Inisiatif Kejiranan Sihat Menua diperluas ke 3 lagi kawasan sedang SG capai status lampau usia
Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Ong Ye Kung, di seminar rancangan kerja Penjagaan Masyarakat pada 7 Mei 2026. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Inisiatif Kejiranan Sihat Menua akan diperluaskan ke Bedok, Bukit Panjang dan Tiong Bahru-Redhill, demikian diumumkan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial, Ong Ye Kung, di seminar rancangan kerja Penjagaan Masyarakat pada Khamis.
Beliau mengatakan Singapura sudah mencapai status negara lampau usia pada tahun ini, dengan lebih daripada 21 peratus rakyatnya berusia 65 tahun ke atas.
Selain itu, kira-kira 200,000 warga emas akan mencecah usia 75 tahun dalam tempoh lima tahun akan datang dan berkemungkinan besar akan mengalami masalah kesihatan.
Encik Ong yang juga Menteri Kesihatan berkata penuaan yang pantas boleh mengejutkan ekonomi, memberi tekanan kepada kecukupan persaraan, serta membebani sistem jagaan kesihatan negara.
Namun, beliau menegaskan terdapat berita baik di mana pihak pemerintah boleh melakukan sesuatu mengenainya dengan melakukan perubahan dasar yang tegas berkaitan pekerjaan, prasarana, sistem kesihatan, kecergasan ekonomi, dan kemampanan kewangan.
"Kedua, dan yang paling penting, sebenarnya tiada apa yang berubah secara mendadak apabila usia anda beralih dari 64 tahun ke 65 tahun... 65 tahun itu hanyalah angka mengikut tarikh lahir, bukannya tanda aras kemerosotan kesihatan."
Inisiatif Kejiranan Sihat Menua ini pertama kali diumumkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun lalu, dengan lokasi pertamanya di Toa Payoh.
Kejiranan Sihat Menua akan mempunyai pelbagai penambahbaikan seperti pusat penuaan aktif, jagaan peribadi di rumah, pusat kesihatan masyarakat, dan prasarana mesra warga emas. Warga emas boleh menyertai lebih banyak program penuaan aktif dan menerima khidmat kesihatan di pusat kesihatan masyarakat dipertingkat yang akan ditempatkan bersama beberapa pusat penuaan aktif.
Di rumah pula, warga emas yang memerlukan jagaan boleh mendapatkan bantuan selepas waktu pejabat.
Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Negara, dan Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan media bersama menyatakan ekosistem penjagaan ini, digabungkan dengan prasarana mesra warga emas, akan menyokong golongan tersebut untuk menua dengan sihat dalam masyarakat sambil memberikan ketenangan fikiran yang lebih besar kepada para penjaga.
Ciri-ciri ini akan diperkenalkan secara berperingkat ke tiga kawasan tersebut bermula tahun ini.
Pusat kesihatan masyarakat yang dipertingkatkan sudah pun beroperasi di Bedok dan Tiong Bahru-Redhill, manakala Bukit Panjang akan menyusul pada bulan September.
Selain menempah janji temu, para penduduk mempunyai pilihan untuk datang terus ke pusat kesihatan masyarakat ini bagi mendapatkan penilaian kesihatan asas, nasihat, atau bantuan untuk mengakses skim dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Pasukan kesihatan masyarakat juga akan bekerjasama dengan doktor umum dan hospital untuk menyokong penduduk mencapai matlamat kesihatan mereka, termasuk menyediakan bimbingan gaya hidup untuk membantu menguruskan keadaan kronik, menyokong warga emas yang mengalami kelemahan fizikal, serta memantau penduduk dengan keperluan kesihatan yang lebih kompleks.
Encik Ong berkata pihak kementerian memastikan setiap Kejiranan Sihat Menua yang baharu disokong oleh kelompok jagaan kesihatan yang berbeza agar mereka dapat membina pengalaman dan keupayaan dengan cepat untuk bekerjasama dengan sektor jagaan masyarakat.
Tawaran penjagaan peribadi di rumah yang diperluaskan akan tersedia bermula separuh pertama 2027 di Bukit Panjang dan Tiong Bahru-Redhill, manakala di Bedok akan bermula pada separuh kedua 2027.
Kakitangan jagaan akan berpangkalan di dalam kejiranan tersebut bagi membantu warga emas yang layak dengan aktiviti harian, termasuk menukar lampin, mandi, atau jagaan rutin selepas waktu pejabat seperti membantu memusingkan badan di katil secara berkala. Ini membolehkan warga emas mendapat jagaan yang diperlukan pada masa yang tepat tanpa perlu menunggu kunjungan berjadual seterusnya.
Warga emas di kawasan ini juga akan mendapat akses yang lebih baik kepada program penuaan aktif dengan pembukaan pusat penuaan aktif tambahan dalam tempoh dua tahun akan datang.
Encik Ong mengatakan pusat-pusat ini bukan lagi sekadar tempat yang disediakan untuk warga emas, tetapi tempat di mana mereka boleh memimpin, menganjurkan aktiviti, menyokong jiran tetangga, dan membina rangkaian sosial sesama penduduk.
Lebih 110,000 warga emas dijangka mendapat manfaat daripada pembangunan di empat Kejiranan Sihat Menua tersebut.
Mengenai Apartmen Jagaan Masyarakat (CCA), Encik Ong menjelaskan ia adalah konsep perumahan awam bantuan kehidupan yang menyepadukan reka bentuk mesra warga emas dengan khidmat jagaan di lokasi.
Walaupun sangat popular semasa mula dilancarkan, permintaan bagi apartmen ini sudah merosot secara ketara. Oleh itu, pihak kementerian merancang untuk memperlahankan pelancaran CCA baharu bagi memberi laluan kepada pilihan jagaan jangka panjang lain.
Pemerintah juga akan menyelaraskan subsidi bagi meningkatkan kemampuan pakej perkhidmatan asas untuk penduduk CCA yang layak.
HDB melancarkan CCA di beberapa kawasan seperti Bukit Batok dan Queenstown, manakala apartmen seterusnya di Toa Payoh akan mula dijual pada bulan Oktober.
Beberapa penambahbaikan juga diumumkan untuk dilaksanakan secara berperingkat di Kejiranan Sihat Menua Toa Payoh tahun ini, termasuk penambahan tiga pusat penuaan aktif menjelang Disember dan empat lagi menjelang Mac 2027.
Sokongan jagaan peribadi di rumah akan diperluaskan untuk merangkumi sokongan yang lebih menyeluruh dan tepat pada masanya bermula separuh kedua 2026.
Penambahbaikan prasarana dijadual siap pada separuh kedua 2028, termasuk pemasangan lif di tiga jejantas yang menghubungkan pembangunan bersepadu Toa Payoh menjelang tahun 2030.
Selain itu, ruang hijau baharu seperti taman deria dan taman terapeutik akan diperkenalkan bagi menjadikan persekitaran lebih selamat dan mesra warga emas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.