Ini sebabnya fatwa di S'pura perlu disemak...
Seiring dengan peredaran masa, kehidupan sosio-agama masyarakat Islam Singapura berubah-ubah. Maka itu, fatwa - yang bertujuan menghuraikan isu-isu rumit membelenggu masyarakat kita - juga perlu disemak agar terus dapat melindungi kebajikan mereka yang terjejas.
SINGAPURA: Seiring dengan peredaran masa, kehidupan sosio-agama masyarakat Islam Singapura berubah-ubah. Maka itu, fatwa - yang bertujuan menghuraikan isu-isu rumit membelenggu masyarakat kita - juga perlu disemak agar terus dapat melindungi kebajikan mereka yang terjejas.
Demikian jelas Timbalan Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir yang baru-baru ini ditemui BERITAmediacorp di forum anjuran Masjid Khadijah pada Khamis (17 Okt). Ia merupakan kali pertama pihak masjid tersebut menganjurkan forum yang membincangkan tentang perkembangan fatwa di negara ini.
"Bila situasi berubah, maka fatwa perlu dikemas kini. Kita perlu menilai jika fatwa yang pernah dikeluarkan satu ketika dahulu, masih lagi relevan dan bersesuaian sebagai satu jalan keluar," kata Dr Nazirudin yang diundang sebagai salah seorang anggota panel forum itu.
"Kerana ia merupakan dasar fatwa itu sendiri. Ia perlu berikan jawapan yang baik dan huraian yang baik bagi masyarakat."
Dalam tempoh lebih sedekad, beberapa fatwa dikeluarkan atau diubah Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS). Ini termasuk penetapan bahawa masyarakat Islam Singapura boleh disertakan di bawah Akta Pemindahan Organ Manusia (HOTA), selain mengiktiraf rancangan penubuhan bank susu badan sebagai selaras dengan objektif Syariah.
HAK MILIK RUMAH: "FARAID SATU KEWAJIPAN YANG PERLU DISEMPURNAKAN"
Yang terkini adalah semakan terhadap fatwa milik rumah. Pada Mei 2019, Jawatankuasa Fatwa menyatakan, orang ramai boleh memilih di antara kontrak Pemilikan Bersama (Joint Tenancy) atau Pemilikan Pecah Milik (Tenancy In Common).
Di bawah kontrak Pemilikan Bersama, pemilik bersama mendapat hak 100 peratus sekiranya pasangan atau pemilik lain meninggal dunia. Namun, mereka yang masih ingin mengikut faraid boleh memilih kontrak Pemilikan Pecah Milik.
Semakan tersebut menjadi contoh betapa penting menyemak semula fatwa bagi terus melindungi sesetengah masyarakat Melayu/Islam di sini.
Fatwa milik rumah sebelum ini menetapkan, pemilik bersama hanya mendapat hak 50 peratus manakala bakinya perlu dibahagikan mengikut faraid.
Menjawab kritikan di mana semakan itu dianggap sebagai "mengelak faraid", Dr Nazirudin menjelaskan tentang erti sebenar faraid.
"Ia merupakan satu kewajipan yang perlu disempurnakan oleh mereka yang menerima. Dalam isu pewarisan rumah sebagai contoh, bila seseorang menuntut haknya, tanpa menghiraukan nasib keluarga yang ditinggalkan oleh si mati, maka ia bercanggah dengan erti (sebenar) faraid itu," kata Dr Nazirudin yang juga anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa.
"Dalam erti kata lain, ia bercanggah. Maslahat dan kepentingan ahli keluarga yang ditinggalkan seharusnya dijaga."
Malangnya, banyak masalah timbul dek percanggahan antara tuntutan ahli waris. Ada kes di mana pemilik bersama terpaksa menjual rumah mereka walhal, membeli dan memiliki rumah baru di Singapura bukanlah sesuatu yang mudah.
SEMAKAN 2019: KESAMARAN DARI SEGI HUKUM 'HILANG'
Ditanya BERITAmediacorp jika MUIS masih menerima banyak panggilan berhubung kesulitan hak milik rumah selepas semakan dilaksanakan, Dr Nazirudin berkata, fatwa terkini itu sudah membantu menyelesaikan banyak masalah ataupun kesamaran yang dihadapi oleh keluarga-keluarga Islam di Singapura.
"Ada keperluan mereka yang masih hidup untuk mempunyai tempat berteduh. Dan dengan fatwa yang baru diluluskan, kesamaran dalam segi hukum itu sudah hilang," ujar Dr Nazirudin.
Beliau menambah, setiap isu rumit yang memerlukan fatwa, diteliti dengan begitu serius kerana ia melibatkan banyak aspek dan pertimbangan, "bukan sahaja hukum ataupun teks agama".
Maka itu tidak hairanlah, hanya terdapat sekitar 20 fatwa di Singapura - dalam senarai yang dikemas kini MUIS di lamannya. Ia meliputi aspek-aspek seperti akidah, soal kewangan dan harta, sains dan perubatan, zakat serta perkahwinan.
"Disebabkan ada banyak sangat pertimbangan, demi mencapai matlamat syariat itu, maka fatwa mengambil proses yang lama dan mungkin jumlahnya jauh lebih kurang daripada fatwa yang dikeluarkan di tempat lain," jelasnya lagi.
Beliau juga berharap, orang ramai tidak sahaja merujuk kepada enjin pencarian Google apabila kurang pasti tentang fatwa-fatwa Singapura. Ini kerana, fatwa bagi setiap negara adalah berbeza-beza.
Selain bertanya kepada pakar, forum anjuran masjid seperti yang dianjurkan Masjid Khadijah, menjadi wadah yang baik.
"Tidak hanya memberikan peluang kepada para jemaah untuk memahami 'Joint Tenancy', tetapi mereka juga dapat memahami institusi fatwa itu secara menyeluruh," kata Dr Mohamed Ali yang turut menganggotai panel forum itu. Beliau juga merupakan anggota bersekutu Jawatankuasa Fatwa.
Antara topik yang dikupas termasuk isu-isu berkaitan kontrak Pemilikan Bersama, fatwa-fatwa lain yang memberi kesan kepada kehidupan sosio-agama di Singapura dan nasihat tentang syariah. Forum itu berlangsung selama dua jam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.