Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inisiatif FOOD4GOOD tambah keceriaan 500 penerima bantuan TAA dengan hamper makanan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 210 pemandu dan pekerja penghantaran makanan Grab menyingsing lengan hari ini (16 Apr) untuk mengagihkan hamper-hamper barangan dapur kepada 500 penerima bantuan Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA).

Inisiatif yang dipanggil FOOD4GOOD itu adalah hasil kerjasama antara Wisma Geylang Serai (WGS), Grab Singapura dan disokong oleh Yayasan NTUC Fairprice.

Ia diadakan buat julung-julung kalinya bagi membawa keceriaan kepada golongan yang memerlukan sempena Ramadan ini.

"Grab Singapura memang komited menggunakan teknologi dan wadah kami untuk meninggalkan kesan positif kepada masyarakat kami, dan ini termasuk masyarakat Melayu/Islam yang menjadi masyarakat penting bagi kami," kongsi Pengarah Urusan Grab Singapura, Encik Yee Wee Tang.

Secara keseluruhannya, tajaan bagi projek itu bernilai S$30,000 dengan Grab menyumbang barangan dapur bernilai S$15,000.

Syarikat itu juga menyumbang kad-kad hadiah bernilai S$10,000, yang dilengkapi dengan panduan dalam bahasa Melayu.

Ini bagi memastikan ia lebih mudah bagi para penerima bantuan memahami caranya untuk menggunakan kad hadiah ini.

(Gambar: Wisma Geylang Serai/Facebook)

Yayasan NTUC Fairprice pula menyumbang barangan runcit bernilai S$5,000 termasuk minyak, susu dan biskut.

"Semasa bulan Ramadan ini, kebanyakan Muslim menantikan waktu untuk berbuka puasa selepas sehari berpuasa. Namun, ramai keluarga yang tidak berkemampuan untuk menyediakan walau sedikit pun makanan buat berbuka puasa," ujar Encik Yee.

"Dengan itu, kami berharap tanda penghargaan walaupun kecil ini dapat membawa keceriaan kepada keluarga untuk menikmati juadah berbuka puasa yang sederhana," tambah beliau lagi.

Ini turut diharapkan Timbalan Ketua Jawatankuasa Eksekutif, Dana Amanah TAA, Encik Shah Reza.

"Semangat gotong-royong ini yang sangat kami gembirakan dan pastinya penerima bantuan kami sangat terharu dengan bantuan yang diberi," luah Encik Shah.

"Bantuan yang mereka dapat sedikit sebanyak dapat menceriakan hari-hari mereka dan memberi mereka harapan bahawa ada pihak di luar sana yang sangat prihatin dengan keadaan hidup mereka," tambah beliau lagi.

500 BEG HABUAN DISEDIAKAN DAN DIHANTAR KEPADA PELBAGAI KAWASAN

Sebanyak 500 beg habuan yang disediakan sejak Selasa lalu (12 Apr), dihantar ke pelbagai kawasan timur dan sebelah tenggara negara termasuk Upper Boon Keng, Bedok, Geylang dan Tampines, oleh sekitar 210 rakan Grab termasuk pemandu dan pekerja penghantaran makanan.

Mereka turut disertai Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Dr Faishal, yang juga merupakan Penasihat Utama WGS, sempat beramah mesra dengan beberapa penerima bantuan di kawasan Upper Boon Keng, untuk memberi habuan dan kad hadiah itu kepada mereka.

"Alhamdulillah saya sudah pun berjumpa dengan beberapa kalangan penerima ini dan mereka berasa gembira dan berbesar hati dengan peluang ini," kongsi Dr Faishal.

Menyentuh tentang kerjasama pelbagai badan bagi menjayakan usaha berkenaan, Dr Faishal menambah bahawa ini memberi ruang bagi semua pihak menyumbang apa-apa sahaja yang mereka mampu demi membangunkan masyarakat yang lebih inklusif.

"Bak kata pepatah muafakat membawa berkat, di mana kita boleh meluaskan pendekatan kita dan dengan adanya kerjasama di kalangan badan-badan ini, ia memberi ruang bagi semua pihak untuk menyumbang apa yang mereka boleh beri," kata Dr Faishal.

"Lebih bermakna lagi ialah bagaimana kita dapat bekerjasama untuk memberikan keceriaan dan juga menjaga kemaslahatan penduduk dan warga kita bersama, terutama masyarakat Melayu/Islam yang sedang berpuasa dan juga akan meraikan Hari Raya," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Grab juga bekerjasama dengan WGS untuk melancarkan sebuah sudut khas di bangunan itu untuk membolehkan para pemandu dan pekerja penghantaran makanan Grab berehat dan berbuka puasa.

Ia terletak di aras dua bangunan berdekatan dengan sudut Lepak@WGS.

Selain itu, Grab juga membantu para peniaga Muslim untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka secara online menerusi Bazaar Kita yang dianjurkan bersama WGS dengan Dewan Perniagaan Perusahaan Melayu Singapura.

 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan