Skip to main content

Singapura

Inisiatif "RamaDAWN" himpun 100 belia, sediakan 1,000 pek makanan bagi keluarga memerlukan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 07 Mar 2026 04:28PM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 03:53AM
SINGAPURA: Ketika ramai umat Islam baru selesai bersahur pagi tadi (7 Mac), sekitar 100 belia sudah pun berhimpun di Masjid Kassim dengan satu tujuan yang sama — untuk berbakti kepada masyarakat.

Mereka semua turun padang untuk menjalankan inisiatif RamaDAWN yang dijalankan sayap Belia PA MESRA untuk bersama-sama menyediakan 1,000 pek barangan dapur bagi keluarga memerlukan di seluruh Singapura.

Inisiatif itu menghimpunkan belia daripada Institut Pengajian Tinggi (IHL), pertubuhan Melayu/Islam (MMO), Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dan M³@Bandar.

Turut hadir menyingsing lengan termasuk Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, Menteri Negara Rahayu Mahzam, Setiausaha Parlimen Kanan Dr Syed Harun Alhabsyi, dan Anggota Parlimen Hazlina Abdul Halim.
Related article image
(Gambar: PA MESRA)
BELIA HAYATI IMAN, PERKUKUH TANGGUNGJAWAB BERSAMA MELALUI KHIDMAT

Bagi seorang sukarelawan, Sofiyyatul Husna Habeeb Mohamed, 22 tahun, pengalaman tersebut amat bermakna dan membuka perspektif baharu.

"Seperti kebanyakan acara kesukarelawanan, saya berasa amat puas. Saya memang gemar melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini, namun ini adalah kali pertama saya menyertai usaha membungkus dan mengagihkan barangan dapur di peringkat seluruh negara. Jadi saya amat bersyukur atas pengalaman ini."

"Merasakan sendiri usaha khidmat masyarakat dan pada masa yang sama mengamalkan nilai-nilai agama mengingatkan saya bahawa iman bukan sekadar diamalkan secara individu, tetapi dizahirkan melalui keprihatinan terhadap orang lain," luah Husna.

Seorang lagi relawan, Farra Nur Quraisya Irwan, pula berkata: "Bagi saya, pengalaman ini amat memuaskan dan bermanfaat, kami dapat memberi kembali kepada masyarakat. walaupun kurang tidur, mengorbankan masa, saya rasa ia amat berbaloi."

Selain membungkus barangan keperluan seperti beras, gula dan minyak masak, inisiatif ini turut memperkukuh nilai tanggungjawab bersama dalam kalangan peserta.
Related article image
(Gambar: PA MESRA)
Husna berkata: "Saya rasa ia mencerminkan kepentingan dan kekuatan tanggungjawab bersama. Ia menunjukkan bagaimana usaha individu boleh membawa kepada impak berskala besar. Setiap sukarelawan boleh melakukan pembungkusan, dan ia merupakan satu usaha yang bermakna bagi 1,000 keluarga."

BELIA PENERAJU MASA HADAPAN

Sebagai sayap belia di bawah naungan PA MESRA, Belia MESRA komited memperkasa belia Melayu/Islam melalui pembangunan kepimpinan dan peluang khidmat masyarakat.

Menerusi RamaDAWN, para belia bukan sahaja tampil sebagai sukarelawan, malah sebagai peneraju perubahan.

"Saya rasa inisiatif yang diterajui belia penting bagi masyarakat kerana sebagai golongan muda, kita perlu tampil ke hadapan sebagai pemimpin masa depan dan generasi akan datang. Penting untuk kita mendekati akar umbi bagi memahami realiti yang dihadapi oleh pelbagai segmen masyarakat. Ini akan membentuk pendekatan kita pada masa hadapan, dengan memahami cabaran kehidupan seharian golongan yang memerlukan," kata Husna.
Related article image
(Gambar: PA MESRA)
"Inisiatif yang diterajui belia sangat penting kerana mereka adalah masa hadapan. Menerusi inisiatif ini mereka dapat meluaskan minda mereka, kuatkan semangat untuk memberi kembali atau menyumbang kepada masyarakat," kata Farra pula.

AGIHAN PEK BARANGAN DAPUR KE SELURUH M³@BANDAR

Selepas sesi pembungkusan di Masjid Kassim, proses pengagihan pula dijalankan bermula hari ini (7 Mac).

Para relawan belia menghantarkan pek-pek tersebut ke semua 12 M³@Bandar dan MAEC.

M³@Bandar dan MAEC kemudian akan mengagihkannya kepada keluarga-keluarga memerlukan di kawasan masing-masing.

Sebelum pembungkusan pek-pek itu, para relawan belia juga bersahur bersama dan menulis ucapan Hari Raya untuk para penerima.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita