Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inisiatif Blessings in Harmony bantu hampir 2,000 keluarga memerlukan di Punggol

Hampir 2,000 keluarga memerlukan di Punggol menerima habuan barangan dapur menerusi inisiatif silang agama Blessings in Harmony (BIH) pada Sabtu (5 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hampir 2,000 keluarga memerlukan di Punggol menerima habuan barangan dapur menerusi inisiatif silang agama Blessings in Harmony (BIH) pada Sabtu (5 Nov).

Jumlah keluarga yang menerima bantuan itu tahun ini melonjak sekitar 60 peratus berbanding tahun lalu, sekali gus menjadi jumlah tertinggi sepanjang lima edisi inisiatif itu dijalankan. 

''

S$80,000 DIKUMPUL BAGI MEMBANTU HAMPIR 2,000 KELUARGA MEMERLUKAN

Seramai 390 sukarelawan daripada 16 pertubuhan agama dan masyarakat terlibat dalam pengagihan barangan makanan kering di tujuh blok sewa.

Setiap keluarga menerima barangan dapur dan makanan kering bernilai sekitar $60.

''

Menurut penganjurnya, Masjid Al-Islah, dalam masa sekitar tiga bulan sahaja, sebanyak S$80,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan masyarakat dan rakan-rakan kerja bagi usaha itu.

Pegawai Agama dan Pendamping Masyarakat, Masjid Al-Islah, Ustaz Muhd Khidir Hj Mohd Ibrahim berharap inisiatif itu dapat memperkukuhkan hubungan antara agama dan menggalakkan perpaduan sosial antara keluarga-keluarga di kawasan Punggol.

Ustaz Khidir berkata: "Ini merupakan kali pertama Masjid Al-Islah bersama badan-badan agama lain untuk menghulurkan bantuan kepada tujuh blok sewa di Punggol dan kita dapat memberi bantuan kepada 1,900 penerima bantuan. Kita juga berharap acara ini dapat disambungkan agar lebih ramai penerima bantuan dapat menerima manfaat pada masa depan."

''

"Ia sangat penting untuk adakan sikap harmoni antara satu badan agama dengan yang lain kerana dengan kita bersama, kita dapat melaksanakan acara dengan lebih baik lagi serta menjangkau lebih ramai daripada masyarakat kita," tambahnya.  

MASYARAKAT LEBIH INKLUSIF, KEKALKAN HUBUNGAN ERAT

Acara 'Blessings in Harmony' ini turut disertai Penasihat Pertubuhan Akar Umbi Punggol West, Cik Sun Xueling.

''

Beliau memuji usaha tersebut yang menyatukan badan-badan berlainan agama untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Saya percaya bahawa untuk mewujudkan masyarakat lebih inklusif dan membantu keluarga-keluarga yang menginap di blok-blok sewa, semua orang patut datang bersama dan melakukan baik bersama," ujar Cik Sun. 

Anggota Parlimen bagi GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha juga turun padang untuk sama-sama mengagihkan habuan kepada keluarga-keluarga penerima bantuan. 

''

"Acara ini yang dianjurkan oleh Masjid Al-Islah bersama badan-badan berbagai agama sangat bermakna kerana ia membawa masyarakat kita bersama untuk menolong keluarga-keluarga kurang bernasib baik. Saya berharap program ini akan dapat terus maju agar masyarakat kita akan terus mempunyai hubungan erat," kata Encik Sharael. 

SUMBANGAN BLESSINGS IN HARMONY BANTU KEHIDUPAN SEHARIAN KELUARGA-KELAURGA 

Antara penerima yang memanfaatkan agihan itu ialah Encik Shah Abdullah. 

"Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana ia sekurang-kurangnya mengurangkan beban saya untuk membeli keperluan seharian," kata Encik Shah. 

''

"Saya rasa terharu kerana merasakan bahawa pertubuhan-pertubuhan di sini ambil prihatin kepada kami yang tinggal di rumah sewa. Saya harap mereka akan teruskan usaha untuk membantu bukan sahaja masyarakat kita tetapi juga masyarakat lain supaya ada rasa perpaduan dan ada rasa kekeluargaan," tambah Encik Shah. 

Secara keseluruhannya, program BIH yang dijalankan pada 2019 dan 2021 telah membantu lebih 2,100 keluarga merentasi empat blok sewa di kawasan Punggol.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan