Skip to main content

Singapura

Inisiatif tingkat aksesibiliti ke Pulau Ubin permudah bekas penduduk berkeperluan sambut Raya

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Hajah Yang Munah Haji Dollah, 87 tahun, pernah menetap di Kampung Sungai Durian selama 45 tahun.

Sungguhpun sudah berpindah ke tanah besar Singapura, semangatnya untuk pulang melawat kampung halamannya di Pulau Ubin itu tidak pernah luntur.

Lebih-lebih lagi semasa musim perayaan kerana setiap tahun keluarga besar empat generasi Hajah Yang pasti akan mengadakan acara perjumpaan Hari Raya di Pulau Ubin, satu tradisi yang telah diamalkan selama 18 tahun.

Namun, disebabkan jeti utama Pulau Ubin tidak mempunyai platform yang rendah untuk memudahkan pergerakan individu berkerusi roda, perjalanan pulang ke kampung bagi Hajah Yang yang berkerusi roda perlu disesuaikan.

Dengan kerjasama kumpulan Accessible Ubin dan Lembaga Taman Negara (NParks), bot yang disewa dapat menurunkan Hajah Yang dan keluarganya di sebuah jeti yang terletak di utara pulau tersebut yang dibuka khas.
Related article image
(Gambar: Aqil Ezat)

Sebaik tiba di jeti tersebut, tanjakan digunakan untuk memindahkan Hajah Yang ke platform.

Perjalanan yang biasanya mengambil masa 10 hingga 15 minit kini lebih lama, iaitu kira-kira 45 minit.

ACCESSIBLE UBIN SAMPAIKAN HAJAT PENDUDUK

Sejak 2017, Accessible Ubin memperkenalkan inisiatif untuk membawa bekas penduduk Pulau Ubin pulang ke pulau tersebut.

Setakat ini, kumpulan itu telah membantu lima individu, termasuk Hajah Yang dan suaminya, Haji Abdullah Haji Salleh, yang meninggal dunia pada 2023.

Menurut Pengasas Bersama Accessible Ubin, Colin Chew, bekas penduduk Pulau Ubin adalah satu-satunya warisan pulau itu.

"Ia penting untuk membawa mereka pulang dan meneruskan tradisi dan warisan ini di Pulau Ubin," tambahnya.

Kumpulan tersebut juga memenuhi hajat terakhir bekas penduduk pulau itu, yang ingin kembali buat kali terakhir.

Pada 2022, Haji Abdullah dibawa menyambut Hari Raya atas permintaan anaknya, Kamariah Abdullah.

"Beliau memberitahu kami bahawa itu mungkin kali terakhir ayahnya akan menyambut Hari Raya. Kami
berterima kasih atas peluang itu kerana memang benar, ia adalah Hari Raya terakhir yang disambutnya," kata Pengasas Bersama Accessible Ubin, Albert Liu.


USAHA MENGEKALKAN SEJARAH KAMPUNG SUNGAI DURIAN

Lebih 150 tetamu menghadiri perjumpaan Hari Raya pada Sabtu (28 Mac). Ini termasuk anggota keluarga merentasi empat generasi, serta kenalan yang tidak pernah menyambut Hari Raya di kampung.

"Sambutan ini amat penting sebab saya boleh menunjukkan anak-anak saya, asal-usul kami. Nenek dan ibu saya berasal dari kampung ini.

Related article image
(Gambar: Aqil Ezat)
"Mereka membesar di sini, dan ketika saya kecil, saya sering ke sini. Hakikat bahawa anak-anak saya dapat menikmati kehidupan di kampung adalah perkara yang berharga untuk saya," kata Shahir Abdul Majid, generasi ketiga keluarga besar Hajah Yang.

Bagi bekas penduduk kampung itu, kenangan silam hanya sekadar memori.
Related article image
Kalzom Salleh, 76 tahun, menetap di kampung tersebut selama 35 tahun.

"Suasanya meriah, tidak seperti sekarang sampai sebulan orang sambut. Kita dulu di kampung dua atau tiga hari sahaja, kerana kita semua kerja di kampung, selepas itu kita akan balik bekerja," kongsinya.

Menurut Cik Kalzom, beliau merindukan hubungan erat sekeluarga menjelang raya.

"Banyak yang saya rindukan. Pada petang raya, kita berkumpul ramai-ramai, kita buat kenduri," katanya.

Selain itu, juadah seperti kuih kacau dan halwa maskat yang dinikmati dahulu sukar untuk didapati.

Turut hadir pada acara tersebut ialah Anggota Parlimen GRC Pasir Ris-Changi, Valerie Lee.

Cik Lee menarik perhatian kepada usaha mengadakan sambutan sedemikian, yang tidak berlaku di tanah besar Singapura.

"Ini adalah tempat terakhir di negara ini di mana kita dapat melihat semangat kampung. Saya fikir generasi muda perlu mengambil tahu tentang sejarah untuk menghargai masa depan," katanya.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita