Inisiatif 'Joy Box' bawa keceriaan kepada hampir 1,500 penduduk dan keluarga memerlukan termasuk dari Pertapis
SINGAPURA: Hampir 1,500 keluarga dan penduduk memerlukan meraih manfaat daripada inisiatif 'Joy Box' yang kembali buat kali ketiga.
Inisiatif masyarakat yang diterajui Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Tampines Changkat itu disertai lebih 300 penderma.
Ia termasuk 12 penderma korporat seperti GoJek Singapura, SBS Transit dan GIC Private Limited.
Lebih istimewa lagi, kandungan kotak-kotak hadiah itu diolah dan disesuaikan mengikut latar belakang setiap individu itu bagi membawa keceriaan kepada para penduduk sempena musim perayaan.

(Gambar: Pejabat Kawasan Undi Tampines Changkat)
Antara penerima bantuan tahun ini termasuk para penghuni daripada Rumah Peralihan Pertapis, yang menerima kotak hadiah pada Selasa (19 Dis).
PARA BEKAS PESALAH SUMBANG TENAGA
Selain menjadi penerima bantuan, Rumah Peralihan Pertapis juga menyumbang kembali dari segi sumber tenaga manusia bagi pengagihan kotak-kotak hadiah itu.
Seramai empat bekas pesalah dan Encik Iskandar daripada Rumah Peralihan Pertapis turut menyingsing lengan mengagihkan lebih daripada 300 kotak hadiah.
Antara bekas pesalah itu termasuk 'Najib', bukan nama sebenar, yang menyertai usaha itu bagi membantu mereka yang memerlukan.
"Saya percaya yang menolong orang lain ini semua (membuat) saya rasa senang," kongsi 'Najib'.
"Saya berasa bangga kerana saya (dapat) berbakti kepada orang-orang dan saya berasa gembira bila menolong orang-orang yang dalam kesusahan," tambah beliau.

(Gambar: Pejabat Kawasan Undi Tampines Changkat)
Menurut 'Najib', inisiatif sebegini memberi semangat kepadanya untuk terus membantu orang dalam jangka masa panjang.
"Sehingga saya selesai dengan program ini pun saya akan meneruskan apa yang saya sedang lakukan untuk mendekati mereka di luar sana dan menolong orang kerana saya percaya dengan sikap memberi," ujar 'Najib'.
PESAKIT HOSPIS, KANAK-KANAK DARI RUMAH KEBAJIKAN ANTARA PENERIMA BANTUAN

(Gambar: Pejabat Kawasan Undi Tampines Changkat)
Turut hadir bagi mengagihkan kotak-kotak hadiah kepada para penghuni rumah peralihan itu ialah Datuk Bandar Daerah Timur Laut dan Penasihat Tampines GRO, Encik Desmond Choo.
Menurut beliau, program itu sudah dikembangkan kepada para penduduk baru termasuk mereka dari Projek Reben Kuning, serta hospis-hospis untuk melibatkan pesakit yang sedang menjalani rawatan paliatif.
"Kami melakukan ini kerana kami percaya Singapura boleh membina kompak yang lebih kuat dengan mendapatkan rakyat Singapura mendekati mereka yang memerlukan," ujar Encik Choo.
"Mereka yang kurang berkemampuan ini boleh datang dari ruang yang berbeza, daripada mereka yang sedang merana dari segi perubatan kepada mereka yang memerlukan harapan untuk integrasi kembali kepada masyarakat dan juga mereka yang kurang berkemampuan dan boleh mendapat sedikit sokongan dengan pemberian hadiah tahun ini," tambah beliau.

(Gambar: Pejabat Kawasan Undi Tampines Changkat)
Pengagihan itu diadakan sepanjang dua hari, iaitu bermula pada 17 Disember dan berakhir pada 19 Disember.
Selain daripada Rumah Peralihan Pertapis, mereka dari Rumah Kanak-Kanak Pertapis serta para pesakit di HCA Oasis@Outram juga merupakan antara penerima kotak-kotak hadiah itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.