Skip to main content

Singapura

Inilah nasihat seorang ibu yang kehilangan anak lelakinya akibat bunuh diri

Anggaran Waktu Membaca:
Inilah nasihat seorang ibu yang kehilangan anak lelakinya akibat bunuh diri

Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos

Diterbitkan : 09 Jul 2023 10:49PM Dikemas Kini : 09 Jul 2023 11:09PM
SINGAPURA: Beberapa minggu sebelum Paul Ko meragut nyawanya sendiri pada usia 23 tahun, dia telah memberitahu ibunya bahawa dia sedang menuju ke arah pemulihan dan sedang mendapatkan bantuan untuk masalah kesihatan mental.

Genap dua tahun kemudian, kesedihan atas kehilangan anaknya masih belum pudar. Alicia Lim berkata, dia menyedari terdapat beberapa tanda amaran sebelum anaknya cuba membunuh diri.

Bercakap dengan Mediacorp sekitar seminggu selepas laporan menunjukkan terdapat 476 kes bunuh diri di Singapura pada tahun lalu, Alicia berkongsi kisahnya dengan harapan agar tiada seorang pun yang perlu melalui pengalaman yang serupa dengannya.
 
Jumlah kes bunuh diri yang dicatatkan di Singapura tahun lalu adalah yang tertinggi dalam tempoh lebih 20 tahun. Hampir satu daripada lima kes berusia antara 20 hingga 29 tahun.
KISAH MENDIANG PAUL

Sebagai seorang yang suka bergaul dan mudah mesra, Paul menanam cita-cita untuk menjadi seorang pekerja sosial dan belajar untuk menjadi seorang jururawat.

Malangnya, tekanan kursus itu bermakna dia terpaksa mengubah rancangannya dan berpindah ke pengajian drama di Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA), di mana dia berhasil menamatkan pengajiannya dengan menggenggam diploma.

Anak sulung daripada tiga orang anak, Paul sentiasa prihatin terhadap kakak dan abangnya.

Dia sangat rapat dengan adik perempuannya, yang mengalami autisme ringan. Sejak dari sekolah rendah, dia sudah mula menjaga adiknya.

Pada 2019, Paul mula menjauhkan diri dari rumah dan ini merenggangkan hubungannya dengan ibunya.

Semasa percubaan membunuh diri yang pertama, dia menghubungi rakannya, yang kemudian menghubungi pihak polis. Keluarganya dimaklumkan, dan mereka memulakan kaunseling.

Pada tahun 2020, apabila COVID-19 melanda dan tempoh "pemutus rantaian jangkitan" selama dua bulan - di mana penduduk hanya boleh keluar rumah untuk aktiviti penting - dikuatkuasakan, Paul bergelut untuk duduk di rumah.

Ketegangan meningkat dan apabila tempoh pemutus rantaian jangkitan itu tamat, dia sekali lagi cuba membunuh dirinya.

Dia dimasukkan ke Institut Kesihatan Mental (IMH) dan mula menjalani sesi kaunseling dengan seorang kaunselor. Keadaannya kelihatan bertambah baik.

“Selepas percubaan kedua, saya nampak perubahan pada wataknya, saya nampak perubahan pada sikapnya terhadap kehidupan. Dan saya fikir dia tahu apa yang dia lakukan, dan apa yang dia tidak sepatutnya lakukan,” luah Alicia.

Paul lulus dari pengajiannya di NAFA dan mula bekerja di sebuah kedai makan sambil menawarkan diri untuk membantu pemilik gerai di Pulau Ubin - menghantar makanan dan minuman ke gerai-gerai setiap minggu.
Gambar: Keluarga mendiang Paul Ko

Pada 4 Jun 2021, Paul membantu adik lelakinya menulis emel semasa keluarganya masuk tidur seperti biasa. Tetapi pada awal pagi keesokan harinya, polis tiba-tiba berada di rumah mereka.

Alicia mengingati pagi itu dengan jelas - pegawai polis memasuki bilik Paul dan terdapat nota yang ditujukan kepada keluarganya.

"Saya bertanya kepada pegawai polis itu 'di mana anak lelaki saya sekarang? Adakah anak lelaki saya masih hidup?' Dan dia berkata tidak. Ketika itulah, saya menangis."

MENGENAL PASTI TANDA-TANDA MEMPRIHATINKAN

Paul rapat dengan ibunya. Seperti kebanyakan keluarga lain, mereka kadangkala bertengkar dan berlaku perselisihan faham, tetapi apabila dia semakin matang, begitu juga hubungan mereka.

Tiada "senarai semak standard" untuk mengesan tanda-tanda yang membimbangkan, kata Alicia.

Mengimbas kembali, Alicia berharap dia dapat melakukan lebih lagi untuk mencegah Paul daripada percubaan pertama untuk membunuh diri.

Selain menggesa golongan muda supaya mendapatkan bantuan sekiranya mereka menghadapi masalah kesihatan mental, Alicia juga menasihatkan orang ramai supaya menjaga orang tersayang.

Berikut adalah talian bantuan yang boleh anda hubungi:

- Hotline Samaritans of Singapore
1767
- Institut Kesihatan Mental (IMH)
6389 2222
- Persatuan Kesihatan Mental Singapura
1800 283 7019

Anda juga boleh mendapatkan senarai talian bantuan antarabangsa menerusi pautan ini.

Jika seseorang yang anda kenali memerlukan bantuan segera, anda boleh menghubungi talian khidmat kecemasan 24 jam.

Sumber : CNA/SS/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita