Ini caranya ibu bapa boleh bantu belia jauhi pengaruh radikal menerusi online
Sementara pengaruh online boleh menyebabkan golongan muda mudah terjebak dalam radikalisasi diri, hubungan yang dijalin bersama orang-orang sekitaran dapat mencegahnya daripada berlaku, kata para pengamat.
Gambar fail seorang lelaki melihat skrin komputer.
SINGAPURA: Sementara pengaruh online boleh menyebabkan golongan muda mudah terjebak dalam radikalisasi diri, hubungan yang dijalin bersama orang-orang sekitaran dapat mencegahnya daripada berlaku, kata para pengamat.
Ini termasuk para ibu bapa dan penjaga serta guru-guru yang dapat mendampingi dan membimbing golongan belia untuk berfikir secara kritikal apabila berdepan dengan ideologi-ideologi pelampau.
Ini selepas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) mengumumkan pada Rabu (27 Jan) bahawa ia menahan seorang remaja lelaki warga Singapura berusia 16 tahun yang merancang untuk melancarkan serangan ke atas dua buah masjid tempatan pada 15 Mac, iaitu pada ulang tahun ke-2 serangan Christchurch di New Zealand.
Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal dalam Negeri K. Shanmugam memberitahu media bahawa sejak 2015, tujuh orang di bawah usia 20 tahun ditangkap di bawah ISA kerana menjadi radikal menerusi online.
Daripada ketujuh-tujuh individu itu, empat diberkas sementara lagi tiga dikenakan perintah sekatan.
"Golongan muda berada di kehidupan mereka di mana mereka mengalami peralihan secara biologi, psikologi dan sosial. Di peringkat itu, mereka punya lebih banyak keinginan untuk mencabar kerangka yang diajarkan kepada mereka oleh ibu bapa dan figura berkuasa yang lain," kata zamil penyelidik kanan Institut Kajian Dasar Dr Mathew Mathews.
Dengan kurangnya tanggungjawab sosial dan keluarga, mereka lebih prihatin terhadap rasa ketidakadilan dan mempunyai keinginan untuk melibatkan diri dalam soal perjuangan, kata Dr Mathews.
"Golongan belia mungkin mudah terjejas oleh ideologi pelampau kerana seringkali ia menyentuh tentang ketidakadilan yang dialami yang menimbulkan keprihatinan dan kepercayaan untuk melakukan sesuatu yang bermakna," katanya.
"Kumpulan-kumpulan pelampau dilihat seolah-olah membantu membina kepercayaan dan identiti para belia namun pada hakikatnya menyelewengkan mereka dan mengambil kesempatan terhadap keinginan mereka," kata seorang pakar psikologi klinikal Tracie Lazaroo, dari Klinik LP dan Khidmat Psikologi Inner Light.
APA YANG BOLEH DILAKUKAN?
"Benar-benar sukar untuk katakan" apakah cara terbaik untuk mencegah daripada berlaku radikalisasi secara sendiri seperti itu, kata Profesor Madya Kajian Antara Agama di Sekolah Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam (RSIS) Paul Hedges. Beliau menarik perhatian bahawa terdapat pelbagai profil individu yang mengambil jalan itu.
Bagaimanapun, beliau menarik perhatian bahawa beberapa tindakan mesti diambil.
"Satu, jelasnya, adalah pemantauan dan penyekatan bahan-bahan yang boleh menyebabkan berlaku radikalisasi dan ini perlu dilakukan oleh ahli-ahli politik, wadah media sosial, dan sebagainya," kata beliau.
"Namun begitu di luar ruang online, aspek pendidikan, ibu bapa, ahli politik, kumpulan-kumpulan agama perlu menerapkan dalam diri orang ramai cara-cara kehidupan yang memecahkan sikap 'kita atau mereka' dan stigma terhadap kumpulan tertentu," katanya.
Selain daripada mengeluarkan kenyataan prejudis atau terdapat perubahan pada personaliti, satu lagi perkara yang harus dipantau oleh para ibu bapa adalah sama ada anak mereka meluangkan masa berjam-jam bersendirian menggunakan komputer atau telefon bimbit, kata Dr Hedges.
Dr Lazaroo juga menggesa para ibu bapa dan waris supaya memupuk sekitaran pemikiran kritikal bagi anak-anak di bawah jagaan mereka, dalam soal sumber maklumat. Ini demi memberikan pemahaman lebih lengkap lagi objektif mengenai ehwal semasa.
Mereka juga harus membantu anak-anak mereka untuk meneroka pelbagai wadah bagi meluahkan pendapat dan memperjuangkan perubahan dengan "cara selamat dan kondusif", dan tidak melihat kepada keganasan, katanya.
"Apabila ibu bapa berusaha untuk mengambil tahu tentang kehidupan anak-anak mereka dan mempunyai perbincangan terbuka mengenai apa yang sedang anak-anak mereka baca dan fikirkan, ia menghasilkan banyak peluang untuk mengesan sama ada anak-anak mereka sedang bergerak ke arah fahaman pelampau," kata Dr Mathews.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.