Skip to main content

Singapura

Inisiatif hidangan jimat tidak lagi diwajibkan di kedai kopi HDB

Kedai kopi Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tidak lagi diwajibkan untuk menawarkan hidangan hemat, di bawah perubahan yang bertujuan menjadikan skim tersebut lebih mampan.
Anggaran Waktu Membaca:
Inisiatif hidangan jimat tidak lagi diwajibkan di kedai kopi HDB
Papan tanda yang memaklumkan mengenai hidangan hemat yang ditawarkan di sebuah gerai mi di sebuah kedai kopi di sepanjang Yishun Ring Road pada 21 Oktober 2025. (Gambar: CNA/Ooi Boon Keong)
Diterbitkan : 10 Jan 2026 01:22PM Dikemas Kini : 10 Jan 2026 07:30PM
SINGAPURA: Kedai kopi Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) tidak lagi diwajibkan untuk menawarkan hidangan jimat, di bawah perubahan yang bertujuan menjadikan skim tersebut lebih mampan.

Sebaliknya, para pengendali kedai kopi boleh memutuskan sama ada mereka mahu menyertai inisiatif itu, sebagai pertukaran bagi diskaun sewa atau yuran Lesen Pendudukan Sementara (TOL), menurut HDB dalam satu kenyataan media pada Sabtu (10 Jan).

Kedai kopi sewaan sedia ada tidak lagi perlu menawarkan hidangan hemat apabila tempoh sewa diperbaharui, manakala kedai kopi milik persendirian boleh menarik diri daripada skim tersebut dengan serta-merta.

HDB juga turut menyeragamkan skop keperluan hidangan hemat daripada antara dua hingga enam hidangan kepada tiga pilihan hidangan. Keperluan untuk menawarkan dua minuman hemat kekal tidak berubah.

Hidangan hemat lazimnya berharga S$3.50 dan ke bawah, manakala minuman ditetapkan pada harga S$1.20 dan ke bawah.

Perubahan itu akan terus menyediakan para penduduk dengan pilihan makanan dan minuman yang dimampui bagi keperluan harian asas mereka, sambil memastikan skim tersebut kekal mampan bagi para pengendali dan pemilik gerai, menurut HDB.

Inisiatif hidangan hemat diperkenalkan pada 2018 di kedai kopi HDB baharu yang ditenderkan di bawah rangka kerja Kaedah Harga-Kualiti HDB, bagi menyediakan pilihan makanan yang dimampui kepada para penduduk.

Inisiatif itu diperluaskan kepada semua kedai kopi sewaan HDB lain yang memperbaharui tempoh sewa pada Mei 2023, dan seterusnya kepada kedai kopi HDB milik persendirian yang dijual di pasaran terbuka mulai Disember 2023.

Sehingga 31 Disember 2025, terdapat 350 kedai kopi sewaan HDB dan 48 kedai kopi HDB milik persendirian yang menyediakan hidangan hemat.

Inisiatif hidangan hemat itu terpakai bagi kedai-kedai kopi HDB, dan berbeza daripada syarat tender Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) di pusat-pusat penjaja perusahaan berteraskan tanggungjawab sosial (SEHC) dalam melaksanakan langkah-langkah untuk mengekalkan harga makanan yang dimampui, seperti menawarkan sekurang-kurangnya satu hidangan yang mesra dari segi harga di setiap gerai.

SKOP DISERAGAMKAN

Menurut HDB, para pengendali kedai kopi dan pemilik gerai menyuarakan kebimbangan berhubung ketidakmampanan skim itu untuk dikekalkan, berikutan peningkatan kos dan kadar sambutan yang rendah.

Pada 2023, beberapa penjaja memberitahu Mediacorp bahawa mereka berdepan kesukaran untuk menyediakan hidangan hemat akibat peningkatan kos operasi.

Para penduduk juga memberi maklum balas bahawa mutu hidangan hemat tidak selaras dan saiz hidangan mungkin berbeza-beza, menurut HDB.

Pada Oktober 2025, CNA TODAY melaporkan bahawa daripada 40 hidangan hemat yang dinilai, tiada satu pun yang memenuhi saranan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

Keperluan hidangan hemat juga berbeza-beza antara pengendali kedai kopi, bergantung kepada sama ada ia dimiliki secara persendirian atau disewa. Kekurangan susunan tersebut juga menyebabkan hidangan hemat yang ditawarkan menjadi tidak selaras antara kedai kopi yang berlainan, menurut HDB.

Mulai 10 Januari, skop keperluan bagi hidangan hemat akan diseragamkan bagi semua pengendali kedai kopi, menurut HDB.

Daripada sekurang-kurangnya empat pilihan sebelum ini, para pengendali kini dikehendaki menyediakan tiga pilihan hidangan: satu pilihan nasi ekonomi yang terdiri daripada nasi, satu lauk daging dan dua sayur, satu pilihan hidangan Halal, serta satu item sarapan.

HDB menyatakan bahawa dengan sokongan yang lebih besar buat para pengendali untuk menyediakan hidangan hemat, para penduduk boleh menjangkakan mutu hidangan hemat yang lebih konsisten.

LEBIH BANYAK SOKONGAN

Sebelum ini, HDB memberikan diskaun sewa sebanyak lima peratus kepada para pengendali kedai kopi sewaan bagi tempoh satu tahun bermula dari tarikh pembaharuan sewa, sebagai galakan menyertai inisiatif hidangan hemat.

Dengan pelarasan terhadap inisiatif tersebut, diskaun sewa lima peratus tersebut akan dilanjutkan bagi keseluruhan tempoh sewa selama tiga tahun.

Diskaun yang dilanjutkan itu akan terpakai bagi kedai kopi sewaan baharu dan sedia ada apabila mereka memulakan atau memperbaharui sewa, sekiranya mereka memilih untuk menawarkan hidangan hemat.

Kedai kopi sewaan sedia ada yang sudah pun menawarkan hidangan hemat juga akan menerima diskaun tersebut secara automatik bagi baki tempoh sewa semasa mereka, menurut HDB.

Sebelum ini, para pengendali kedai kopi milik persendirian tidak menerima sebarang sokongan pembiayaan untuk menyertai inisiatif tersebut.

Namun kini, mereka boleh menerima diskaun terhadap yuran Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi kawasan jamuan luar.

Ia bersamaan dengan lima peratus daripada nilai sewa pasaran yang dinilai bagi sebuah kedai kopi sepanjang tempoh tiga tahun, dan dihadkan sehingga 100 peratus daripada yuran tersebut.

HDB menyatakan, para pengendali yang menyertai inisiatif berkenaan dikehendaki menyalurkan sepenuhnya diskaun tersebut kepada para penyewa mereka, iaitu para pemilik gerai yang menyediakan hidangan hemat.

“Bagi memastikan perkara tersebut, HDB akan memerlukan para pengendali untuk menandatangani surat perjanjian dan mengisytiharkan bagaimana diskaun itu akan diagihkan dalam kalangan pemilik gerai yang menawarkan hidangan hemat,” menurut HDB.

Ia menambah bahawa pihaknya boleh menghentikan dan menuntut semula diskaun sewa tersebut jika ia tidak diagihkan dengan sepenuhnya kepada para pemilik gerai yang menyertai inisiatif berkenaan.

Dalam halaman Soalan Lazim untuk media, HDB menyatakan bahawa tidak akan berlaku perubahan mendadak terhadap jumlah kedai kopi yang menawarkan hidangan hemat, memandangkan masih belum tiba masanya bagi kebanyakan pengendali untuk memperbaharui sewa mereka.

Selain itu, sokongan pembiayaan yang digandakan sebanyak tiga kali kepada para pengendali yang menawarkan hidangan hemat akan “menggalakkan pengendali menyertai skim tersebut dan menawarkan hidangan hemat secara mampan”, menurut HDB.

HDB turut menambah bahawa isi rumah berpendapatan rendah yang memerlukan bantuan tambahan bagi mendapatkan makanan yang dimasak boleh memanfaatkan inisiatif sokongan oleh masyarakat mereka, seperti baucar makanan, sarapan percuma dan bento makan tengah hari percuma.

KETELUSAN SEWA

Menurut HDB, ia akan mula mengumpulkan data berhubung kadar sewa gerai yang dikenakan oleh para pengendali. Langkah tersebut bermatlamat untuk meningkatkan ketelusan dan membantu pihak berkepentingan membuat keputusan yang lebih berinformasi berhubung sewa.

Sewa kedai kopi kekal stabil sepanjang tiga tahun lalu, dengan 90 peratus kedai kopi HDB tidak mengalami kenaikan sewa, menurut HDB.

“Namun demikian, terdapat kebimbangan bahawa sebahagian pengendali mungkin mengenakan kenaikan sewa yang tinggi terhadap pemilik gerai mereka, walaupun sewa yang dibayar pengendali kepada HDB sebahagian besarnya kekal tidak berubah,” tambahnya.

HDB akan menilai bagaimana data tersebut boleh didedahkan kepada umum selepas ia dikumpulkan.

Selain itu, HDB akan mewajibkan para pembida yang berjaya bagi semua tender kedai baharu untuk mengekalkan kadar sewa yang ditenderkan bagi dua tempoh sewa, atau enam tahun, berbanding satu tempoh sewa sebelum ini yang berlangsung selama tiga tahun. Keperluan itu terpakai kepada semua kedai HDB yang baru ditenderkan, bukan hanya kedai kopi.

“Dengan mewajibkan para pembida mengekalkan kadar sewa yang ditenderkan bagi tempoh yang lebih panjang, matlamat kami adalah untuk menggalakkan mereka membida secara berhemah.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita