Ini 7 perkara yang perlu anda tahu tentang Rapat Umum Hari Kebangsaan 2021
Sebahagian besar ucapan PM Lee juga tertumpu pada isu keharmonian kaum dan agama, yang menjadi tumpuan menyusuli insiden-insiden perkauman sepanjang tahun ini.

(Gambar fail: MCI)
SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapannya pada Ahad (29 Ogos), bercakap tentang prospek jangka panjang ekonomi, kebimbangan tentang pekerjaan dan isu sensitif berkaitan kaum dan agama, antara lain.
Sokongan bagi pekerja berpendapatan rendah dan respons terhadap kegelisahan meningkat berhubung pemegang pas kerja adalah antara dasar baru dan pengumuman yang dibuat PM Lee dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaannya yang pertama dalam tempoh dua tahun.
Sebahagian besar ucapan PM Lee juga tertumpu pada isu keharmonian kaum dan agama, yang menjadi tumpuan menyusuli insiden-insiden perkauman sepanjang tahun ini.
Berikut in mesej-mesej utama dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan itu:
1. PERTUMBUHAN EKONOMI JANGKA PANJANG
Singapura berjaya mengharungi "krisis ekonomi paling teruk sejak ia merdeka".
Sungguhpun demikian, ia kini harus berhenti "bergantung pada rizab negara" dan mengalihkan tumpuannya kepada usaha mewujudkan pekerjaan dan bidang-bidang pertumbuhan baru, kata PM Lee.
Untuk mencapainya, Singapura mesti mengekalkan statusnya sebagai sebuah hab perniagaan.
Ini bermakna, membuka semula sempadannya secepat mungkin dan membolehkan perjalanan keluar masuk negara ini dilakukan secara selamat, tambah beliau.
Usaha untuk menarik pelaburan terus diperlukan, dengan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) sudahpun mengikat beberapa projek semasa pandemik COVID-19.
Syarikat-syarikat tempatan dan usahawan Singapura juga harus dipupuk supaya dapat berkembang dalam ekonomi global baru.
Namun, meskipun Pemerintah akan mewujudkan persekitaran untuk usahawan berjaya, "hakikatnya, tekad dan kesungguhan mereka memanfaatkan sumber-sumber yang akan memastikan kejayaan mereka," kata PM Lee.
2. SOKONG PEKERJA BERPENDAPATAN RENDAH
PM Lee mengumumkan tiga langkah yang bertujuan menyokong pekerja berpendapatan rendah.
Pertama, Model Gaji Progresif (PWM) akan dilanjutkan untuk meliputi lebih ramai pekerja.
Sektor runcit akan dimasukkan ke dalam PWM mulai tahun depan, disusuli dengan khidmat makanan dan pengurusan sisa.
Pekerja tertentu dalam semua sektor, bermula dengan penolong pentadbiran dan pemandu, juga akan diletakkan di bawah PWM.
Kedua, syarikat-syarikat yang menggajikan pekerja asing diperlukan membayar semua kakitangan tempatan sekurang-kurangnya gaji kelayakan tempatan sebanyak S$1,400. Buat masa ini, bayaran itu hanya diberikan kepada sebahagian kakitangan tempatan.
Ketiga, pengguna akan tahu syarikat mana yang membayar "gaji yang baik" kepada pekerja mereka menerusi satu Tanda PW (Gaji Progresif).
Namun ini akan menambah kos perniagaan, yang sebahagiannya akan ditanggung pengguna.
Untuk mencapainya, PM Lee menggesa penduduk supaya bersedia untuk "membayar lebih sedikit bagi sebahagian barang yang kita sukai".
"Ia bukan setakat akan mengupaya pekerja agar dapat terus bekerja dengan gaji yang lebih tinggi. Ia juga akan menunjukkan bahawa sebagai sebuah masyarakat, kita menilai tugas dan sumbangan mereka, dan mereka adalah sebahagian daripada kita," kata PM Lee.
3. KURANG "PERLINDUNGAN ASAS" BAGI PEKERJA PENGHANTARAN
Semasa berucap tentang pekerja bergaji rendah, PM Lee memberi tumpuan khusus kepada pekerja penghantaran. PM Lee berkata beliau amat prihatin tentang kumpulan pekerja tersebut.
Mereka "pada dasarnya seperti kakitangan lain", namun tiada sebarang kontrak pekerjaan dengan platform-platform online yang menjadi mata pencarian mereka, ujar beliau.
"Lantaran itu, mereka kurang mendapat perlindungan asas yang dinikmati kebanyakan pekerja lain, seperti pampasan bagi kecederaan di tempat kerja, perlindungan kesatuan dan CPF," kata PM Lee.
Dengan lebih ramai orang melakukan kerja-kerja sedemikian, Kementerian Tenaga Manusia sedang meneliti isu tersebut dan akan mengadakan perbincangan mengenainya untuk memberikan golongan pekerja tersebut masa depan yang lebih terjamin.
4. TANGANI DISKRIMINASI DI TEMPAT KERJA
Garis-garis panduan sedia ada bagi layanan adil di tempat kerja akan dikuat kuasakan dengan lebih peraturan yang "berkesan".
Semalam, PM Lee mengumumkan bahawa garis panduan Perikatan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil dan Progresif (TAFEP) akan termaktub menjadi undang-undang sebagai langkah untuk menangani diskriminasi di tempat kerja dengan lebih berkesan.
Meskipun pemegang pas kerja di sini melengkapi tenaga kerja tempatan dan membantu ekonomi tumbuh, PM Lee akur "keresahan yang kian meningkat" berhubung pekerja asing dan persaingan sengit yang dirasai sebahagian rakyat Singapura bagi pekerjaan mereka.
Bagaimanapun, PM Lee berkata tindakan undang-undang perlu menjadi langkah akhir, dengan huraian-huraian tidak rasmi dan menerusi jalan damai bagi isu-isu di tempat kerja masih menjadi pilihan.
5. UNDANG-UNDANG BARU KEHARMONIAN KAUM
Singapura akan memperkenalkan Akta Mengekalkan Keharmonian Kaum yang mengukuhkan kuasa Pemerintah untuk menangani isu-isu perkauman.
Ini menyusuli ketegangan berhubung hubungan antara kaum sepanjang pandemik COVID-19.
Menyentuh tentang perkembangan masyarakat berbilang kaum di Singapura, PM Lee menekankan bahawa keharmonian kaum tidak berlaku "secara spontan". Sebaliknya, ia dicapai menerusi "kerja keras, pengorbanan dan kebijaksanaan".
Meskipun huraian sebenar kepada isu-isu perkauman adalah dengan mengubah sikap sosial, ini akan memakan masa dan memerlukan usaha, ujar PM Lee, sambil menambah undang-undang boleh memainkan peranan dalam proses itu.
Undang-undang itu termasuk "pendekatan lebih lembut dan halus", seperti "kuasa untuk mengarahkan seseorang yang melakukan kesalahan supaya berhenti melakukannya dan menebusnya dengan mempelajari lebih mendalam tentang kaum lain dan berbaik semula dengan mereka", kata PM Lee.
"Pendekatan lebih lembut ini akan memulihkan rasa terguris berbanding menimbulkan rasa benci."
6. JURURAWAT DIBENARKAN PAKAI TUDUNG
Jururawat Muslim dalam sektor jagaan kesihatan awam akan dibenarkan memakai tudung bersama pakaian seragam mereka mulai November ini.
Pemerintah sudah membuat persiapan bagi pengumuman tersebut, dengan Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Mac lalu memberi bayangan tentang perubahan dalam pendirian Pemerintah.
Semalam, PM Lee berkata setelah memerhatikan interaksi wanita Muslim yang bertudung, Pemerintah sudah bersedia untuk mengubah pendiriannya.
"Khususnya di hospital-hospital, sebahagian kakitangan tidak beruniform sudah memakai tudung, dan kami melihat hubungan mereka baik dengan pesakit dan rakan sekerja," kata PM Lee.
Menyifatkannya sebagai "penyesuaian yang dibuat dengan berhati-hati demi memastikan keharmonian kaum dan agama dipelihara", PM Lee berkata beliau berharap langkah itu diterima dengan semangat yang betul.
7. PERBAHASAN "HAK ISTIMEWA KAUM CINA"
Dalam ucapan bahasa Mandarin beliau, PM Lee mengakui usaha yang dibuat oleh masyarakat Cina Singapura untuk memupuk kesaksamaan dan keharmonian kaum dalam tahun-tahun awal pembangunan negara.
Ini termasuk menerima dan menggunakan Inggeris sebagai lingua franca atau bahasa perantaraan supaya "masyarakat minoriti berasa lebih tenang", kata beliau.
"Penggunaan bahasa Inggeris meletakkan mereka yang hanya berbahasa Mandarin dan dialek dalam kedudukan tidak menguntungkan. Oleh itu, tidak berasas untuk mendakwa bahawa terdapat "hak istimewa kaum Cina" di Singapura," kata PM Lee.
Namun setelah berdekad-dekad hidup dalam keadaan aman, sebahagian rakyat Singapura berbangsa Cina mungkin mengambil ringan tentang keharmonian kaum dan bersikap kurang sensitif terhadap isu-isu perkauman, kata beliau.
Menyentuh tentang cabaran-cabaran yang dilalui masyarakat minoriti semasa menyewa rumah atau mencari pekerjaan di Singapura, PM Lee menarik perhatian terhadap perbezaan antara "perkara-perkara berkaitan kehidupan dan keputusan peribadi" serta "ruang yang dikongsi bersama oleh semua kaum dan secara langsung menjejas hubungan antara kaum".
"Jika kita membiarkan sahaja pilihan-pilihan majikan dan pemilik rumah sedemikian, mereka akan menjadi prejudis atau bersikap berat sebelah dan masyarakat minoriti akan berasa mereka didiskriminasi," kata PM Lee.
"Jika tidak ditangani, pilihan-pilihan sedemikian semakin lama akan memperdalam perselisihan faham dalam masyarakat kita. Oleh itu, kita semua harus menjunjung prinsip kesaksamaan kaum untuk membangunkan sebuah masyarakat lebih inklusif."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.