Ini caranya Belanjawan 2022 boleh bantu pekerja lanjut usia seperti penyelia dapur, Habsah Ahmat 61 tahun
Selama lapan jam sehari, Cik Habsah Ahmat memasak dan menyelia operasi dapur di sebuah cawangan restoran Seoul Garden di Harbourfront Centre. Meskipun pada dasarnya keadaan kesihatannya baik-baik sahaja, penyelia dapur berusia 61 tahun itu kadangkala mengalami sakit ringan yang mungkin biasa dalam kalangan golongan sebaya dengannya.
Cik Habsah Ahmat (dalam gambar) bertugas sebagai penyelia dapur di restoran Seoul Garden. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)
SINGAPURA: Selama lapan jam sehari, Cik Habsah Ahmat memasak dan menyelia operasi dapur di sebuah cawangan restoran Seoul Garden di Harbourfront Centre.
Meskipun pada dasarnya keadaan kesihatannya baik-baik sahaja, penyelia dapur berusia 61 tahun itu kadangkala mengalami sakit ringan yang mungkin biasa dalam kalangan golongan sebaya dengannya.
“Saya mengalami sakit sengal-sengal tulang pada lutut dan kaki saya jadi ia agak mengganggu tugas saya di dapur lebih-lebih lagi apabila saya perlu menyangkung untuk mengambil barang-barang," kata beliau kepada Mediacorp.
Sememangnya, Cik Habsah memikirkan berapa lama lagi dia boleh terus bekerja secara aktif mentelah lagi dalam sektor makanan dan minuman (F&B) - yang perlu banyak membanting tulang - di mana beliau menghabiskan sebahagian besar usianya bekerja.
Tiap kali Cik Habsah memikirkan soal persaraan, keprihatinan berhubung kos perubatan pada masa hadapan akan terlintas di fikirannya memandangkan beliau juga menghidap darah tinggi.
Antara rancangan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Lawrence Wong semasa menyampaikan kenyataan Belanjawan 2022 pada Jumaat (18 Feb) adalah langkah-langkah bantuan seperti kadar sumbangan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) lebih tinggi, yang membantu memperkukuhkan rancangan persaraan bagi pekerja lanjut usia seperti Cik Habsah.
Bagi pekerja seperti Cik Habsah, berumur 60 hingga 65 tahun misalnya, 20.5 peratus daripada gaji mereka akan dimasukkan ke akaun CPF mereka mulai Jan 2023, naik berbanding 18.5 peratus sekarang.
Rakyat dan Penduduk Tetap Singapura (PR) yang menjadi sebahagian daripada tenaga kerja perlu menyumbang kepada CPF, iaitu sebahagian penting sistem keselamatan sosial negara. Ini demi memperuntukkan simpanan bagi persaraan dan keperluan perubatan dengan sumbangan daripada pekerja serta majikan masing-masing.
Kadar sumbangan CPF sudahpun dinaikkan tahun ini, menyusuli satu pengumuman lebih awal pada 2019 bahawa ia akan dinaikkan secara bertahap-tahap sepanjang tempoh sedekad untuk pekerja lebih tua.
Pemerintah akan meneruskan dengan kenaikan kedua bagi kadar sumbangan oleh pekerja dan majikan bagi pekerja berusia antara 55 hingga 70 tahun pada 2023.
Cik Habsah memberitahu Mediacorp beliau tidak begitu bimbang sekiranya membawa pulang gaji sedikit lebih rendah setelah sejumlah lebih tinggi dimasukkan ke dalam akaun CPFnya.
“Dua orang anak saya sudah besar. Saya bekerja terutamanya untuk menampung perbelanjaan saya sendiri dan membuat simpanan untuk hari-hari tua," kata ibu tunggal dua anak itu.
Anak perempuan sulung Cik Habsah sudahpun berkahwin dan tidak lagi tinggal bersamanya. Maka itu, hanya beliau dan anak lelakinya, berusia 21 tahun, sahaja yang menetap di flat empat bilik mereka di Punggol.
Menurut Cik Habsah, perbelanjaan bagi anak kedua itu "tidak begitu banyak", memandangkan sebahagian besar yuran sekolah bagi pengajiannya di politeknik sudahpun ditampung oleh biasiswa. Anak lelaki Cik Habsah akan menamatkan pengajian di politeknik pada tahun ini.
Selain itu, Cik Habsah juga akan berpindah ke flat tiga bilik yang lebih kecil pada April. Memandangkan flat barunya itu sudah dibayar sepenuhnya, beliau tidak perlu lagi risau tentang terikat kepada satu lagi komitmen kewangan, ujarnya.
Satu lagi langkah bantuan yang diumumkan semasa Belanjawan 2022 adalah Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja dipertingkat yang akan membuat tokokan kepada gaji pekerja berpendapatan rendah.
Bayaran tahunan skim daya kerja itu akan dinaikkan bagi pelbagai kumpulan usia dan pekerja yang layak akan menerima bayaran lebih tinggi sehingga S$4,200, meningkat dari S$4,000.
Cik Habsah berusia dalam lingkungan 60-an tahun dan kumpulan usia itu akan mendapat bayaran tertinggi sehingga S$4,200.
Pekerja berusia 35 hingga 44 tahun akan menerima sehingga S$3,000 manakala mereka berumur 45 hingga 59 tahun pula akan mendapat sehingga S$3,600.
Cik Habsah, yang meraih pendapatan sekitar S$2,000 sebulan, kini menerima bayaran Daya Kerja kira-kira S$200 sebulan - atau S$2,400 setahun - sebahagian besarnya masuk ke dalam akaun CPFnya.
Tambahan pula, sebagai seorang pekerja dalam sektor F&B, Cik Habsah boleh meraih manfaat daripada Model Gaji Progresif yang bermatlamat untuk menaikkan gaji pekerja bergaji rendah sejajar dengan usaha mereka mempertingkatkan kemahiran serta daya penghasilan mereka.
Pemerintah mengumumkan tahun lalu bahawa model gaji itu akan diperluaskan untuk meliputi sektor perkhidmatan makanan, meskipun ia mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga tahun lagi.
Dalam pengumuman terkininya pada Jumaat, model gaji itu akan diperluaskan kepada sektor tersebut mulai Mac 2023.
Apabila ditanya sama ada kenaikan pada jumlah pendapatan dan sumbangan CPF yang lebih tinggi oleh majikan akan mendorongnya untuk menangguhkan rancangan persaraannyau, Cik Habsah hanya ketawa kecil.
“Buat masa ini, saya kadang-kadang rasa amat penat untuk bekerja tetapi ia bergantung kepada kesihatan saya. Jika saya mampu, mungkin saya bekerja sehingga 65 tahun, mungkin juga saya berhenti kerja lebih awal."
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.