Skip to main content

Singapura

Inisiatif Healthy You & Me berkembang ke kawasan lain, fokus lahirkan pemimpin komuniti

Anggaran Waktu Membaca:
Inisiatif Healthy You & Me berkembang ke kawasan lain, fokus lahirkan pemimpin komuniti

Cik Marlina Yased (kiri) bersama anaknya, Rafieq Sahin Rafizal (kanan). (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

Diterbitkan : 25 Jun 2026 11:58AM

SINGAPURA: Inisiatif peti sejuk masyarakat HY&M di Lengkok Bahru kini memasuki fasa baharu apabila model bantuan makanan berasaskan masyarakat mula menarik minat komuniti lain untuk melaksanakan usaha serupa di kawasan masing-masing.

Bagi pengasasnya, Cik Marlina Yased, kejayaan sebenar bukanlah melihat nama HY&M berkembang ke merata tempat, tetapi menyaksikan lebih ramai penduduk tampil memimpin dan memperkasakan komuniti mereka sendiri.

"Saya tidak perlu menggandakan HY&M di merata tempat. Apa yang saya mahu ialah masyarakat di kawasan lain membangunkan pemimpin mereka sendiri dan menggerakkan komuniti mereka sendiri," kata beliau.

Keinginannya itu dikukuhkan lagi selepas dipilih sebagai anggota baharu Kindred Spirit Circle (KSC) baru-baru ini. 

KSC merupakan rangkaian di bawah pertubuhan tidak raih untung, Pergerakan Baik Budi Singapura (SKM).

Ia mengiktiraf dan menyokong individu, projek relawan yang digerakkan masyarakat, serta organisasi bukan keuntungan yang berdedikasi untuk memupuk masyarakat yang berhemah, penyayang dan penuh belas kasihan di Singapura.

Menurut Cik Marlina, pihaknya kini berkongsi pengalaman serta membimbing komuniti lain yang berminat membangunkan inisiatif bantuan makanan dan sokongan kejiranan berasaskan keperluan penduduk setempat.

"Jika sesuatu yang sama boleh dilakukan di kawasan anda, kami sedia membimbing. Yang penting, komuniti itu sendiri bangkit dan memperkasakan komuniti mereka," tambah beliau.

Inisiatif itu bermula sebagai usaha menyediakan sarapan kepada kanak-kanak dan keluarga yang berdepan ketidakjaminan makanan di Lengkok Bahru sebelum berkembang menjadi sebuah rangkaian sokongan masyarakat.

"Saya sendiri pernah mengalami ketidakjaminan makanan sejak kecil. Ada masanya saya hanya mampu menghidangkan nasi bersama telur dan kicap untuk anak-anak selama seminggu. Pengalaman itulah yang membuatkan saya sentiasa terfikir bagaimana saya boleh membantu keluarga lain yang menghadapi keadaan serupa," kata beliau.

Related article image
Cik Marlina dan Rafieq mengisi semula peti sejuk masyarakat. (Gambar: Fatyn Abdul Samad) (Gambar: Fatyn Abdul Samad)

Usaha memperkasakan masyarakat itu turut melahirkan pemimpin muda dalam kalangan penduduk setempat. 

Antaranya ialah anak lelakinya, Rafieq Sahin Rafizal, 11 tahun, yang mengetuai Pasukan Tindak Balas Kecemasan (ERT) untuk membantu memantau isu keselamatan dan kebersihan di kawasan kejiranan.

Seperti ibunya, Rafieq juga dipilih sebagai anggota baharu KSC.

Selain menerima penghargaan daripada penduduk setempat, usaha Rafieq dan rakan-rakannya turut mendapat perhatian pelbagai pihak. 

Pasukan ERT itu juga dipilih untuk menyertai People's Parade dalam sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

"Saya rasa sangat teruja kerana tidak pernah terlibat dalam acara Hari Kebangsaan sebelum ini," kata Rafieq.

Sumber : BERITA Mediacorp/FT/ft
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita