Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura bukan berunsur politik, bertujuan libatkan rakyat S'pura & pandangan mereka: DPM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura bukan berunsur politik, bertujuan libatkan rakyat S'pura & pandangan mereka: DPM Wong

Gambar: Institut Kajian Dasar di Universiti Nasional Singapura (NUS)

Diterbitkan : 07 Sep 2022 11:54PM Dikemas Kini : 07 Sep 2022 11:54PM
SINGAPURA: Inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura bukan satu gerakan politik tetapi usaha peringkat negara bagi mereka yang berminat untuk membangunkan sebuah Singapura yang lebih baik, kata Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rabu (7 Sep).

Encik Wong berkata demikian sebagai menjawab soalan di Persidangan Muda Singapura 2022 mengenai bagaimana Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan menggabungkan pelbagai pandangan yang muncul daripada inisiatif yang bertujuan untuk menyemak dan menyuntik kesegaran dalam kompak sosial Singapura.

"Kami tidak menjalankan gerakan politik... Ia bukan mengenai pelibatan parti politik, kami adalah mengenai pelibatan rakyat Singapura," kata beliau.

"Seperti maklum, rakyat Singapura mempunyai pandangan yang berbeza, akan ada pendapat yang berbeza. Kami sangat mengalu-alukannya."

Inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura dilancarkan pada Jun oleh pasukan generasi keempat (4G).
Pada April, Encik Wong dilantik sebagai pemimpin pasukan itu sekali gus membuka laluan untuk beliau menjadi Perdana Menteri Singapura berikutnya.

Beliau menambah pada Rabu bahawa Pemerintah akan menerima maklum balas dan cuba untuk mendekati seramai mungkin orang - tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik mereka - untuk mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut.

"Ini bukan satu gerakan politik," tegas Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan.

"Ia adalah satu inisiatif negara bagi kami semua yang berminat untuk membangunkan sebuah Singapura yang lebih baik untuk mengatakan 'ayuh kita bersatu sebagai satu negara dan fikirkan bagaimana kita mungkin mahukan Singapura yang lebih hijau, adil dan inklusif, serta menjadi masyarakat yang lebih baik untuk diri kita sendiri dan juga generasi akan datang'."

KEPELBAGAIAN POLITIK

Di persidangan yang dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu, Encik Wong juga menjawab soalan tentang bagaimana inisiatif Melakar Hala Tuju Singapura menerima kepelbagaian politik kerana PAP tidak boleh terus anggap akan memenangi pilihan raya pada masa akan datang.

"Warga Singapura akan menentukannya," kata DPM. "Setiap pilihan raya adalah pilihan raya bebas... Sejauh mana kepelbagaian itu, berapa banyak mekanisme semak dan imbang - warga Singapura yang akan putuskan.

"Dari sudut pandangan saya, dalam Pemerintah sekarang dan apabila kita mengadakan pilihan raya, kami perlu bentangkan kad laporan kepada warga Singapura untuk menunjukkan kepada mereka apa yang sudah kami capai.. kemudian serahkan kepada warga Singapura untuk memutuskan jika kami sudah melakukan secukupnya ataupun tidak, sama ada kami layak mendapatkan keyakinan dan kepercayaan anda dan terus membentuk Pemerintah di Singapura ataupun mereka merasakan ada orang lain yang lebih baik ataupun ingin alternatif lain.

PEMANSUHAN 377A

Encik Wong juga menjelaskan isu pemansuhan Seksyen 377A dan sama ada terdapat langkah seterusnya mengenai isu inklusif bagi golongan LGBT di Singapura.
Namun ia bukan "sesuatu yang sudah selesai" kerana ia harus dibincangkan di Parlimen terlebih dahulu, kata Encik Wong menyusuli pandangan yang tegas dari kedua-dua pihak.

"Jangan tergesa-gesa untuk mengambil langkah seterusnya sedangkan kita belum lagi mengambil langkah pertama," kata beliau.

"Kami memansuhkan 377A kerana kami rasa terdapat risiko undang-undang besar jika ia dicabar dan jik aia berlaku bukan sahaja 377A , malah takrifan perkahwinan boleh dicabar atas alasan ia bertentangan dengan perlembagaan."

Ada segmen besar di Singapura yang "sangat prihatin" mengenai perkahwinan seperti ditakrifkan pada masa ini - antara seorang lelaki dan seorang wanita - serta norma keluarga seperti bagaimana kanak-kanak dibesarkan dan apa yang diajar di sekolah, tambah Encik Wong.
TINDAK BALAS PANDEMIK

Encik Wong juga mengulas pengajaran utama yang ditimba dalam usaha Singapura memerangi pandemik COVID-19.

Pemerintah kini sedang menyemak tindak balas Singapura sejak mulanya pandemik COVID-19 pada 2020 hingga Ogos tahun lepas sebelum ia beralih kepada pendekatan hidup dengan virus, kata DPM.

"Akan ada pengajaran, saya pasti. Kami akan lihat bagaimana kami boleh membaikinya, namun ia adalah sesuatu yang berterusan," tambah beliau.

Sebagai contoh, Singapura sudah membangunkan sistem pengesanan kontak bermutu tinggi semasa krisis SARS pada 2003.

Namun COVID-19 menunjukkan bahawa sistem manual itu "bukan yang terbaik" kata Encik Wong.

"Ia mengambil masa tiga hari atau lebih untuk melakukan pengesanan kontak dan pada ketika itu semuanya sudah tamat kerana virus sudah merebak. Dengan itu, kami membangunkan huraian IT yang lebih baik," tambah beliau.

Namun, pandemik seterusnya akan berbeza dan kami tidak dapat jangkakan jika keupayaan yang kami bangunkan mencukupi, kata Encik Wong.

"Saya pasti ia akan datang sebagai satu kejutan buat kami tidak kira apa yang kami lakukan untuk membaikinya sekarang ... Oleh itu, keupayaan untuk belajar daripada kesilapan kita dan terus melakukan yang lebih baik adalah sangat kritikal dalam menghadapi pandemik seterusnya atau sebarang krisis."
Sumber : CNA/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa