Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ini satu-satunya upacara korban yang akan berlangsung di S'pura; 100 ekor kambing tempatan akan disembelih

Hasil kerjasama dengan sebuah syarikat Melayu, satu-satunya ladang ternakan kambing tempatan - Hay Dairies - akan menawarkan 100 ekor kambing korban. Ini bermakna amalan menyembelih haiwan korban akan dapat kembali diimarahkan di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Memang buat tahun kedua berturut-turut tiada penyembelihan korban di semua masjid merata Singapura sempena Hari Raya Aidiladha.

Namun hasil kerjasama dengan sebuah syarikat Melayu, satu-satunya ladang ternakan kambing tempatan - Hay Dairies - akan menawarkan 100 ekor kambing korban. Ini bermakna amalan menyembelih haiwan korban akan dapat kembali diimarahkan di Singapura.

Agensi Makanan Singapura (SFA) sudahpun memberi kebenaran untuk penyembelihan dijalankan di Hay Dairies pada Hari Raya Haji minggu depan. Anggota masyarakat yang membeli kambing-kambing itu juga dibenarkan menyaksikan upacara korban.

Kambing jenis American Nubian Hay Dairies. (Gambar: Afiqah Hussain) 

Proses penyembelihan pula akan diuruskan oleh Aaliyah's Pte Ltd - sebuah syarikat dagang haiwan ternakan. Ketua pegawai operasi syarikat itu, Encik Rafee Eunos, sebenarnya cukup berpengalaman dalam pengurusan ibadah korban.

"Beliau memang ada kepakaran hasil semasa menetap di Australia. Beliau mendapat sijil untuk menjalankan korban mengikut standard dunia dan ini bukan standard biasa-biasa, tetapi memang kepakaran beliau telahpun digunakan oleh pihak berkuasa untuk membantu kita menjalankan ibadah korban di sini," kata rakan projek usaha ini, Encik Mohamed Khair Mohamed Noor.

Bagi Hay Dairies pula, kerjasama ini dilihatnya sebagai satu sumbangan bermakna kepada masyarakat. Syarikat itu lazimnya menternak kambing untuk mendapatkan hasil tenusu sahaja.

"Hay Dairies ingin menyumbang kembali kepada masyarakat - terutama sekali kepada masyarakat Islam kerana sebahagian besar pelanggan kami adalah orang Islam. Jadi pihak keluarga dan pengurusan memutuskan untuk memainkan peranan kami untuk negara, membolehkan orang ramai merasakan keadaan seperti dulu," kata pemilik Hay Dairies, Encik Leon Hay.

HARGA SEEKOR KAMBING SEKURANG-KURANGNYA S$1,400

Sebenarnya, nilai pasaran kambing-kambing ternakan Hay Dairies cukup tinggi - seekor boleh mencecah beribu-ribu dolar.

"Apa yang kita ada di sini adalah jenis-jenis kambing yang ada di Amerika, seperti Alpine, Nubian dan Toggenburg - semuanya untuk dapatkan hasil tenusu. Maka itu, jika jenis kambing seperti ini dijual ke dalam pasaran biasa, bagi seekor kambing jantan, harganya antara S$3,000 hingga S$5,000 bagi dagingnya ataupun eksport," terang Encik Hay.

Maka tidak hairanlah, harga kambing korban jenis American Nubian ditawarkan di bawah usahasama antara Hay Dairies dengan Aaliyah's jauh lebih tinggi berbanding kambing yang dikorban di luar negara.

Harga kambing korban mereka adalah antara S$1,400 hingga S$2,000 seekor.

Ini sekurang-kurangnya empat hingga enam kali lebih mahal berbanding harga $320-$370 bagi seekor kambing yang ditawarkan Jawatankuasa Korban Masjid-Masjid Singapura (JKMS).

Satu lagi faktor yang membuat harga kambing korban ditawarkan Hay Dairies dan Aaliyah's adalah, berat seekor kambing mencecah antara 60 hingga 115 kilogram. Jadi, selepas kambing dikorban, pembeli akan dapat membawa pulang antara 35 hingga 45 kilogram daging!

"Kambing-kambing yang digunakan semuanya berusia kurang dua tahun. Untuk pengetahuan anda, jangka hayat kambing-kambing gunung seperti ini adalah sekitar 12 tahun. Apabila usia mereka sekitar setahun sahaja, beratnya hampir 70 hingga 80 kilogram. Mereka haiwan yang sangat besar," tambah Encik Hay.

Lebih 80 peratus kambing korban Hay Dairies dan Aaliyah's sudah ditempah. Mereka masih menerima tempahan buat masa ini.

AWALNYA MAHU TAWAR 230 EKOR KAMBING, TAPI...

Usaha menawarkan kambing untuk dikorbankan di tengah-tengah pandemik COVID-19 di sini ternyata tidak mudah.

Proses untuk mendapat lampu hijau dari pihak berkuasa memakan masa sekitar lapan bulan lamanya.

Selain perlu memastikan segala proses penyembelihan mendapat kelulusan Agensi Makanan Singapura (SFA), Hay Dairies dan Aaliyah's perlu melakar pelan untuk memastikan langkah-langkah jarak selamat dipatuhi.

Ini sedikit sebanyak menjejas bilangan kambing korban yang ditawarkan. Kedua-dua pihak pada awalnya ingin menawarkan 230 ekor kambing korban. Namun jumlah itu terpaksa dikurangkan kepada 100 ekor.

CARA LANGKAH-LANGKAH PENGURUSAN DITERAPKAN

Bagi penyembelihan 100 ekor kambing korban itu, jumlah kakitangan yang dilibatkan dihadkan kepada kurang 25 orang. Mereka semuanya akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan tidak dibenarkan bergaul.

Misalnya, kakitangan yang dikerah untuk melakukan penyembelihan tidak boleh bergaul dengan mereka yang ditugaskan untuk membungkus daging-daging korban.

"Jadi dalam satu ruangan ini, cuma ada antara enam hingga lapan orang sahaja. Laluan keluar bagi setiap ruangan juga terdahulu ditetapkan. Kita akan guna kod warna untuk (pakaian) pekerja kita untuk memastikan sesiapa yang berada di dalam ruangan tertentu, tidak bercampur dengan yang lain," jelas Encik Rafee.

Disebabkan bilangan kakitangan perlu dihadkan juga, hanya dua ekor kambing boleh disembelih pada satu-satu masa. Seluruh proses - dari saat kambing disembelih dan dagingnya siap dibawa pulang - akan memakan masa kira-kira satu setengah jam.

Jumlah pengunjung yang ingin melihat proses penyembelihan juga dihadkan kepada dua orang bagi seekor kambing.

Sementara menunggu daging kambing korban untuk dibawa pulang, mereka boleh menunggu di dalam kenderaan masing-masing atau khemah di ruang yang disediakan.

INGIN TAWAR AQIQAH JIKA USAHA INI BERJALAN LANCAR

Menariknya, usaha seperti ini tidak akan dilakukan sekali sahaja.

Hay Dairies dan Aaliyah's berhasrat menawarkan khidmat aqiqah pula selepas ini - juga menggunakan kambing-kambing ternakan Singapura.

"Kita cuba tengok. Kita tidak hanya tertumpu kepada ibadah korban sahaja. Boleh juga digunakan untuk aqiqah. Kan aqiqah sepanjang tahun. Tak kira. Jadi kalau permintaan daripada masyarakat baik, bermakna kemungkinan besar, kita akan teruskan lagi peluang ini, insyaAllah," kata Encik Khair.

Hay Dairies pula optimis kerjasama seperti ini boleh diteruskan buat jangka panjang. Ini lebih-lebih lagi kerana mereka baru-baru ini mendapat tender bagi tapak baru di Neo Tiew. Tapak itu boleh dijadikan sebagai ladang ternakan sepanjang 20 tahun.

"Kita akan bekerjasama rapat dengan Aaliyah dan agensi-agensi berkaitan untuk meninjau apa yang boleh dilakukan bagi menjamin bekalan haiwan ternakan seperti ini buat seluruh negara," tambah Encik Hay. 

Beliau juga menekankan bahawa kebajikan semua kambing ternakannya dijaga dengan teliti. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan