Inisiatif baharu Bersatu SG perkukuh sokongan masyarakat bagi pemulihan bekas pesalah
Inisiatif sepanjang tahun itu juga bertujuan mengurangkan stigma terhadap bekas pesalah dan mengukuhkan sokongan bagi usaha menangani penyalahgunaan dadah dalam masyarakat Melayu/Islam. (Gambar: Hidir Ezat)
SINGAPURA: Satu inisiatif baharu, Bersatu SG, akan dilancarkan pada 2027 bagi meningkatkan kesedaran tentang penyalahgunaan dadah dan menggalakkan masyarakat menyokong proses pemulihan serta penyepaduan semula bekas pesalah ke dalam masyarakat.
Inisiatif sepanjang tahun itu juga bertujuan mengurangkan stigma terhadap bekas pesalah dan mengukuhkan sokongan bagi usaha menangani penyalahgunaan dadah dalam masyarakat Melayu/Islam.
Ia diumumkan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar, Zhulkarnain Abdul Rahim di Forum Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam (MMORN) 2026 pada Selasa (17 Nov).
Encik Zhulkarnain berkata Bersatu SG akan melibatkan pelbagai kegiatan bagi meningkatkan kesedaran tentang isu dan cabaran yang dihadapi masyarakat.
"Menerusi usaha ini, kami berharap dapat menggerakkan lebih ramai orang untuk bertindak bersama kami bagi menyokong belia berisiko, bekas pesalah dan, yang paling penting, keluarga mereka," katanya dalam ucapannya.
Menurut beliau, usaha itu memerlukan tindakan seluruh masyarakat dan bukan hanya MMORN.
MHA akan menyokong rakan masyarakat untuk menerajui inisiatif Bersatu SG. Namun, Encik Zhulkarnain menekankan bahawa gerakan itu perlu diusahakan bersama oleh semua pihak.
“Bersatu SG harus menjadi milik kita semua, milik anda semua, dan bukan hanya digerakkan oleh MHA atau mana-mana satu pertubuhan. Ia hanya akan benar-benar bermakna dan memberi kesan sebagai sebuah gerakan jika masyarakat sendiri membentuknya dan menggerakkannya ke hadapan,” kata beliau.
SOKONGAN UNTUK BEKAS PESALAH DAN KELUARGA
Ketua Pegawai Eksekutif PERTAPIS, Firdaus D’Cruz, menyifatkan Bersatu SG sebagai langkah penting untuk menyatukan agensi pemerintah, pertubuhan Melayu/Islam dan masyarakat dalam usaha pencegahan dadah, pemulihan dan penyepaduan semula bekas pesalah.
Beliau berkata pemulihan bukan sekadar mengatasi ketagihan, tetapi juga membantu bekas pesalah membina semula kehidupan, hubungan keluarga dan kerjaya mereka.
"Gerakan ini menyediakan platform yang amat bagus untuk kami sebagai MMO, keluarga, majikan dan agensi pemerintah dan masyarakat untuk bekerjasama."
"Setiap pihak memainkan peranan yang penting dalam memberikan sokongan dan peluang kepada bekas pesalah untuk kembali ke pangkuan masyarakat," kata Encik Firdaus.
Bagi bekas pesalah Muhammad Farhan Rahim, 37 tahun, program yang melibatkan anak-anak membantu beliau membina semula hubungan dengan mereka.
Menurutnya, bekas pesalah mungkin berdepan kesukaran untuk kembali berkomunikasi dengan anak-anak selepas menjalani hukuman.
"Bagi saya banyak membantu, jadi saya banyak memahami anak-anak dan saya dapat untuk berubah ke arah yang baik," kongsi Encik Farhan.
Beliau berharap lebih ramai bekas pesalah dapat mengetahui tentang bantuan dan program yang tersedia untuk menyokong perubahan mereka.
"Kalau bukan sekarang, bila? Jadi mula daripada sekarang, insya Allah kita boleh berubah dengan pilihan kita sendiri," katanya.
INISIATIF BAHARU DI BAWAH RANGKA KERJA 3P
Forum itu turut menyaksikan pengumuman inisiatif dan kerjasama baharu di bawah Rangka Kerja 3P, yang merangkumi usaha memperkukuh sokongan pekerjaan dan penjagaan lanjutan bagi bekas pesalah.
Ia juga bertujuan meningkatkan sokongan kepada keluarga yang terjejas oleh penyalahgunaan dadah dan pemenjaraan, meluaskan pendidikan pencegahan kepada belia serta membina keupayaan rakan masyarakat.
Antara inisiatif yang dirancang, FITRAH akan merintis model Mosque Care pada 2027 untuk menyediakan sokongan penjagaan lanjutan yang lebih tersusun kepada bekas pesalah selepas mereka dibebaskan.
Sokongan itu akan merangkumi usaha mendampingi bekas pesalah, menyatukan semula keluarga, menghubungkan mereka dengan rangkaian sosial yang positif dan merujuk mereka kepada rakan masyarakat lain.
Forum tahunan anjuran Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) itu diadakan di Auditorium Masjid Sultan dan dihadiri sekitar 200 pemimpin masyarakat Melayu/Islam dan India Islam serta wakil agensi pemerintah, pertubuhan dan rakan masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.