Inisiatif 'Cakes4Hope' sebar keceriaan; hulur bantuan dari pesakit untuk pesakit barah
Dalam sekelip mata sahaja, dunia Encik Muhammad Hisham Bakri, 41 tahun berubah serta merta apabila beliau disahkan menghidap penyakit Leukemia Myeloid Akut (AML), sejenis barah darah dan sumsum tulang.
SINGAPURA: Dalam sekelip mata sahaja, dunia Encik Muhammad Hisham Bakri, 41 tahun berubah serta merta apabila beliau disahkan menghidap penyakit Leukemia Myeloid Akut (AML), sejenis barah darah dan sumsum tulang.
Beliau mula mengalami gejala-gejala penyakit itu sekitar Oktober 2021.
"Saya nampak macam tanda-tanda merah pada badan saya macam kena cakar, ada percikan darah dan sebagainya tapi saya tidak lakukan apa-apa tentang itu. Tidak ada ingat apa-apa. Ingatkan biasa sahaja ia akan hilang sendiri dalam beberapa hari ke beberapa bulan begitu. Jadi pergi doktor buat ujian darah, doktor cakap bacaannya pelik sedikit. Sel-sel darah putih terlalu tinggi," kata Encik Hisham.
(Gambar: Muhammad Hisham Bakri)
Dek kesibukan tugas sehariannya sebagai pembuat kek dan pengasas syarikat Hipster Bakes, Encik Hisham tidak mengendahkan nasihat awal doktor sehinggakan keadaannya berlarutan.
"Adalah insiden-insiden yang berlaku macam gusi berdarah tidak berhenti, ada kantung darah di dalam bahagian dalam pipi saya. Saya takut ia meletup menjadi beracun. Jadi saya pulang dari kedai dan balik ke rumah, saya tidak boleh tidur.
"Saya telefon kakak saya minta tolong hantar ke hospital. Di hospital sama juga, masih ada pendarahan. Tunggu dua jam sehingga jam 1 pagi. Doktor sahkan ia adalah barah," ujarnya, anak kedua dari dua beradik.
(Gambar: Muhammad Hisham Bakri)
Apabila beliau bertanyakan kepada doktor sekiranya ia berpunca daripada gaya hidup seseorang, beliau diberitahu seseorang boleh terkena penyakit itu sama ada sejarah dalam keluarga ataupun ia boleh berlaku secara tiba-tiba.
Namun Encik Hisham memberitahu wartawan Syawal Yusoff bahawa tiada seorang pun di dalam keluarganya yang pernah menghidap penyakit tersebut.
Mujur penyakitnya itu dikesan awal dan masih boleh dikawal dengan rawatan.
Beliau menjalani sesi kemoterapi dan ditahan di hospital sehingga 28 hari.
(Gambar: Muhammad Hisham Bakri)
Bagi Encik Hisham yang sibuk mengendalikan perniagaannya hampir 10 tahun, beliau agak janggal dengan rutin sebegitu.
"Saya tidak boleh buat apa-apa. Jadi dekat dalam situ (hospital) tunggu sahajalah. Menunggu hari bila keluar," katanya.
MASIH MENGENDALIKAN KEDAINYA WALAUPUN SAKIT
Apabila sesi-sesi kemoterapinya dikurangkan dan dibenarkan pulang ke rumah, Encik Hisham segera kembali mengendalikan perniagaannya yang terletak di Upper East Coast Road.
Itulah jalan keluar baginya untuk melupakan seketika penderitaan yang dialami.
(Gambar: Muhammad Hisham Bakri)
"Setiap kali saya keluar dari hospital, memang keesokan harinya saya sudah datang balik kerja walaupun doktor cakap suruh rehat tapi ia adalah cara untuk saya lari dari kenyataan. Jadi dengan membuat kerja, kita lupa," kata Encik Hisham, yang mengendalikan kedai yang terletak di Upper East Coast Road itu bersama kakaknya.
Beliau kini masih kerap perlu menjalani ujian darah setiap enam minggu.
Berdasarkan pemeriksaan dan penilaian doktor, masih terdapat sekitar 0.5 peratus sel barah di dalam sumsum tulangnya.
Walau bagaimanapun, Encik Hisham masih cuba berfikiran positif.
"Setiap hari saya cakap ‘saya tidak sakit’. Jadi kira jangan putus harapan adalah satu dan juga saya tidak mahu sentiasa fikir yang saya sakit. Jadi daripada situ ada kekuatan mental," ujarnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Beliau menambah, pengalamannya hidup dengan penyakit itu sepanjang dua tahun ini juga telah sedikit sebanyak mematangkan dirinya.
"Ia telah mengajar saya banyak tentang kesabaran. Jangan suka marah-marah. Bila hendak menangani orang bukan sahaja pelanggan tapi dengan anggota keluarga sendiri juga, bagaimana untuk berinteraksi lebih baik dengan mereka dan bukan hanya mengikut jalan saya," jelas Encik Hisham.
SASARAN S$10,000 UNTUK BANTU PARA PESAKIT BARAH
Bak pelangi selepas hujan, Encik Hisham juga mahu berkongsi sifat-sifat positif dengan mereka yang senasib dengannya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Dalam usaha untuk berbakti semula kepada masyarakat, khususnya golongan pesakit dan pengasuh mereka, beliau memulakan sebuah inisiatif kek amal, 'Cakes4Hope'.
Selain bertujuan untuk membantu menampung kos perubatan para pesakit sepertinya, beliau juga mahu menyuntik keceriaan kepada golongan itu.
"Untuk menghiburkan mereka jugalah dengan kek antara salah satunya cara bagi saya. Jadi kita berkumpul dengan kek. Ia juga dari seorang pesakit barah ke pesakit barah yang lain. Jadi saya rasa mesejnya juga saya boleh melaluinya, insya-Allah anda semua pun dapat melaluinya," kata Encik Hisham.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Setiap 'kek bento' itu dijual dengan harga S$20 dengan lebih 12 jenis perisa ditawarkan.
Sebahagian daripada hasil jualannya akan disalurkan kepada para pesakit barah yang memerlukan.
Sejak usaha itu dimulakan pada Jun tahun ini, Encik Hisham teruja dengan sambutan memberangsangkan daripada masyarakat dan para pelanggan setia.
"Ada yang bukan sahaja yang membeli untuk diri sendiri tapi ada yang hadiahkan kepada pesakit-pesakit yang lain atau mereka beli 10 biji kek, dia bayar untuk 10 biji kek tapi mereka cakap agihkan kepada semua yang memerlukan," katanya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Malah, ada juga yang prihatin tentang dirinya sendiri yang juga seorang pesakit dan masih berniaga.
"Ada juga yang murah hati dia bagi 'tip', atau mereka bayar lebih, mereka cakap baki itu untuk kami gunakan untuk bayar bil dan apa-apa sahajalah," ujarnya.
Menurut Encik Hisham, usaha kecilnya itu berjaya mengumpul sekitar S$900 dan sudahpun membantu lebih 10 pesakit barah.
Beliau berharap untuk capai sasaran sebanyak S$10,000 menjelang akhir tahun ini ataupun suku pertama tahun depan.
"Sesiapa yang menghubungi kami melalui Instagram yang memerlukan, mereka berkongsi kisah mereka, kami akan berikan (bantuan) kepada mereka. Insya-Allah tidak lama lagi jika responsnya makin bertambah, kita boleh tambahkannya dan bantu lebih ramai orang."
(Gambar: Syawal Yusoff)
Selain meningkatkan kesedaran tentang barah, Encik Hisham juga kini lebih prihatin tentang kadar gula yang digunakan dalam keknya.
Ini bagi memastikan ia sesuai dimakan oleh semua.
"Kita kurangkan sikit gulanya. Buat masa ini kita pun tengah mencuba resipi-resipi yang tidak ada gula terus tapi masih sedap dimakan tapi itu susah sedikit pasal kadang-kadang apabila kita katakan tiada tambahan gula, ia bermakna lebih kimia diperlukan yang tidak baik. Jadi kami masih perlu mengimbangi kemanisan dan juga tahap kesihatan juga," ujarnya.
MAHU TUBUHKAN KUMPULAN SOKONGAN
Selain membantu dari segi kewangan, Encik Hisham juga berharap dapat meluaskan lagi usahanya secara lebih menyeluruh.
Beliau yang memahami akan penderitaan para pesakit berharap untuk menubuhkan sebuah kumpulan sokongan bersama para pesakit dan pengasuh mereka, menjelang akhir tahun ini.
"Kita boleh kongsi sama pengalaman ataupun jika mereka ada masalah, jadi mereka ada ruang selamat untuk bersama-sama untuk membantu satu sama lain secara emosi dan memberi sokongan moral.
"Saya tahu ianya tidak mudah. Jangan putus harapan. Lakukan yang terbaik setiap hari," katanya.
Encik Hisham bermula sebagai seorang peniaga dari rumah pada 2014 sebelum membuka kedainya pada 2015.
Beliau sebelum ini pernah bertugas dalam bidang rekaan digital.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.