Inisiatif kelas agama percuma bantu sokong pemulihan belia berisiko
Ustaz Muhammad Haziq Zainal telah memulakan inisiatif kelas agama percuma bagi membantu bekas penghuni Singapore Boys' Home sejak 2025. (Gambar: Hidir Ezat)
Namun jika mereka tidak didampingi sebaik sahaja mereka dibebaskan, agak sukar untuk mereka mendapat bimbingan agama yang sewajarnya.
Ini yang mendorong Ustaz Muhammad Haziq Zainal untuk memulakan inisiatif sendiri untuk terus menyokong belia yang dibebaskan dari Singapore Boys' Home (SBH) sejak Februari 2025.
Ustaz Haziq menyediakan kelas agama percuma untuk golongan tersebut di masjid-masjid.
Beliau sebelum ini merupakan antara asatizah yang menjadi sukarela di SBH untuk memberikan bimbingan agama buat para penghuni.
"Pada asalnya, ia merupakan satu peluang yang diberikan kepada Pegawai Pembangunan Belia daripada masjid-masjid di kelompok Barat dan kemudian berkembang menjadi inisiatif peribadi. Daripada kelas sekali dalam seminggu menjadi dua kali dalam seminggu berdasarkan permintaan daripada remaja di SBH sendiri," kongsi Ustaz Haziq.
"Bagi saya, saya percaya bahawa setiap belia di SBH berhak mendapatkan peluang yang kedua dan dengan bimbingan dan sokongan yang baik dan berterusan, ia mampu untuk membantu mereka dalam menjalani kehidupan yang seterusnya," tambahnya lagi.
Ustaz Haziq yang dahulunya bekerja di Masjid Darussalam, kini berkhidmat sebagai seorang pendakwah bebas dan mengendalikan syarikat pengurusan jenazah beliau sendiri.
"Bagi saya, pertama perlu memahami bahawa kepentingan memberikan didikan berterusan kepada para belia ini dan secara semula jadi, keseimbangan itu akan adalah," kata Ustaz Haziq.
"Bagi para belia di SBH, dengan pengajaran dan pendidikan yang baik ia dapat membantu mereka. Bukan saja untuk memahami agama tetapi untuk memahami bagaimana mereka dapat praktikkan pengajaran agama dalam kehidupan mereka dan pada masa yang sama dapat membina jati diri mereka dan dapat membina daya tahan mereka supaya membantu mereka untuk menghadapi apa sahaja rintangan dan masalah yang mendatang pada masa hadapan," katanya lagi.
BEKAS PENGHUNI HARGAI BIMBINGAN, PELUANG KEDUA UNTUK BERUBAH
Antara penghuni SBH yang telah meraih manfaat daripada usaha tersebut ialah 'Izzat' (bukan nama sebenar).
Sejak menyertai kelas yang dikendalikan oleh Ustaz Haziq, 'Izzat' menganggapnya sebagai diberi peluang kedua untuk memperbaiki dirinya sendiri.
"Ia membantu saya melihat sesuatu dari perspektif yang berbeza, di mana masih ada harapan dalam hidup dan kita tidak boleh berputus asa. Kita mesti bertindak walaupun perkara itu datang dengan cara yang salah tetapi jangan melihatnya dari sudut yang salah. Kita perlu melihatnya dengan cara yang lebih baik dan memperbaiki diri," kongsi 'Izzat'.
"Contohnya dalam kes saya, pegawai kes saya, YGO, orang-orang di SBH dan keluarga saya telah membantu saya dan hasilnya kehidupan saya menjadi lebih baik selepas saya keluar. Terdapat perubahan besar dalam cara saya menjalani kehidupan dahulu dan sekarang," tambahnya lagi.
Bimbingan moral dan agama ini di samping program akademik yang ditawarkan SBH dan Singapore Girls' Home (SGH) bagi pemulihan dan pembangunan menyeluruh bagi memenuhi keperluan para belia dan keluarga mereka.
Rumah-rumah ini juga bekerjasama dengan rakan kerja dan sukarelawan untuk menerapkan nilai-nilai positif dalam kalangan belia serta menyokong perkembangan mereka.
Sejak tahun 2015, Masjid Assyakirin dan Masjid En-Naeem telah menjalankan program pendidikan Islam secara mingguan.
Pada masa yang sama, ia juga telah menggerakkan para asatizah untuk memberikan pengajaran Islam yang menyeluruh kepada para belia di SBH dan SGH masing-masing.
Pada masa ini, terdapat 19 orang asatizah yang berkhidmat di kedua-dua Rumah tersebut (5 di SGH dan 14 di SBH).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.