Skip to main content

Singapura

Ini nasihat K Thanaletchimi, Chia Yong Yong kepada bakal NMP

Mengambil pendirian yang tidak berpihak dan bercakap dari hati. 

Anggaran Waktu Membaca:
Ini nasihat K Thanaletchimi, Chia Yong Yong kepada bakal NMP

Cik K Thanaletchimi (kiri) dan Cik Chia Yong Yong (kanan).

Diterbitkan : 12 Sep 2018 07:36PM Dikemas Kini : 12 Sep 2018 10:32PM

SINGAPURA: Mengambil pendirian yang tidak berpihak dan bercakap dari hati.

Itulah nasihat para Anggota Parlimen Dilantik (NMP) kepada bakal NMP yang akan menggantikan mereka.

Pihak Mediacorp sempat bertemu dua NMP itu sebelum penggal mereka berakhir bulan ini - ahli gerakan buruh Cik K Thanaletchimi dan pejuang masyarakat inklusif, Cik Chia Yong Yong.

Mengimbas kembali tentang komennya mengenai pengeluaran wang simpanan CPF pada 2015, NMP selama dua penggal, Cik Chia Yong Yong, menekankan ia sudah disalah ertikan.

Beliau sebenarnya ingin mengingatkan rakyat Singapura supaya lebih berhemah dalam membelanjakan wang yang telah diperuntukkan untuk hari persaraan mereka.

Sehingga ke hari ini, peguam sepenuh masa yang juga Presiden SPD ini tetap berpegang pada mesej yang cuba disampaikannya itu.

Cik Chia berkata beliau berterima kasih kerana diberikan wadah untuk bercakap tentang isu-isu yang memberi kesan kepada semua rakyat, selain memperjuangkan penyertaan lebih ramai golongan kurang upaya.

"Ada orang mengatakan saya tidak mungkin berada di parlimen jika bukan disebabkan oleh kekurangan pada keupayaan saya," kata Cik Chia.

Keupayaan untuk memperjuangkan isu menerusi wadah yang disaksikan ramai juga merupakan salah satu sebab ahli gerakan buruh Cik K Thanaletchimi sanggup mengorbankan masa bersama keluarga.

"Saya menggesa syarikat-syarikat untuk memaklumkan MOM sama ada mereka akan memberhentikan pekerja mereka. Beberapa bulan kemudian, saya dapat melihat sesuatu sedang dilakukan," kata Cik K Thanaletchimi.

Cik Thanaletchimi menggalas banyak peranan dalam gerakan buruh, selain bekerja sepenuh masa sebagai penolong pengurus kanan dalam industri jagaan kesihatan.

Meskipun jadualnya padat, rekod Parlimen menunjukkan bahawa beliau merupakan satu-satunya NMP yang mempunyai kehadiran penuh dan juga NMP yang paling kerap berhujah.

Bila ditanya tentang sesi yang paling tidak boleh dilupakan, Cik Thanaletchimi memilih perbahasan mengenai presiden dipilih sebagai satu berdebatan yang mantap.

Cik Chia pula memilih sesi di mana para AP cuba mendapatkan penjelasan mengenai penahanan kenderaan Terrex SAF di Hong Kong.

Kedua-dua mereka memilih untuk tidak menyambung satu lagi penggal sebagai NMP namun pasti perjuangan mereka akan berterusan dalam apa jua cara.  

Sumber : CNA/NT/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita