Skip to main content

Singapura

Inisiatif Edubitez bantu kanak-kanak kelurga Comlink+ dilancarkan

Sebuah inisiatif kafe pembelajaran untuk menyokong kanak-kanak keluarga ComLink+ dirasmikan di acara 'Iftar Utara 2026' di Taman Sukan Mega Marsiling pada Ahad (22 Feb).
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Feb 2026 10:24PM Dikemas Kini : 20 Mar 2026 10:13PM
  • Inisiatif EduBitez dilancarkan di Taman Sukan Mega Marsiling untuk menyokong kanak-kanak keluarga ComLink+, dengan kerjasama IMSSA dan sokongan Crosspoint Capital Asia.
  • Program ini menyediakan kafe pembelajaran selepas sekolah, bimbingan oleh sukarelawan dan mentor, serta membentuk rutin positif bagi pelajar.
  • Acara Iftar Utara 2026 menyatukan lebih 7,000 penduduk Marsiling, memperkukuh semangat kekitaan dan gotong royong sepanjang Ramadan.
  • Lebih 600 keluarga berpendapatan rendah menerima baucar Bingkisan Kasih, membantu meringankan perbelanjaan sempena Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Sebuah inisiatif kafe pembelajaran untuk menyokong kanak-kanak keluarga ComLink+ dirasmikan di acara 'Iftar Utara 2026' di Taman Sukan Mega Marsiling pada Ahad (22 Feb).

Inisiatif tersebut yang diberi nama EduBitez, dibangunkan bersama Persatuan Khidmat Sosial India Muslim (IMSSA) bagi menyokong keluarga di bawah ComLink+, dengan menyediakan persekitaran selepas sekolah yang selamat, tersusun dan mesra untuk kanak-kanak.

Melalui konsep kafe pembelajaran, para pelajar dapat menikmati hidangan ringan, menerima bimbingan serta membentuk rutin positif sementara ibu bapa mereka masih bekerja.

Program itu akan dikendalikan oleh para sukarelawan IMSSA, termasuk golongan profesional yang tampil sebagai mentor dan pembimbing.

BADAN INDIA MUSLIM KELOLA INISIATIF SOKONG KANAK-KANAK COMLINK+

Di pelancaran program itu, Menteri Negara Kanan Pertahanan yang juga Penasihat kepada GRC Marsiling-Yew Tee, Zaqy Mohamed menekankan pentingnya program Edubitez dalam menyokong keluarga berpendapatan rendah dan kanak-kanak yang menetap di flat sewa.

"Kami bekerjasama dengan Comlink+ dalam pelbagai program dan Edubitez adalah salah satu program baharu bagi kami di mana IMSSA setiap tahun membantu kita untuk menjalankan program-program iftar."

"Tapi tahun ini mereka ingin menyumbang kembali kepada masyarakat untuk membantu anak-anak kita pula. Oleh kerana kami mempunyai lebih daripada setengah daripada penduduk yang menetap di flat sewa, kami mempunyai keluarga muda, kami melihat potensi anak mereka dapat dijaga, diberi aspirasi dan kami dapat membangunkan mereka serta memperluaskan lagi peluang bagi mereka," kata Encik Zaqy.

Setiausaha Dana Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat CCC Marsiling serta wakil IMSSA, Najuma Banu, menjelaskan bahawa program itu bermula sebagai usaha kecil untuk mendampingi kanak-kanak yang memerlukan ruang konsisten selepas sekolah.

"Kami merasakan bahawa terdapat jurang dalam masyarakat Muslim, di mana terdapat keluarga yang memerlukan tetapi tidak mempunyai akses yang mudah kepada pendidikan, khususnya dalam literasi dan perangkaan, terutamanya pada usia muda di luar waktu persekolahan mereka," luah Cik Najuma.

Beliau menambah bahawa selain sokongan pendidikan, para pelajar juga akan didampingi dalam usaha pembangunan.

Cik Najuma berkata: "Dalam hal-hal seperti penyediaan makanan, mereka saling membantu dari segi persiapan dan mengemas. Semua ini memberi mereka peluang untuk belajar, membantu antara satu sama lain dan berkhidmat kepada masyarakat secara keseluruhan."

SOKONGAN MASYARAKAT DAN RAKAN KORPORAT UNTUK MASA DEPAN EDUBITEZ

Rakan-rakan industri turut menyokong inisiatif itu.

Syarikat kewangan Crosspoint Capital Asia misalnya menyumbang sebanyak S$25,000, sekali gus membolehkan pertumbuhan berterusan serta memperluas impak EduBitez.

Encik Zaqy lantas berharap inisiatif baharu itu dapat menyediakan peluang bagi mereka dan menyuntik inspirasi bagi generasi muda untuk lebih berjaya daripada ibu bapa mereka serta terus mendapat kehidupan yang baik di Singapura.

"Kami memberi kesempatan untuk membawa mereka mendapatkan pengalaman, peluang dan juga melihat bagaimana kita dapat menolong mereka untuk meningkatkan lagi taraf mobiliti sosial mereka.

"Ini saya rasa penting di mana kami tidak mahu sahaja memberi kebajikan, tapi kita juga mahu membantu mereka meningkatkan diri mereka dan membina keyakinan diri supaya mereka dapat terus berjaya dalam kehidupan. Saya berharap pada masa hadapan mereka tidak lagi tinggal di flat sewa," kata Encik Zaqy.

Setakat ini, EduBitez sudahpun menyokong 52 penerima manfaat dan dalam perancangan untuk menggandakan jumlah tersebut dalam tempoh setahun akan datang.

Melangkah ke hadapan, Cik Najuma berharap dapat memperluaskan jangkauan program kepada lebih banyak zon bagi menyokong lebih ramai kanak-kanak daripada keluarga yang menetap di flat sewa.

Menjelang akhir tahun ini, bilik darjah kontena tambahan berhampiran Blok 180C, Marsiling Road akan disediakan bagi menyokong EduBitez dan program pembangunan berkaitan.

Inisiatif itu melengkapi pusat ComLink+ yang dikendalikan oleh Pejabat Perkhidmatan Sosial di Blok 182A, Woodlands Street 13.

IFTAR UTARA 2026 TERBESAR BUAT RAMADAN INI

Selepas melancarkan inisiatif itu, Encik Zaqy turut menyertai majlis berbuka puasa bersama bersama para penduduk di bahagian utara negara.

Menurut beliau, acara iftar yang terbesar buat Ramadan tahun ini merupakan ruang istimewa yang menyatukan ribuan penduduk dalam suasana penuh kekitaan.

"Acara seperti ini membawa bersama lebih daripada 7000 anggota masyarakat Marsiling dan bagi kami, ini menunjukkan bahawa semangat kampong dan gotong royong itu masih ada di dalam semangat Singapura," kongsi Encik Zaqy.

Majlis itu dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Marsiling, Masjid An-Nur dan Persatuan Khidmat Sosial India Muslim (IMSSA).

Menurut pihak penganjur, acara tahunan itu terus menjadi wadah penting dalam mengeratkan silaturahim serta menyemai semangat kebersamaan sepanjang bulan Ramadan.

BANTUAN BAGI KELUARGA BERPENDAPATAN RENDAH

Dalam bulan yang penuh barakah, lebih 600 penduduk berpendapatan rendah menerima baucar 'Bingkisan Kasih' bernilai S$50 di acara itu.

Langkah tersebut diharapkan dapat meringankan perbelanjaan isi rumah sempena Ramadan dan persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Menurut Pengerusi Penganjur Iftar Utara 2026, Azriman Mansor, tempoh perayaan adalah masa terbaik untuk memperkukuh budaya saling membantu dalam masyarakat.

“Selain berkumpul sebagai satu masyarakat, kita perlu memastikan sokongan praktikal dihulurkan kepada keluarga yang memerlukan, khususnya sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya,” kata beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita