Inisiatif 'Senang Senam' & 'Senam Ria' galak penduduk Barat Daya amalkan gaya hidup sihat
SINGAPURA: Para penduduk di kawasan Barat Daya akan dapat meraih manfaat daripada dua inisiatif yang membantu mereka mengamalkan gaya hidup sihat.
Ini menerusi dua program senaman baru dan yang dipertingkat anjuran M³@Chua Chu Kang (CCK) dan M³@Jurong.
Rancangan tersebut dikongsi Ketua Penasihat M³ kawasan itu, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim dan Cik Rahayu Mahzam di acara FamFest@Southwest di Taman Tasik Jurong pada Ahad (2 Jul).
PARA PENDUDUK DIAJAK SERTAI PROGRAM LUAR DARIPADA FAMFEST@SOUTHWEST
M³@CCK akan melancarkan satu kegiatan bersenam baru, yang dinamakan 'Senam Ria' seawal-awalnya pada bulan depan.
Ia adalah sebuah program kecergasan selama 12 minggu yang merangkumi pelbagai kegiatan yang menggalakkan gaya hidup aktif yang menyeluruh.
Ini termasuk penilaian kecergasan, aktiviti dan ceramah kecergasan.
Ketua Penasihat bagi M³@CCK, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim berkata: "Senam Ria dimulakan oleh penduduk kita sendiri. Idea tercetus untuk mendekati warga emas kita, khususnya dari pihak masjid."
"Ini untuk memperkenalkan mereka kepada bukan sahaja untuk menjaga kesihatan tetapi bagaimana program dan pemeriksaan kesihatan yang ada, untuk mereka mendapat tahu secara lanjut awal pemeriksaan bagi kesihatan mereka," tambah beliau.
Selain itu, kegiatan Senang Senam anjuran M³@Jurong yang dilancarkan tahun lalu pula akan dipertingkatkan.
"Kita lihat ada penerimaan agak baik. Kita ingin membuatnya lebih baik lagi dengan memberikan jurulatih peribadi yang akan dapat membantu mereka, dalam memahami apa yang mereka boleh lakukan hari-hari serta untuk menyelitkan kegiatan gaya hidup mereka dalam kehidupan seharian," jelas Cik Rahayu.
Cik Rahayu berharap langkah itu akan membawa kesan lebih baik kepada para penduduk dan menarik lebih ramai peserta.
Kedua-dua Senam Senang dan Senam Ria merupakan sebahagian daripada inisiatif Saham Kesihatan, hasil usahasama antara Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) serta M³@Bandar.
GALAK PENDUDUK AMALKAN GAYA HIDUP LEBIH SIHAT MENERUSI KAEDAH SANTAI DAN SERONOK
Encik Zhulkarnain dan Cik Rahayu berkongsi tentang kedua-dua program tersebut di acara FamFest@Southwest yang pertama di Taman Tasik Jurong.
Ia menyokong bidang tumpuan ke-5 (FA5) M³ yang ingin membina masyarakat yang lebih sihat.
Antara tujuan acara itu adalah untuk memperkasakan individu dan keluarga mereka untuk membuat pilihan positif ke arah kesejahteraan mereka,
Ini bagi mencapai hasil kesihatan yang lebih baik, di samping memupuk perpaduan dan sikap kebersamaan dalam masyarakat.
Cik Rahayu berkata: "Acara ini menyajikan satu kegiatan di mana para penduduk boleh melihat apakah antara usaha yang boleh lakukan seharian untuk menjalankan gaya hidup lebih sihat."
Menurutnya, juga penting untuk menggalak para penduduk mengamalkan gaya hidup lebih sihat menerusi cara yang "lebih seronok dan santai".
"Kita dapat lebih memahami keadaan seharian mereka, usaha itu mungkin berjaya sedikit. Kita tahu bukannya orang tidak ingin sihat, tetapi susah. Kita lihat bagaimana kita dapat mempermudahkannya, memberi akses kepada informasi, bahan-bahan untuk menjalani gaya hidup sihat," jelas Cik Rahayu.
Encik Zhulkarnain pula berkata: "Acara ini boleh memberikan satu kesedaran tentang sumber-sumber sedia ada di agensi-agensi dan program-program sedia ada yang diadakan bagi masyarakat kita yang sibuk dengan keluarga atau kerja dan tidak dapat meluangkan masa secukupnya untuk menjaga kesihatan mereka."
PARA PENDUDUK SAMBUT BAIK ACARA FAMFEST@SOUTHWEST
Kegiatan-kegiatan FamFest@Southwest dibahagikan kepada tiga zon iaitu Keluarga, Kesihatan & Kecergasan dan Permainan.
Para penduduk digalakkan untuk singgah ke astaka "I Pledge" atau "Saya Berikrar" sebagai langkah untuk mengambil berat tentang kesihatan mereka sendiri.
Cik Rahayu berkata: "Di sini, kita berikrar, apa yang ingin mereka lakukan, mungkin tidak besar, sedikit sahaja, kita ambil gambar mereka jadi mereka akan ingat hari-hari apa yang mereka janjikan untuk diri mereka."
Mereka yang menyertai ikrar itu akan diundang untuk menyertai program kesihatan dan kecergasan serta pemeriksaan kesihatan yang terdapat di kawasan mereka.
Cik Rhaliza Harun dalam kalangan 5,000 penduduk berbilang bangsa yang ghairah untuk menyertai aktiviti yang disediakan pagi tadi.
"Saya memang saja datang, sebab katanya ada segmen bersenam. Saya memang sertai geng bersenam, jadi bila dengan ada segmen bersenam, saya pun datang," ujar beliau.
Seorang lagi peserta ialah Cik Zainab Bee yang datang bersama rakan-rakan dari Masjid Maarof.
Cik Zainab berkata: "Tidak kisah dapat pek 'goodie' atau tidak, asalkan kita dapat mengeratkan silaturahim di sini beramai-ramai. Tadi kita dapat bersenam dengan maskot, dengan para Anggota Parlimen (AP), untuk mengeluarkan peluh."
Seorang lagi penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Lim, gembira dengan pelbagai astaka yang disediakan.
"Saya dapat mengunjungi banyak astaka kesihatan. Ini baik untuk pengetahuan bagi mereka yang tidak ada banyak subsidi perubatan."
"Bagus juga ada acara sebegini. Daripada kita duduk di rumah saja dan tidak dapat melihat semua ini, lebih baik turun padang," tambah beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.