Skip to main content

Singapura

Ini garis masa pilihan perumahan bagi golongan bujang

Anggaran Waktu Membaca:
Ini garis masa pilihan perumahan bagi golongan bujang

Gambar fail. (Gambar: TODAY/Raj Nadarajan)

Diterbitkan : 21 Aug 2023 12:22AM
  • Golongan bujang tidak dibenarkan beli flat awam apabila skim pemilikan rumah HDB diperkenalkan pada 1960-an
  • Saban tahun skim tersebut berubah, dengan rakyat Singapura yang belum berkahwin tetapi layak boleh membeli flat jualan semula di bawah Skim Rakyat Singapura Bujang yang diperkenalkan pada 1991
  • Dalam beberapa dekad, pemerintah meningkatkan jumlah geran dan memberi lebih banyak akses kepada lebih banyak jenis flat bagi golongan bujang
  • Semasa NDR 2023 pada 20 Ogos, PM Lee mengumumkan perubahan kepada dasar-dasar perumahan yang memberi lebih banyak pilihan kepada golongan bujang


SINGAPURA: Ketika skim pemilikan rumah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) diperkenalkan pada 1964 untuk menyokong aspirasi perkahwinan dan keibubapaan rakyat Singapura, mereka yang tidak berkahwin tidak dibenarkan membeli flat awam.

Namun dalam beberapa dekad selepas itu, peraturan pembelian flat HDB bagi golongan bujang sudah berubah secara beransur-ansur. Titik perubahannya adalah pada 1991 apabila pemerintah memperkenalkan Skim Rakyat Bujang Singapura yang membolehkan golongan bujang berusia 35 tahun dan ke atas membeli flat lebih kecil, yang jumlahnya terhad, daripada pasaran terbuka.

Satu lagi titik perubahan dicatat pada Ahad (20 Ogos) apabila Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan dalam ucapannya semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) 2023 bahawa golongan bujang boleh memohon bagi flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baharu dua bilik flexi di mana-mana lokasi.

Menekankan pentingnya untuk membantu golongan bujang menangani keperluan perumahan mereka, PM Lee berkata: "semakin ramai rakyat Singapura memilih untuk membujang, dan golongan bujang juga berharap untuk memiliki rumah sendiri dan mempunyai lebih banyak pilihan perumahan."

Berikut perubahan-perubahan kepada akses perumahan bagi golongan bujang, yang sudah dilaksanakan sejak 1964 hingga ke hari ini.

GARIS MASA

1964


Pemerintah memperkenalkan Skim Pemilikan Rumah untuk Rakyat untuk memberikan rakyat "aset nyata di negara ini dan taruhan dalam pembangunan negara", serta mengupaya rakyat Singapura berpendapatan rendah untuk membeli flat.

Pembeli yang layak perlu berkeluarga dengan sekurang-kurangnya dua orang dalam keluarga mereka.

1974

Flat-flat HUDC dibina untuk memenuhi keperluan rakyat Singapura yang mampu membeli rumah yang biasanya lebih besar dan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan lebih baik berbanding flat awam HDB namun harganya lebih termampu berbanding kondominium privet.

Golongan bujang dibenarkan membeli flat-flat sedemikian.

1980

Golongan bujang dibenarkan menggunakan CPF mereka untuk membeli flat HUDC

1981

Pemerintah mempertimbangkan semula dasarnya yang membolehkan golongan bujang membeli flat HUDC, selepas Menteri Pembangunan Negara ketika itu, Teh Cheang Wan, berkata memberikan sebuah flat kepada seorang individu, berbanding pasangan, adalah "membazir".

Pemerintah kemudian mengenakan sekatan ke atas penjualan flat HUDC, di mana golongan bujang di bawah usia 40 tahun diletakkan dalam senarai menunggu dan hanya boleh membeli sebuah flat apabila mereka berkeluarga.

1982

HDB mengambil alih pengurusan flat HUDC

1991

Skim Rakyat Bujang Singapura diperkenalkan untuk membolehkan golongan bujang berusia 35 dan ke atas untuk membeli flat jualan semula tiga bilik atau lebih kecil di lokasi-lokasi tertentu.

1998

Geran Perumahan CPF dilanjutkan kepada golongan bujang yang merupakan pembeli rumah pertama yang layak, yang mahu membeli flat daripada pasaran terbuka dan meraih pendapatan kasar bulanan isi rumah purata tidak melebihi S$7,000.

2001

Golongan bujang dibenarkan membeli flat jualan semula tiga bilik atau lebih kecil di mana-mana lokasi.

2004

PM Lee mengumumkan bahawa golongan bujang dibenarkan membeli flat jualan semula empat bilik atau lebih besar di mana-mana lokasi.

2013

Golongan bujang dibenarkan membeli flat BTO 2 bilik flexi secara langsung daripada HDB.

2019

Geran Perumahan Dipertingkat (EHG) CPF diperkenalkan untuk membolehkan golongan bujang yang juga pembeli flat pertama kali layak menerima geran perumahan sehingga S$40,000.

Geran itu layak bagi pemilik rumah pertama dengan pendapatan bulanan tidak kurang S$4,500.

2022

HDB menambah kuota bagi golongan bujang yang memohon bagi flat dua bilik fleksi di estet belum matang daripada 50 peratus kepada 65 peratus.

2023

Geran Perumahan CPF bagi golongan bujang dinaikkan daripada S$25,000 kepada S$40,000.

2024

Mulai separuh kedua 2024, pemerintah akan memperkenalkan rangka kerja baharu yang menggantikan kategori matang dan belum matang bagi flat BTO yang baru dilancarkan.

Flat-flat akan dikategorikan sebagai Standard, Plus atau Perdana, dengan subsidi serta sekatan-sekatan berbeza bagi setiap satu.

Golongan bujang yang layak akan dapat memohon bagi flat BTO dua bilik fleksi di semua lokasi bagi jenis-jenis flat baharu tersebut.

Mereka juga boleh membeli flat Standard atau Plus, tidak kira saiznya atau membeli flat Perdana dua bilik daripada pasaran terbuka.

Sumber : Today/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita