Skip to main content

Singapura

Inisiatif baru dilancarkan bantu bekas pesalah kembali ke pangkuan masyarakat dengan sokongan bekas banduan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Cik Norli Ismail hidup bebas dadah sejak dilepaskan daripada penjara sembilan tahun yang lalu.

Wanita berusia 44 tahun itu berusaha agar menjauhi dadah dan membina semula hubungannya bersama anak-anak.

"Saya mempunyai anak-anak yang menjauhi saya, yang tidak ingin berbual dengan saya. Saya terpaksa memujuk (anak lelaki saya) dan memintanya untuk berjalan-jalan dengan saya. Ia sukar tetapi boleh dilakukan," kata Cik Norli.

"Saya selalunya akan ditangkap apabila mereka ada. (Anak-anak saya) akan tanya 'Apabila ibu keluar, bila ibu balik?' Kerana kadangkala mereka takut apabila ibu mereka keluar rumah, dia tidak akan pulang. Dia hanya akan pulang ke rumah beberapa tahun kemudian."

Namun, detik-detik itu hanya kenangan buat bekas pesalah dadah tersebut. Hari ini, Cik Norli merupakan mentor dengan 'Desistor Network', iaitu inisiatif baru oleh Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS) untuk membantu bekas pesalah berintegrasi semula dengan masyarakat.

Dengan kerjasama 53 agensi masyarakat setakat ini, rangkaian itu bertujuan untuk membantu bekas pesalah mencegah jenayah dengan menawarkan peluang latihan, program bimbingan dan rangkaian sokongan.

Inisiatif itu dilakukan menyusuli statistik SPS yang memprihatinkan di mana 40 peratus pesalah kembali ke penjara dalam tempoh lima tahun sejak dibebaskan.

SOKONGAN DARIPADA BEKAS BANDUAN

Rangkaian itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai beberapa aliran bantuan yang sedia ada dan mewujudkan ekosistem pemahaman dan sokongan antara rakan masyarakat, banduan dan 'desistor' - iaitu bekas pesalah yang berjaya mencegah jenayah.

"Banduan dan bekas banduan boleh saling memahami pengalaman hidup, menjadikan 'desistor' satu sumber inspirasi yang kuat," kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Muhammad Faishal Ibrahim sewaktu pelancaran inisiatif itu pada Jumaat (15 Apr).

"Menerusi pengongsian dan pertukaran pengalaman hidup, kami yakin kumpulan 'desistor' boleh mengekalkan motivasi, mengukuhkan keyakinan dan memupuk minda dan tingkah laku positif yang merupakan kunci untuk menjauhi jenayah pada jangka panjang."

Cik Norli Ismail memberi kata-kata semangat di sekolah dan rumah tahanan pesalah bawah usia 16 tahun sebagai seorang mentor. (Gambar: Beautiful People)

LEBIH BANYAK BANTUAN DIRANCANG

'Desistor Network' menggunakan saluran Telegram untuk menghubungkan bekas banduan dengan agensi-agensi relevan dan terdapat perancangan untuk membangunkan aplikasi bagi meningkatkan sokongan itu.

Program-program lain juga sedang dirancang.

"Buat masa ini, di penjara, kami mempunyai kaunselor dan pakar psikologi yang mengendalikan program-program relevan bagi banduan kami," kata Encik Ong Choon Yong, Penolong Pengarah Kanan Divisyen Pemulihan dan Reintegrasi SPS.

"Pada jangka panjang, kami berharap untuk melihat 'desistor' yang berkelayakan mengendalikan kursus-kursus ini buat banduan kami di penjara."

Dengan lebih banyak agensi dan mentor dijangka menyertai program tersebut, ia diharapkan bahawa lebih ramai bekas banduan akan mengambil peluang ini untuk berubah.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita