Inisiatif Garis Panduan Gaji Umum Asatizah bakal dilaksanakan mulai tahun depan
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan melaksanakan Garis Panduan Gaji Umum Asatizah (CSG) secara berperingkat mulai tahun 2023.

Gambar fail para asatizah pada 2019. (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) akan melaksanakan Garis Panduan Gaji Umum Asatizah (CSG) secara berperingkat mulai tahun 2023.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli mengumumkan demikian dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Dr Shahira Abdullah mengenai hal tersebut.
Dr Masagos berkata, MUIS sedang bekerjasama dengan madrasah dan masjid untuk melaksanakan CSG.
Pelaksanaan CSG katanya memerlukan semakan yang menyeluruh, termasuk penilaian yang rapi ke atas skop tugasan asatizah serta penanda aras gaji mereka dengan sektor-sektor yang relevan.
"Pelarasan gaji ini akan disokong oleh sebuah sistem kukuh yang berdasarkan prestasi yang memastikan asatizah kita dibayar dengan adil berdasarkan kemahiran, kecekapan dan nilai yang mereka bawakan dalam tugas mereka," kata Encik Masagos.
Dengan kenaikan gaji para pegawai awam dan guru-guru dalam sektor sekular, Dr Shahira bertanya sekiranya gaji asatizah bekerja di institusi-institusi agama di sini juga akan disemak supaya ia di paras yang berdaya saing.
Encik Masagos memberi jaminan, MUIS akan memantau dengan kerap menyusuli pelaksanaan CSG kelak.
MUIS juga kata Encik Masagos, sedang mendampingi para majikan dari sektor madrasah dan masjid untuk menyemak semula sistem penilaian prestasi yang sedia ada.
"Apabila perbincangan ini selesai, MUIS akan melaksanakan Garis Panduan Gaji Umum Asatizah secara berperingkat mulai 2023. MUIS juga kemudian akan kerap memantau dan memastikan gaji untuk para asatizah kekal kompetitif dengan sektor-sektor relevan," tambah Encik Masagos.
KAKITANGAN MADRASAH; MASJID AKAN DILENGKAPI KEMAHIRAN TENTANG CSG
Menjelang pelaksanaannya, MUIS juga akan menganjurkan bengkel-bengkel untuk melengkapi penyelia, pegawai pelapor serta kakitangan sumber manusia dengan kemahiran dan pengetahuan untuk melaksanakan struktur gaji dalam pertubuhan masing-masing, selaras dengan CSG.
(Facebook/MUIS)
CSG adalah antara inisiatif yang dibentangkan semasa Seminar Pelan Kerja MUIS tahun ini.
Penyelarasan gaji itu berlandaskan sistem yang berdasarkan prestasi asatizah di tempat kerja mereka.
Di bawah model tersebut, asatizah yang bertugas di PERGAS dan memegang jawatan peringkat eksekutif ke atas boleh menerima gaji antara S$2,400 hingga S$7,500.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.