Inisiatif PA Family PLAYGround galak ibu bapa pupuk tabiat digital sihat
PA Family PLAYGround mengalakkan penggunaan skrin sihat bagi kanak-kanak (Gambar: BERITA Mediacorp/Athirah Karim)
This audio is generated by an AI tool.
Demikian yang digalakkan kepada para ibu bapa melalui PA Family PLAYGround 2026.
Anjuran Persatuan Rakyat (PA), PA Family PLAYGround 2026 kembali menawarkan reruai-reruai yang mendidik ibu bapa tentang penggunaan skrin yang terkawal dan cara meluangkan masa bermakna bersama anak-anak tanpa penggunaan skrin.
"Kita melihat anak-anak kita lebih banyak menggunakan masa skrin. Kita melihat juga di mana, di merata dunia juga, banyak pemerintah sedang khuatir akan impak skrin pada anak-anak mereka. Jadi hari ni kita ingin juga meningkatkan lagi kesedaran kepada ibu bapa supaya mereka menjaga (dan) mengawal masa skrin bagi anak-anak mereka," kata Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran Zaqy Mohamad di acara 'Hijrah Walk' Sabtu lalu (20 Jun).
Antara yang ditampilkan kepada para ibu bapa ialah panduan skrin untuk kanak-kanak daripada pelbagai peringkat umur.
Misalnya, bagi kanak-kanak dalam lingkungan umur 7 hingga 12 tahun, penggunaan skrin wajar dihadkan kepada kurang 2 jam. Para ibu bapa juga digalakkan untuk tidak memberi anak-anak mereka peranti bijak mereka tersendiri.
Selain itu, ibu bapa juga diberikan ilham untuk melakukan aktiviti-aktiviti tanpa skrin bersama anak-anak mereka.
PENGHIJRAHAN TERHADAP GAYA HIDUP SIHAT DARI SEGI FIZIKAL DAN MENTAL BERSAMA KELUARGA
Acara 'Hijrah Walk' tahun ini disertai sekitar 800 penduduk GRC Marsiling-Yew Tee.
"(Kita mahu) mendorong keluarga-keluarga supaya mereka juga dapat membawa anak-anak, ibu bapa dan juga, kalau boleh, datuk nenek bersama supaya mereka pun dapat bersenam, menjalankan satu gaya hidup yang lebih sihat, makan (makanan) sihat dan sebagainya untuk kita buat penghijrahan kesihatan kita," kata Encik Zaqy lagi, yang juga merupakan Penasihat pertubuhan akar umbi (GRO) GRC Marsiling-Yew Tee.
Kali ini, para peserta berjalan sejauh 2 kilometer.
'Hijrah Walk' tersebut melihat penyertaan pelbagai peringkat umur.
Ini termasuk keluarga tiga generasi Encik Hamdan.
Acara tersebut juga disertai keluarga-keluarga bukan Melayu/Islam.
Malah, keluarga-keluarga bukan Melayu/Islam membentuk sekitar 30 peratus jumlah peserta.
Bagi Encik Tiong Huk Kiong, acara ini merupakan peluang beliau meluangkan masa bersama anak-anak di luar rumah.
"Selalunya, saya bekerja jadi tidak cukup masa (bersama anak-anak). Melalui acara-acara sebegini, saya boleh (meluangkan) lebih masa bersama keluarga jadi amat seronok," kata bapa kepada tiga anak itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.