diperkenalkan kepada sekitar 80 relawan dalam sesi latihan oleh syarikat Aaliyah's Pte Ltd pada Ahad (25 Jun) sebagai persiapan menjelang Hari Raya Aidiladha.
Penggunaannya juga sudah mendapat kelulusan daripada Meat & Livestock Australia.
"Kalau dahulu kala apabila kita melakukan penyembelihan. kita terpaksa menggunakan tenaga di mana kita memasukkan (kambing) dalam kandang dan menangkap kambingnya. Langsung kita mendukung kambing itu atas meja penyembelihan," kongsi Pengasas Aaliyah's Encik Rafee Eunos.

"Untuk memperbaiki sistem ini dan mempercepatkan sistem ini, Dr Michael Patching, iaitu salah seorang rakan kongsi untuk projek kita, sudah mereka satu kotak di mana haiwan itu akan jalan dan masuk ke kotak itu dengan sendirinya. Setelah mereka di dalam kotak itu, kita akan menahannya dan menurunkannya sebelum menyembelihnya," tambah beliau.
PARA RELAWAN DAPAT SEMBELIH 25 KAMBING UNTUK SESI LATIHAN

Menurut Encik Rafee, penggunaan inovasi itu juga lebih baik kerana haiwan berkenaan tidak akan berasa tertekan sewaktu disembelih.
Dalam sesi yang sama, para relawan juga diberi peluang berlatih dengan penyembelihan 25 kambing Hay Dairies.
Ini menurut Encik Rafee merupakan kali pertama kambing-kambing hidup digunakan untuk latihan praktikal.
"Tahun-tahun lalu apabila kita melakukan latihan penyembelihan, kita cuma melakukan simulasi, iaitu kita tidak ada haiwan yang hidup. Kita menggunakan 'bubble wrap' sahaja," ujar Encik Rafee.
"Kita lihat dari segi itu, kita harus memperbaiki dan kita harus menggunakan haiwan betul kerana pengalaman mengendalikan haiwan hidup itu memang berbeza," tambah beliau.
GEMBIRA MESKI GEMENTAR DENGAN PENGALAMAN LATIHAN IBADAH KORBAN

Para relawan yang sudah berada untuk sesi latihan sejak 8.30 pagi itu rata-rata melahirkan rasa gembira, meskipun gementar dengan pengalaman ini.

"Sejak dari COVID, kita sudah lama juga tidak sembelih jadi rasa macam gemuruh tetapi Alhamdulillah, kita ada pengepit itu dari Australia jadi ia mengurangkan tenaga kita untuk mengendalikan kambing apabila ingin menyembelihnya," kongsi Encik Norfadly Shah Putra Norazman yang datang bersama rakan-rakannya.
"Saya pelajari bahawa saya mesti yakin kalau tidak, saya tidak akan tahu macam mana untuk sembelih betul-betul," kongsi Muhammad Rifqi Muhammad Rafee, yang berusia 13 tahun.
CARA URUSKAN DAGING KAMBING DAN KEBERSIHAN DITITIKBERATKAN
Selain itu, cara menguruskan daging kambing dan kebersihan juga disertakan dalam sesi latihan yang berlangsung selama lebih 4 jam itu.

"Pengalaman hari ini membuka mata saya sebab saya boleh mendapat tahu apakah tatacara untuk mengendali kambing dan bagaimana saya perlu menangkap kambing itu dengan betul dan tidak menganiayanya," menurut seorang lagi relawan, Encik Saiful Bahri, 26 tahun.
Syarikat Aaliyah's Pte Ltd akan menguruskan penyembelihan lebih 1,300 kambing korban di Masjid Petempatan Melayu Sembawang dan Masjid Al-Firdaus tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.