Skip to main content

Singapura

Ini yang perlu anda tahu tentang vaksin COVID-19 Novavax bukan mRNA

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Singapura bakal menerima bekalan pertama vaksin COVID-19 Novavax dalam beberapa bulan mendatang selepas pihak berkuasa mengumumkan hari ini (14 Feb) bahawa ia sudah diluluskan untuk digunakan di sini.

Vaksin bukan mRNA itu boleh diberikan sebagai suntikan dos penggalak, menurut Kementerian Kesihatan (MOH).

Ia adalah vaksin keempat yang tersedia di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR), selepas vaksin Pfizer-BioNTech, Moderna dan Sinovac.

Ini yang anda perlu ketahui tentang vaksin COVID-19 Novavax, yang dihasilkan di bawah nama Nuvaxovid:

BAGAIMANA IA BERBEZA DENGAN VAKSIN MRNA?

Nuvaxovid menggunakan teknologi berasaskan protein yang sudah wujud selama beberapa dekad untuk mencipta vaksin terhadap penyakit seperti penyakit kayap, batuk kokol dan hepatitis.

Protein dalam vaksin Novavax meniru protein pepaku (spike protein) COVID-19. Ia dicipta dalam sel rama-rama, kemudian ditukar menjadi nanopartikel yang dituai untuk membuat vaksin.

Protein pepaku tidak berjangkit itu kemudiannya dimasukkan ke dalam badan untuk mendorong tindak balas imun.

Perbezaan utama antara vaksin Novavax dan mRNA ialah ia dibuat dengan salinan buatan makmal bagi protein pepaku COVID-19, manakala vaksin mRNA termasuk arahan genetik untuk badan membuat protein pepaku sendiri.

SEJAUH MANA IA BERKESAN?

Ujian menunjukkan bahawa Nuvaxovid adalah kira-kira 90 peratus berkesan dalam mencegah gejala COVID-19 dan 100 peratus berkesan dalam mencegah jangkitan teruk.

Dapatan itu adalah daripada kajian klinikal Fasa III yang melibatkan orang berumur 18 tahun ke atas.

Novavax sedang menguji vaksin itu dalam kalangan individu berumur 12 hingga 17 tahun. Ia menyatakan pada minggu lalu bahawa Nuvaxovid adalah 80 peratus berkesan terhadap COVID-19 dalam percubaan peringkat akhir dalam kumpulan usia tersebut.

ADAKAH IA BERFUNGSI TERHADAP OMICRON?

Tiada data menyatakan sama ada Nuvaxovid berkesan terhadap varian Omicron atau Delta, kata jawatankuasa pakar Singapura mengenai vaksinasi COVID-19.

"Varian ini belum berleluasa semasa Novavax menjalankan ujian klinikal," tambah Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Vaksin itu, bagaimanapun, sudah menunjukkan "keberkesanan yang konsisten" terhadap varian Alpha.

SIAPA YANG BOLEH MENGAMBIL VAKSIN?

HSA meluluskan vaksin tersebut untuk individu berusia 18 tahun ke atas.

Ia juga selamat untuk wanita yang sedang menyusu anak mereka, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Memandangkan Nuvaxovid bukanlah vaksin virus hidup, "ia secara biologi dan klinikal tidak mungkin menimbulkan risiko kepada bayi yang disusukan", menurut WHO, sambil menambah bahawa ia tidak mengesyorkan untuk menghentikan penyusuan disebabkan vaksinasi.

Vaksin harus diberikan dalam dua dos lima mikrogram, dengan jarak tiga minggu.

BACA: HSA beri kebenaran sementara kegunaan vaksin COVID-19 keluaran Novavax di Singapura

SIAPA YANG TIDAK PATUT MENGAMBIL VAKSIN?

Orang yang mengalami gangguan imun yang teruk dan mereka yang berusia di bawah 18 tahun tidak seharusnya mengambil vaksin sehingga data keselamatan dan keberkesanan untuk golongan itu disediakan, kata HSA.

Mereka yang mengalami reaksi alahan yang teruk selepas dos pertama tidak boleh diberikan yang kedua, tambahnya.

Bagi mereka yang mempunyai sejarah anafilaksis - tindak balas alahan yang teruk - juga tidak harus menerima vaksin itu, menurut WHO.

Orang yang mempunyai suhu melebihi 38.5 darjah Selsius atau yang sudah didiagnosis dengan COVID-19 akut harus menangguhkan vaksinasi sehingga mereka tidak lagi demam atau selepas pulih daripada penyakit akut dan tidak perlu diasingkan, tambah WHO.

APAKAH KESAN SAMPINGANNYA?

“Tiada kebimbangan keselamatan yang ketara”, menurut jawatankuasa pakar Singapura mengenai vaksinasi COVID-19.

Kesan sampingan yang biasa termasuk sakit pada bahagian suntikan, keletihan, sakit kepala dan sakit otot. Kebiasaannya ia akan pulih dengan sendiri dalam beberapa hari.

"Gejala ini adalah tindak balas yang biasanya dikaitkan dengan vaksinasi dan dijangka sebagai sebahagian daripada tindak balas semula jadi badan untuk membina imuniti terhadap COVID-19," menurut HSA.

APA YANG JAWATANKUASA PAKAR CADANGKAN?

Jawatankuasa pakar Singapura menyatakan walaupun Nuvaxovid adalah "alternatif yang boleh diterima" selain vaksin mRNA bagi mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas, "vaksin mRNA masih kekal sebagai vaksin pilihan disebabkan keberkesanannya yang lebih tinggi dan tindak balas imun lebih kuat yang dihasilkannya".

Nuvaxovid, bagaimanapun, disarankan berbanding vaksin Sinovac-CoronaVac, yang kurang berkesan.

"Nuvaxovid lebih menjadi pilihan berbanding Sinovac-Coronavac untuk orang yang dari segi perubatan tidak layak untuk menerima vaksin mRNA," kata jawatankuasa itu.

"Vaksin Sinovac-CoronaVac hanya boleh digunakan oleh orang yang dari segi perubatan tidak layak bagi vaksin mRNA dan Nuvaxovid."

BOLEHKAH NUVAXOVID DIGUNAKAN SEBAGAI PENGGALAK?

Ya, tetapi hanya untuk mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas, walaupun ia kurang berkesan berbanding vaksin mRNA.

Percubaan di Britain dengan lebih daripada 2,800 peserta menunjukkan bahawa apabila digunakan sebagai suntikan dos penggalak, Nuvaxovid menghasilkan "peningkatan ketara dalam tahap antibodi dan tindak balas sel, menurut jawatankuasa pakar.

Walau bagaimanapun, "ini adalah pada tahap yang lebih rendah jika dibandingkan dengan suntikan dos penggalak vaksin mRNA", tambah jawatankuasa itu.

Sebagai dos penggalak, satu dos vaksin Nuvaxovid disyorkan kira-kira lima bulan selepas dos terakhir vaksinasi siri asas.

NEGARA MANA YANG SUDAH LULUSKAN VAKSIN?

Vaksin Novavax sudah diluluskan di beberapa negara, termasuk Australia, Britain, Jerman, New Zealand dan Korea Selatan. Ia juga sudah memohon kelulusan di Amerika Syarikat.

Sumber : CNA/KF/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita