Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inisiatif 'Laluan Mesra' dirintis di 5 kejiranan jelang 2025

Anggaran Waktu Membaca:
Inisiatif 'Laluan Mesra' dirintis di 5 kejiranan jelang 2025

(Gambar: LTA)

Diterbitkan : 03 Mar 2023 03:04PM Dikemas Kini : 04 Mar 2023 07:50AM

SINGAPURA: Sebuah inisiatif untuk menjadikan estet kejiranan ruang awam "lebih menyenangkan" dan lebih selamat bagi pejalan kaki akan dirintis di lima estet kejiranan - Ang Mo Kio, Bukit Batok West, Tampines, Toa Payoh dan West Coast menjelang 2025. 

Inisiatif "Laluan Mesra Pejalan Kaki" akan dilaksanakan di "kawasan-kawasan yang sibuk dan berdekatan kemudahan-kemudahan utama di estet kejiranan kita", kata Menteri Negara Kanan  Amy Khor semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Jumaat (3 Mac). 

Kawasan-kawasan berkenaan akan mempunyai laluan pejalan kaki lebih lebar, dan lintasan trafik baru bebas halangan dengan keutamaan bagi pejalan kaki dan 'keadaan trafik kenderaan yang lebih tenang". Ini dilakukan  menerusi kerja-kerja membaiki jalan dan tanda jalan raya untuk menggalakkan amalan jalan raya yang baik budi, tambah Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dalam satu kenyataan medianya. 

Langkah-langkah berkenaan merupakan usaha yang berterusan untuk menjadikan jalan raya kurang tertumpu kepada kenderaan selain menjadikan estet kejiranan lebih inklusif dan menggalak lebih ramai memilih untuk berjalan kaki, berbasikal dan menaiki pengangkutan awam, kata LTA.

LTA menyatakan, ia akan mengkaji program rintis itu untuk memperhalusinya sebelum diluaskan ke kawasan-kawasan kejiranan lain. 

Kejayaan projek sedemikian akan akhirnya "bergantung kepada 'semangat kampung' dalam masyarakat untuk menjaga satu sama lain semasa menggunakan  jalan raya", tambah LTA. 

LEBIH BANYAK LIF DI JEJANTAS

Untuk membantu  penduduk Singapura yang semakin menua dengan lebih baik lagi, lif akan dipasang di lebih banyak jejantas, kata Dr Khor. 

Lif sedemikian sudah dipasang di jejantas sejak 2013 dengan 77 lagi jejantas kini menyediakan kemudahan tersebut. 30 lagi sedang dalam perancangan. 

"Kami mengutamakan jejantas berdekatan tempat pengangkutan utama dan institusi jagaan kesihatan supaya lif tersebut akan memanfaatkan penumpang yang sukar bergerak," kata Dr Khor. 

MOT kini meneroka rancangan untuk melancarkan fasa baru untuk memasang lif di 110 lagi jambatan sedia ada, tambahnya. 

PROJEK LALUAN PEJALAN KAKI DI CHOA CHU KANG, TAMAN JURONG 

Dua projek membina laluan pejalan kaki di Choa Chu Kang dan Taman Jurong akan bermula pada separuh kedua tahun ini, umum Dr Khor pada Jumaat. 

Laluan sepanjang 80 meter antara Choa Chu Kang Avenue 1 dan pusat beli-belah Sunshine Place akan diubah  menjadi laluan khusus buat pejalan kaki. Ia akan meningkatkan akses ke kemudahan-kemudahan di pusat beli-belah dan stesen MRT Laluan Daerah Jurong yang bakal beroperasi pada masa akan datang. 

Laluan di Yung Sheng Road sepanjang 18 meter antara Pusat Beli-Belah Taman Jurong dan Pusat Makanan dan Pasar Taman Jurong, juga akan dijadikan laluan khas buat pejalan kaki. LTA turut menyarankan laluan berbumbung dan meningkatkan akses bagi orang ramai yang berulang-alik antara dua pembangunan itu. 

Dr Khor turut mengongsi perkembangan  projek laluan pejalan kaki di Woodlands Ring Road berdekatan Kampung Admiralty yang dijangka siap bulan ini, manakala projek di Tiong Bahru pula dijadualkan siap menjelang Jun. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan