Inisiatif LEAP sasar perkasa lagi 200 keluarga, naik 3 kali ganda
SINGAPURA: Lebih ramai penerima bantuan zakat Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan diperkasa menerusi program Leap Initiative.
Inisiatif LEAP adalah sebuah program yang dibangunkan oleh MUIS pada Oktober 2019 untuk melengkapkan keluarga-keluarga Melayu/Islam dengan bantuan dan sumber untuk berkembang maju dalam masyarakat.
Sejauh ini, dua kumpulan sudah dibantu dan meraih manfaat daripada program tersebut.
Sebanyak 60 keluarga sertai kumpulan pertama pada Ogos 2019 dan lagi 106 keluarga pula bagi kumpuan kedua yang memulakan program itu pada November 2021.
Bagi kumpulan ketiga yang akan mengikuti program itu bermula Februari 2024, MUIS berharap dapat memperkasa 200 keluarga.
Ini bermakna jumlah itu akan naik lebih tiga kali ganda berbanding 60 keluarga sewaktu ia mula dirintis lima tahun lalu.
"Program LEAP memberikan sokongan kepada keluarga melalui geran supaya mereka dapat mempertingkatkan kadar kehidupan mereka. Ia juga menggalakkan keluarga untuk ada sifat saling menyokong antara satu sama lain supaya mereka dapat maju kehadapan bersama," kongsi Pegawai Kes LEAP, Juliana Rahman kepada wartawan Nurfazirah Azman.
SEPERTI BERMAIN 'GAME', LEBIH BANYAK BUAT - LEBIH BANYAK BOLEH DAPAT
Tidak seperti banyak inisiatif bantuan yang lain, inisiatif berkenaan menggunakan pendekatan yang unik iaitu gamifikasi.
Ini bermakna lebih banyak yang diusahakan keluarga itu, lebih banyak bantuan akan dihulurkan.
Setiap keluarga akan berkongsi kemajuan masing-masing seperti mengikuti kursus baharu dan sebagainya serta beri perkembangan menerusi 'journal' mereka ke dalam aplikasi LEAP.
Bergantung pada kemajuan yang dicatatkan, mereka kemudian dapat meraih geran sebanyak S$500 hingga S$5,000.
Geran-geran yang diberikan bergantung kepada keperluan setiap keluarga. Misalnya, buat teras pembelajaran agama, mereka boleh mendapat geran untuk bayar yuran madrasah. Buat teras peningkatan kemahiran pula, mereka boleh mendapat geran dalam kursus-kursus peningkatan kemahiran dan yuran pembelajaran.
"LEAP juga mempunyai 6 teras seperti pengukuhan keluarga, pembangunan anak-anak, pembelajaran agama, aset kepada masyarakat dan juga peningkatan kemahiran.
"Mereka boleh mendaftar ke dalam program atau aktiviti yang sesuai untuk mereka untuk mencapai matlamat yang telah mereka sasarkan. Tugas kami sebagai pegawai kes adalah sebagai pendorong dan memberi sokongan moral dan juga emosi kepada keluarga-keluarga LEAP kami," ujar Cik Juliana.
Kriteria mereka yang boleh mendaftar dalam program LEAP adalah individu tersebut adalah penerima bantuan zakat MUIS, berumur 55 tahun ke bawah dan tidak mempunyai sebarang penyakit yang kronik yang akan membataskan penglibatan mereka dalam program berkenaan dan menyumbang kembali kepada masyarakat.
"Kami berharap keluarga dapat memanfaatkan geran yang didapatkan dengan sebaik mungkin untuk masa depan mereka dan dapat menjadikan LEAP sebagai bantu loncatan untuk berjaya dengan lebih gemilang lagi di masa hadapan. Kami juga ingin memberikan mereka peluang untuk mengambil peluang yang diberikan menjadi aset kepada masyarakat melalui usaha sukarelawan," kongsi Cik Juliana.

Antara yang memanfaatkan inisiatif itu adalah keluarga Encik Mohammed Sufian Mohd Noor.
Bertugas sebagai pakar sokongan rakan sebaya di Khidmat Pengurusan Ketagihan Nasional (NAMS), bapa lima orang anak itu juga pencari nafkah utama dalam keluarga.
Dia yang dulu pernah melalui sejarah hitam, kini sudah bermuhasabah diri dan menanam tekad untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
Encik Sufian menyertai program LEAP sejak Disember 2021 dan sudah terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarelawan bersama isterinya.
Dia berharap dapat menjadi inspirasi buat keluarga-keluarga yang senasib dengannya.
"Kita diberi peluang untuk buat kerja-kerja kebajikan macam hantar habuan rumah ke rumah dan kalau hendak diikutkan jarang kita buat. Apabila diberi peluang macam begini kita nampak banyak benda yang kita boleh belajar yang kita tahu orang lagi susah daripada kita," kongsi Encik Sufian.

Menurutnya lagi kerja-kerja relawan memberikan erti yang tidak dapat diluahkan dengan kata-kata.
"Kepuasannya kalau hendak dikongsikan tidak dapat diluahkan. Kita dapat rasa kita dapat bantu orang dan boleh lihat orang itu senyum, keluarga itu ucap terima kasih kepada kita, kita rasa kita punya penat semua hilang," ujarnya.
Setakat ini, dia menghabiskan hampir 60 peratus daripada geran untuk memastikan anak-anaknya mempunyai komputer riba untuk bantu dalam pembelajaran mereka.
AMBIL KURSUS PERTINGKATKAN DIRI DAN ANAK-ANAK
Seorang lagi peserta yang memanfaatkan program itu sejak Mac 2022 adalah Cik Nooradilah Omar.
Sukar mengimbangi masa bagi penjagaan anak-anak dan pekerjaan sepenuh masa, Cik Nooradilah memutuskan untuk berhenti bekerja.

Namun ketika pandemik melanda Singapura, perniagaan Cik Nooradilah terjejas teruk.
"Saya telahpun kehilangan banyak klien yang sedia ada. Jadi pada masa itu memang ada banyak masa yang terluang di rumah. jadi saya telahpun mencari kursus-kursus yang boleh saya mempertingkatkan diri," ujar Cik Nooradilah.
Kini dia boleh berbangga dengan sijil dalam kursus Diploma Pakar dalam Pengurusan Acara yang diraihnya menggunakan geran LEAP.
Dua anaknya juga memanfaatkan geran dari inisiatif LEAP.
"Buat anak-anak, saya telah mencari satu kursus untuk meningkatkan keyakinan diri iaitu kem motivasi. Jadi saya telah mengambil masa semasa cuti sekolah untuk mendaftarkan anak dalam kem tersebut," kata Cik Nooradilah.

Setakat ini, dia menghabiskan hampir 45 peratus geran buat anak-anaknya dan hampir 30 peratus bagi mempertingkatkan diri.
"LEAP program ini sangat bermanfaat kepada keluarga saya sebab dia bukan tertumpu kepada geran yang disediakan tetapi juga pada masa yang sama dapat mengeratkan hubungan dengan anak-anak. Kita dapat keluar sebagai keluarga dan pergi ke tempat-tempat yang tidak pernah kita tahu,"kongsi Cik Nooradilah.

Sehingga November 2023, 130 daripada 166 keluarga yang dibantu sudah berjaya menamatkan program LEAP.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.