Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inisiatif terbaru SalamSG galak jemaah kembali ke masjid; semarakkan Ramadan hingga Aidiladha

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu usaha baru dilancarkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan masjid-masjid bagi menyuntik nafas baru serta mengajak masyarakat menghidupkan semula kehidupan beragama mereka, bukan sahaja di ruang online seperti waktu pandemik tapi juga secara fizikal di masjid.

Dengan pelonggaran lebih banyak langkah keselamatan COVID-19, para jemaah boleh menjangkakan lebih banyak program yang dianjurkan secara hibrid bermula Ramadan ini hingga Hari Raya Aidiladha nanti.

Dinamakan 'Gerakan SalamSG 2022', usaha terbaru itu akan menyelaraskan kesemua program masjid dan menyenaraikannya di lelaman web Muslim.SG.

Gambar: Izwan Ohtman

Selain kelas-kelas agama, terdapat juga kegiatan amal seperti pengagihan pek habuan serta ibadah korban pada Hari Raya Haji.

Bagi tahun pertamanya, tema "Suburkan Salam. Sebarkan Rahmah" dipilih bagi mencerminkan keadaan mencabar yang dihadapi masyarakat sekarang ini dan bagaimana masyarakat Islam setempat boleh menjangkakan masa-masa yang lebih baik menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidiladha nanti.

Gerakan ini menggantikan kempen Sentuhan Ramadan yang dahulunya dianjurkan pada setiap bulan puasa dan acara-acara di bawah Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS).

Program-program 'Gerakan SalamSG 2022' akan berlangsung sepanjang tempoh tiga bulan, dari Ramadan sehingga Zulhijjah.

Gambar: Izwan Ohtman

GALAK LEBIH RAMAI DATANG KE MASJID

'Gerakan SalamSG' tahun ini juga berharap dapat mencetus perubahan sikap masyarakat dalam berdepan dengan norma-norma baru.

Di majlis pelancarannya pagi tadi (2 April), Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Dr Mohamad Maliki Osman meluahkan harapannya agar masyarakat dapat memanfaatkan kedua-dua platform iaitu fizikal mahupun online untuk memperkayakan pengalaman beribadah mereka sepanjang Ramadan ini.

"Ini menunjukkan kita mempunyai satu kesinambungan di antara dunia fizikal kita yang mula kita buka dengan dunia alam maya yang sentiasa ada yang telah kita kecapi ataupun meraih keberkesanannya sebelum ini," jelas Dr Maliki yang juga adalah Menteri Kedua Pendidikan.

"Apa yang kita ingin lakukan dalam gerakan ini adalah untuk menunjukkan kepada masyarakat, apa yang kita kecapi sebelum ini tidak harus tinggalkan, langsung kita boleh sambungkan dalam perjalanan digital kita di mana ramai yang masih belum fasih menggunakan aplikasi-aplikasi online untuk memudahkan perjalanan mereka untuk kembali ke masjid," tambah beliau.

Gambar: Izwan Ohtman

Sepanjang bulan Ramadan ini, lebih 2,000 sukarelawan terlatih akan berkhidmat di masjid-masjid merata negara untuk membantu para jemaah yang kurang cekap menggunakan teknologi agar mereka dapat memanfaatkan khidmat digital masjid seperti membayar zakat secara online dan menempah slot bagi solat tarawih.

Di samping itu, Dr Maliki juga mahu melihat lebih ramai jemaah kembali beribadah di masjid pada Ramadan ini dalam keadaan selamat tanpa mengabaikan langkah-langkah pengurusan keselamatan (SMM) yang dikuatkuasakan.

"Gerakan ini bertujuan untuk menggalakkan lebih ramai untuk datang ke masjid dalam suasana pergerakan yang masih dalam lingkungan SMM. Walaupun SMM sudah dilonggarkan, kita tidak harus mengambil sambil lewa dan saya harap mereka akan dapat terus menjalankan kegiatan-kegiatan seharian mereka dengan memastikan keselamatan mereka sendiri," kata Dr Maliki.

Gambar: Izwan Ohtman

TEMA KHUSUS BAGI SETIAP MINGGU BULAN RAMADAN

Di bawah gerakan baru itu, masjid-masjid juga akan menyelaraskan kegiatan-kegiatan yang dianjurkan mengikut tema khusus seperti berikut:

Minggu Pertama - Mendampingi Masyarakat

Minggu Kedua - Membantu Mereka yang Memerlukan

Minggu Ketiga - Memperkukuhkan Kesejahteraan Rohani

Minggu Keempat - Mempertingkatkan Keimanan Seseorang

Masjid-masjid juga akan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman yang ditimba sepanjang dua tahun lalu untuk menghasilkan kandungan-kandungan online bagi menjayakan acara mereka secara hibrid tahun ini.

Antara contoh acara hibrid tersebut turut dipamerkan kepada para hadirin Majlis Pelancaran 'Gerakan SalamSG 2022' di Masjid Mujahidin pagi tadi.

Ini termasuk bacaan kitab Al-Quran secara bergilir-gilir oleh dua orang qari, seorang di wadah online dan seorang lagi secara fizikal dengan menggunakan kaedah penstriman langsung menerusi imbasan kod QR.

Usaha terbaru ini disambut baik masjid-masjid di sini dengan penyampaian kandungan yang lebih teratur dan boleh meraih jangkauan yang lebih luas apabila dilakukan secara hibrid.

Gambar: Izwan Ohtman

"Sebagai sokongan kepada SalamSG, masjid memang sudah melakarkan program cuma dari segi kandungan atau pengisian akan diselarikan dan diselaraskan dengan mesej SalamSG agar semua masjid seluruh Singapura menyampaikan mesej yang sama iaitu Menyuburkan Salam dan Menyebarkan Rahmah," kongsi Pegawai Dakwah Masjid Al-Muttaqin, Ustaz Muhammad Hanifatunni'man Mohamad Hasbi.

Selain itu, terdapat juga masjid yang membuat persiapan secara fizikal untuk menyambut kedatangan lebih ramai jemaah pada Ramadan ini.

Ini termasuk Masjid Pusara Aman yang sudah mengatur pelbagai program menarik sepanjang bulan puasa ini.

"Dengan norma-norma baru tahun ini, Masjid Pusara Aman telah melakukan beberapa kerja peningkatan dari segi ruang-ruang solat menampung lebih ramai jemaah. Untuk SalamSG, kami juga mengalu-alukan jemaah untuk menghadiri kelas online dan meneruskan kehadiran mereka dalam bulan Ramadan ini," kata Duta Khidmat Ramadan Masjid Pusara Aman, Cik Fadilah Ismail.

Mereka merupakan antara 100 wakil masjid dan kakitangan MUIS yang menghadiri majlis pelancaran 'Gerakan SalamSG 2022' pagi tadi (2 April).

Sumber : BERITA Mediacorp/IZ/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan