Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inisiatif Biasiswa Palestin sudah capai 20% sasaran, penerima bantuan mula pengajian mereka di SG pada Ogos 2025

Dalam masa kurang dua bulan Inisiatif Biasiswa Palestin (PSI) dilancarkan, ia sudahpun berjaya mengumpulkan S$85,445.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dalam masa kurang dua bulan Inisiatif Biasiswa Palestin (PSI) dilancarkan, ia sudahpun berjaya mengumpulkan S$85,445.

Jumlah itu sekitar 20 peratus daripada sasarannya iaitu sebanyak S$400,000.

PSI dilancarkan pada 26 Oktober lalu.
Menurut Ketua Projek, Dr Walid Jumblatt Abdullah, beliau optimistik usaha tersebut boleh mencapai sasarannya dengan sikap dermawan masyarakat.

"Pada pendapat saya, sekarang ini ramai orang rasa tidak berdaya. Mereka mahu melakukan sesuatu untuk menolong rakyat Palestin dan mereka memerlukan wadah-wadah sebegini. Kita memberikan satu wadah sebegini dan pendidikan adalah satu perkara yang ramai rakyat Singapura memang rasa mereka perlu sokong. Dari itu, saya rasa tidak akan ada masalah untuk kita dapat mencapai sasaran kita," kata Dr Walid.
Dr Walid yakin usaha ini dapat mencapai sasarannya dengan sikap murah hati masyarakat. (Gambar: Syawal Yusoff)
PERMOHONAN DIBUKA HINGGA 30 MAC 2025

Dengan dana yang terkumpul, PSI berharap dapat membiayai kos pendidikan serta keperluan sekurang-kurangnya dua rakyat Palestin untuk meneruskan pengajian mereka di Singapura.

Permohonan untuk biasiswa itu sudahpun dibuka awal minggu ini.

Selain perlu memegang dokumen perjalanan Palestin (seperti pasport atau dokumen pengenalan) dan berusia antara 18 hingga 35 tahun, mereka juga perlu menepati kriteria kemasukan ke universiti-universiti tempatan:
1) Universiti Nasional Singapura (NUS)
2) Universiti Pengurusan Singapura (SMU)
3) Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS)
4) Institut Teknologi Singapura (SIT)
5) Institut Pengurusan Singapura (SIM)

Sebelum membuat permohonan biasiswa, mereka juga perlu membuat permohonan kepada universiti-universiti terlebih dahulu.

"Prosesnya sebenarnya sama seperti proses pelajar antarabangsa datang belajar di Universiti di Singapura. Mereka perlu menepati beberapa kriteria yang ditentukan oleh Universiti tempatan sendiri dan selepas itu mereka perlu memohon untuk visa dan dan sebagainya. Jadi bagi pihak kita, apa yang kita lakukan, kita sedang bekerjasama dengan universiti di Palestin dan juga Kementerian Pendidikan Tinggi di Palestin untuk kalau boleh kita dapat cari pelajar-pelajar yang mungkin boleh memenuhi kriteria universiti tempatan," jelas Dr Walid.

Permohonan biasiswa dibuka sehingga 30 Mac 2025.

Biaya yang diperuntukkan untuk setiap pelajar dianggarkan bernilai S$200,000 untuk empat tahun yang akan menampung termasuk kos penerbangan, pengajian, tempat tinggal, perbelanjaan pengangkutan dan perbelanjaan seharian.

Dr Walid yang juga merupakan pensyarah di Sekolah Sains Masyarakat di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) berharap, dua pelajar itu dapat dikenal pasti secepat mungkin dan dapat dibawa masuk sebelum penggal universiti bermula pada Ogos 2025.

"Kami akan menilai aplikasi mereka bagi biasiswa kita dan jika semua berjalan lancar, mereka akan datang ke Singapura mungkin pada bulan Julai atau sebelum bulan Ogos atau mungkin permulaan bulan Ogos," ujar Dr Walid.

Menurut Dr Walid, sekiranya dana yang dikumpulkan menjangkaui sasaran, pihaknya berkemungkinan akan membuka kepada lebih ramai pelajar.
(Gambar: Syawal Yusoff)
PASUKAN BERBILANG KAUM & KEPAKARAN

Dalam pada itu, Dr Walid turut menarik perhatian bahawa usaha tersebut adalah sebuah usaha masyarakat sendiri yang dimulakan sekumpulan karyawan berbilang kaum dan latar belakang.

Antaranya termasuk mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) dan aktivis sosial, Anthea Ong selaku Pengerusi bersama.

"Kita juga seperti ramai rakyat Singapura. Kita rasa apa yang berlaku di Palestin ini sangat tidak adil. Rakyat Palestin ini perlu dibantu dan kita tengah fikir apa yang kita boleh lakukan sebagai negara kecil. Saya rasa ini antara inisiatif yang kita boleh lakukan," ujar Dr Walid.

Selain Cik Ong, mantan Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim juga dilantik sebagai pengerusi bersama.

Dr Walid berkata, Dr Yaacob yang berpengalaman sebagai pensyarah di universiti menjadikannya figura terbaik untuk menjadi penasihat kepada usaha itu.

"Beliau adalah seorang yang amat prihatin terhadap rakyat Palestin. Saya tahu beliau prihatin dan beliau seorang Profesor di universiti tempatan dan beliau juga penasihat bagi Presiden di SIT. Dari itu, saya rasa beliau orang yang layak untuk menjadi penasihat bagi projek. Saya rasa pengalaman beliau sebagai seorang profesor itu amat penting kerana beliau tahu apa yang diperlukan untuk berjaya di universiti tempatan," kata Dr Walid.

Selain membantu dari segi sumbangan, Dr Walid turut berharap masyarakat dapat membantu menyebarkan mesej tentang usaha murni itu.

"Yang penting bagaimana kita perlu menggembleng tenaga memikirkan bagaimana kita sebagai satu masyarakat boleh membantu rakyat Palestin kerana ini bukan sahaja untuk membantu mereka tetapi ini adalah untuk diri kita. Untuk menentukan mana 'kompas moral' kita," ujarnya.

Jawatankuasa PSI berharap untuk mengadakan acara-acara dan menjalin bekerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi dalam usaha merancakkan pengumpulan dana.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan