Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inisiatif #SGgratitudepack ajak rakyat hargai pekerja asing dengan beri pek barangan berguna

Sambutan ulang tahun ke-55 negara baru-baru ini dengan tema 'Bersama, Untuk Singapura Yang Lebih Teguh' memberi penghargaan kepada wira barisan hadapan dan  pekerja khidmat penting atas daya ketahanan mereka dalam memerangi COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Inisiatif #SGgratitudepack ajak rakyat hargai pekerja asing dengan beri pek barangan berguna

(Gambar: A Good Space/Facebook)

Diterbitkan : 10 Aug 2020 11:44PM Dikemas Kini : 10 Aug 2020 11:49PM

SINGAPURA: Sambutan ulang tahun ke-55 negara baru-baru ini dengan tema 'Bersama, Untuk Singapura Yang Lebih Teguh' memberi penghargaan kepada wira barisan hadapan dan pekerja khidmat penting atas daya ketahanan mereka dalam memerangi COVID-19.

Bagi 'A Good Space' - usaha sama yang menghimpunkan individu serta syarikat bagi tujuan amal - di samping rakyat tempatan yang berjuang untuk membantu negara mengatasi pandemik itu, adalah sumbangan daripada golongan pekerja asing. Mereka termasuklah pekerja sektor binaan, pembersihan dan juga pembantu rumah asing.

Pekerja asing dalam sektor binaan terutamanya, sudah bekerja keras untuk membantu membangunkan negara dan mereka juga membentuk kelompok paling teruk terkesan dek COVID-19 di sini.

Lantaran itu, sebagai memberi penghargaan kepada golongan sedemikian, 'A Good Space' memperkenalkan satu inisiatif dipanggil #SGgratitudepack.

Inisiatif tersebut mengajak masyarakat setempat untuk menyerahkan 'Pek Singapura Bersama' mereka, kepada pekerja asing sebagai tanda ucap terima kasih.

Sekitar 80 peratus isi rumah mengambil beg cenderamata itu sempena Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2020.

Jika anda berhasrat untuk mengambil bahagian dalam usaha tersebut bagi menzahirkan penghargaan kepada pekerja asing, caranya mudah saja!

Kosongkan beg NDP2020 anda dan kemudian isikannya dengan barang-barangan berguna untuk kegunaan pekerja asing.

Misalnya, pelitup muka bersih, sanitizer tangan, makanan kering seperti biskut atau paket uncang teh mahupun kopi, cerek, alat pengecas mudah alih, fon telinga dan sebagainya.

Sebagai panduan, pihak penganjur menasihatkan agar elak daripada memberi barangan yang sudah lusuh, mudah rosak atau tamat tarikh luput serta makanan tidak halal. 

Kemudian, anda boleh menghantarkan pek tersebut ke tempat-tempat pengambilan ditetapkan di serata negara pada masa seperti yang tertera. Namun, jika anda mempunyai lebih 10 pek untuk diberikan, seorang relawan boleh ke rumah anda untuk mengambilnya.

Kesemua pek yang diterima sehingga 31 Ogos ini kemudian akan didermakan kepada pekerja asing.

Selain itu, anda juga boleh menyampaikan sendiri pek tersebut kepada pekerja asing di kawasan kejiranan mahupun rangkaian kenalan anda.

Menurut penganjur, bukan saja 'Pek Singapura Bersama' yang boleh digunakan dalam inisiatif ini. Sekiranya anda tidak mempunyai pek tersebut atau mahu memberikan lebih daripada satu, anda masih boleh menyumbang dengan menggunakan apa jua jenis beg tote sebagai ganti.

Untuk butiran lanjut mengenai inisiatif #SGgratitudepack, layari laman web ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa