Skip to main content

Singapura

Ini 'masa tepat' longgarkan sekatan COVID-19, kata pakar

Anggaran Waktu Membaca:
Ini 'masa tepat' longgarkan sekatan COVID-19, kata pakar

(Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 25 Mar 2022 09:47PM

SINGAPURA: Penduduk Singapura mungkin akan dilihat tanpa pelitup di tempat-tempat terbuka mulai Selasa (29 Mac). Ini merupakan satu detik peralihan daripada kebiasaan yang dilihat sepanjang pandemik COVID-19. 

Sedang Singapura bersiap sedia untuk melonggarkan sekatan COVID-19 terhadap had sekumpulan, jumlah penziarah ke rumah dan langkah-langkah di tempat kerja serta perjalanan luar negara, para pakar kesihatan memberitahu Mediacorp bahawa langkah itu diambil pada masa yang baik memandangkan kemuncak gelombang Omicron sudah lalu. 

Sebelum ini, masih tidak dapat dipastikan sejauh mana besarnya gelombang Omicron di negara ini dan terdapat juga keprihatinan tentang jumlah pesakit yang perlu dirawat di hospital dan juga kesannya terhadap sistem jagaan kesihatan secara keseluruhan. 

"Sekarang, oleh kerana jumlah kes di wad-wad am sudah merosot hampir setengah berbanding semasa kemuncak gelombang, kita lebih yakin yang kita berupaya untuk menangani sebarang kelonggaran langkah. Justeru, saya fikir ia adalah masa yang tepat," menurut Profesor Madya Alex Cook, Naib Dekan Kajian di Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura (NUS). 

Profesor Josip Car daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU) menarik perhatian kepada kadar tinggi vaksinasi dan suntikan dos penggalak.

Memandangkan "kebanyakan" penduduk sudah mempertingkat daya imun mereka setelah dijangkiti COVID-19 sejak beberapa bulan kebelakangan ini, ini adalah waktu yang baik untuk melonggarkan sekatan, tambah Profesor Car, Pengarah dan Pengasas Pusat Sains Kesihatan Penduduk di Sekolah Perubatan Lee Kong Chian. 

"Kami jangka tiada kejutan yang negatif dan sistem kesihatan boleh menangani jumlah kes jangkitan," menurutnya. 

KESAN TERHADAP SISTEM JAGAAN KESIHATAN 

Pelonggaran sekatan "tidak mungkin" menyebabkan sistem jagaan kesihatan menjadi terlalu tertekan dalam masa terdekat, menurut Profesor Madya Natasha Howard daripada Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock. 

"Kami sudah mengharungi kemuncak gelombang Omicron, dengan baik, meskipun tegang. Namun, prasarana dan kakitangan kesihatan tidak terlalu tertekan," menurutnya. 

"Justeru, kami yakin bahawa peralihan kepada sekatan yang dilonggarkan ini akan diuruskan dengan baik oleh petugas jagaan kesihatan kami." 

Walau bagaimanapun, jumlah kes mungkin kekal di paras yang sama atau naik untuk seketika setelah sekatan dilonggarkan, menurutnya lagi. 

"Namun, tidak mungkin kami akan saksikan jumlah jangkitan harian yang tinggi, seperti baru-baru ini, selain satu varian baru yang mudah berjangkit menimbul," tambahnya. 

LANGKAH YANG "MUNASABAH" 

Pelonggaran sekatan "munasabah" dan merupakan langkah yang "sangat penting dan wajar" diambil, menurut Profesor Fisher, yang juga merupakan Profesor Perubatan di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin NUS. 

"Manusia adalah insan yang sosial. Kita perlu berinteraksi dengan keluarga, rakan-rakan dan rakan sekerja. Oleh itu, perhimpunan dengan lebih ramai orang dan perjalanan ke luar negara sangat penting," menurutnya. 

Dari segi ekonomi, pembukaan semula sempadan Singapura akan membawa kesan yang terbesar memandangkan perjalanan ke luar negara kini "kurang berisiko untuk perniagaan dan keluarga", menurut Profesor Madya Cook. 

"Selain itu, keregangan masyarakat akan pulih memandangkan beberapa sekatan ditarik balik," tambahnya. 

Pelawat yang sudah divaksin kini boleh merentasi sempadan darat antara Singapura dengan Malaysia menggunakan kenderaan sendiri tanpa menjalani ujian COVID-19 atau kuarantin. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita