Skip to main content

Singapura

Inisiatif 'Meat for Eid' Jamiyah SG bantu sekitar 3,500 isi rumah, naik 50% berbanding tahun lalu

Anggaran Waktu Membaca:
Inisiatif 'Meat for Eid' Jamiyah SG bantu sekitar 3,500 isi rumah, naik 50% berbanding tahun lalu
Salah seorang penerima habuan yang juga penduduk di Blok 2 Eunos Crescent (paling kiri) menerima kunjungan Pemangku Menteri Bertanggungjawab  bagi Ehwal Masyarakat Islam, Prof Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim (dua dari kiri), diiringi Presiden Jamiyah Singapura, Profesor Datuk Dr Mohd Hasbi Abu Bakar (dua dari kanan dengan diiringi seorang sukarelawan akar umbi Kembangan), semasa pengagihan habuan bagi program 'Meat For Eid' anjuran Jamiyah yang dilaksanakan di 16 kawasan undi seluruh negara bagi membantu golongan fakir, miskin dan kurang upaya menyambut Aidilfitri tahun ini dengan kegembiraan. (Gambar: Jamiyah Singapura)
Diterbitkan : 16 Mar 2026 05:55PM Dikemas Kini : 16 Mar 2026 06:00PM
SINGAPURA: Edisi ke-10 inisiatif 'Meat For Eid' anjuran Jamiyah Singapura membantu sekitar 3,500 isi rumah berpendapatan rendah tahun ini.

Jumlah penerima bantuan itu lebih 50 peratus lebih tinggi berbanding edisi inisiatif itu tahun lalu.

Inisiatif 'Meat For Eid' adalah sebahagian daripada usaha Jamiyah dalam membantu keluarga menyediakan juadah istimewa bagi menyambut Syawal, di samping mengukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.

KELUARGA BERPENDAPATAN RENDAH TERUJA TERIMA HABUAN MAKANAN DI EUNOS

100 keluarga berpendapatan rendah teruja menerima habuan makanan itu pada Sabtu (14 Mac).

Lebih manis lagi, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Prof Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim turun padang ke blok 2 Eunos Crescent untuk mengagihkan habuan makanan itu kepada mereka.

Menerusi inisiatif itu, setiap keluarga akan menerima habuan makanan bernilai hampir S$100.

Ia antaranya merangkumi dua kilogram daging kambing atau lembu, dan dua ekor ayam serta lima kilogram bahan makanan kering seperti beras, minyak, dan ketupat segera.

Habuan makanan itu disumbangkan oleh kumpulan sukarelawan Heartwarmers.

Dr Faishal, yang juga Anggota Parlimen GRC Marine Parade-Braddell, berkata bahawa keprihatinan Jamiyah menonjolkan semangat keihsanan dan kemurnian Ramadan selain memberi keceriaan kepada para penerima habuan.

"Ini satu usaha yang sangat baik kerana apabila Hari Raya tiba dan kita ingin menyediakan makanan, kos pun semakin meningkat. Dengan adanya sumbangan ini, ia meringankan beban dan juga memberikan ruang perayaan kepada penduduk-penduduk kita yang mungkin memerlukan sokongan," kata Dr Faishal.

Habuan tersebut diagihkan kepada keluarga daripada pelbagai kaum dan agama melalui kerjasama rangkaian pertubuhan akar umbi di sebanyak 16 kawasan undi sepanjang dua hari pada hujung minggu lalu.

Related article image
Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Encik Syed Harun Alhabsyi (kanan), bersama Presiden Jamiyah Singapura, Profesor Datuk Dr Mohd Hasbi Abu Bakar (bersongkok) mengagihkan habuan makanan merangkumi daging dan ayam serta bahan makanan bernilai lebih $100 kepada penduduk GRC Nee Soon di Blok 126 Yishun Street 11, pada 14 Mac. (Gambar: Jamiyah Singapura)
Ini termasuk kawasan Punggol, Pasir Ris, Kembangan, Kampong Gelam, Limbang dan Bukit Batok.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita