Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ini 6 daya tarikan baru di Taman Fort Canning

Ia termasuk galeri warisan yang memberi peluang kepada orang ramai mempelajari sejarah taman itu, manakala taman rempah-ratus yang diperluas menampilkan lebih banyak jenis tumbuh-tumbuhan dan herba.
 

Anggaran Waktu Membaca:
Ini 6 daya tarikan baru di Taman Fort Canning

Zon pengenalan Galeri Warisan Taman Fort Canning. (Gambar: NParks)

SINGAPURA: Sebuah galeri baru, yang menjejak warisan Taman Fort Canning, dan sebuah taman rempah-ratus yang diperluas dibuka di Taman Fort Canning pada Jumaat (26 Ogos).

Galeri warisan itu akan memberi peluang kepada orang ramai untuk mempelajari lebih lanjut mengenai sejarah taman itu, manakala taman rempah-ratus tersebut diperluas bagi menampilkan lebih banyak jenis tumbuh-tumbuhan, herba dan pokok rempah-ratus, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dalam kenyataan medianya.

Daya tarikan itu sepatutnya dibuka pada 2021 tetapi ditangguh disebabkan pandemik COVID-19 dan kekurangan tenaga manusia.

Berikut adalah butiran daya tarikan baru yang disediakan di Taman Fort Canning.

GALERI WARISAN

Ditempatkan di Pusat Fort Canning yang diperbaharui, galeri warisan itu mempunyai lima zon yang meliputi dua tingkat di bahagian selatan taman itu.

Tidak termasuk zon pengenalan, setiap zon mempunyai tema mengikut peranan khusus yang dimainkan Bukit Fort Canning dalam sejarah Singapura, jelas NParks.

Zon-zon bertema itu termasuk pembangunan Singapura sejak abad ke-14, pembangunan Bukit Fort Canning sebagai pangkalan tentera, perubahan bukit itu sejak berpuluh-puluh tahun lalu dan bukit tersebut semasa fasa pembangunan moden negara ini.

"Galeri itu menampilkan artifak-artifak arkeologi yang digali dari tapak-tapak dalam kawasan Taman Fort Canning dan pelbagai stesen interaktif digital," tambah NParks.

Galeri itu direka dengan rundingan bersama para ahli arkeologi dan sejarawan di seluruh Singapura.

PENGALAMAN DWIABAD

Zon terakhir Galeri Warisan Fort Canning juga akan menempatkan bilik teater kecil.

Ia akan menayangkan filem yang mempunyai rakaman dari acara Dwiabad Singapura pada 2019, yang berlangsung di Pusat Fort Canning.

Selain filem itu - yang bertajuk "From Singapore to Singaporean: The Bicentennial Experience" (Dari Singapura ke rakyat Singapura: Pengalaman Dwiabad) - set penuh kostum yang pernah dipakai para pelakon yang memainkan watak Sang Nila Utama dari Dwiabad Singapura juga akan dipamerkan.

TAMAN REMPAH-RATUS YANG DIPERTINGKAT

Taman rempah-ratus di Taman Fort Canning direka semula dan diperluas kawasannya kepada sekitar 3,200 meter persegi, dengan meliputi tiga zon: Taman Rempah-Ratus sebelum ini, Canning Rise dan Galeri Rempah-Ratus Fort Canning yang baru.

Ia kini menawarkan dua ciri air dan landskap yang dipertingkat.

Dengan lebih 180 jenis tumbuh-tumbuhan yang ditampilkan, ia adalah taman rempah-ratus yang paling pelbagai di Singapura.

Taman itu termasuk rempah-ratus seperti gambir dan lada - antara tanaman komersil terawal di Singapura.

Pokok-pokok rempah-ratus seperti buah pala dan cengkih juga ditampilkan. Ia memainkan peranan penting sebagai tanaman rempah-ratus komsersil utama di Singapua pada awal abad ke-19.

GALERI REMPAH-RATUS

Galeri Rempah-Ratus memanfaatkan sepenuhnya penggunaan ruang sedia ada dengan menggabungkan tanjakan pejalan kaki sebelum ini dengan jalan bawah tanah sepanjang Canning Rise, jelas NParks.

Panel-panel maklumat, paparan interaktif dan ciri tanaman yang dipilih secara khusus juga dipamerkan di Galeri Rempah-Ratus.

Jalan bawah tanah berbumbung itu mempunyai replika kedai runcit rempah-ratus dan kedai kopi tempatan untuk mengajar pengunjung tentang sejarah awal tanaman rempah-ratus di Singapura.

Ini termasuk paparan berkebun dalam bangunan dengan menggunakan lampu, bagi mempamerkan penggunaan teknologi dalam bidang berkebun.

BUKU FORT CANNING

Sebuah buku yang diterbitkan NParks bertajuk "Fort Canning Park: Heritage & Gardens" (Taman Fort Canning: Warisan & Taman-taman) juga dilancarkan.

Ia merakam sejarah dan konsep reka bentuk bagi sembilan taman berlandskap di kawasan itu.

Ia juga menampilkan kisah-kisah dan fakta mengenai haiwan, monumen warisan dan objek, serta bangunan di taman itu.

Ia boleh dibeli di pelabagai lokasi di sekitar Kebun Bunga Singapura atau di laman 'Gardens Shop'.

TEMBIKAR CINA

Tingkat tiga Pusat Fort Canning akan menempatkan Galeri@L3 yang baru, iaitu ruang seluas 210 meter persegi bagi mengadakan pameran dan acara, jelas NParks.

Pameran pertamanya, iaitu kolaborasi dengan Persatuan bagi Pengajian Tembikar Cina (SCCS), bertajuk "Kaleidoscope in Clay (I): Glazes and Forms through 5,000 years of Chinese Ceramics".

Sekitar 140 tembikar Cina daripada koleksi anggota SCCS akan dipamerkan, termasuk tembikar seawal lebih 4,000 tahun lalu.

Bersempena pameran itu, SCCS juga akan menganjurkan kursus 12 ceramah mengenai sejarah tembikar Cina.

Pratonton pameran bagi tembikar-tembikar yang dipilih akan berlangsung dari 26 Ogos hingga 11 Sep, dengan pameran penuh dibuka dari 7 Oktober hingga 10 Februari 2023.

Pameran kedua bertajuk "Kaleidoscope in Clay (II)" akan memberi tumpuan kepada tembikar dinasti Song dan Yuan. Ia akan berlangsung dari 24 Februari 2023 hingga 30 Jun 2023.

Semua pameran dibuka kepada orang ramai secara percuma.

Pembukaan Galeri Warisan Fort Canning dan Taman Rempah-Ratus yang diperluas diadakan sempena Pesta Malam Singapura.

Atas sebab ini, galeri tersebut akan melanjutkan waktu oeprasinya sehingga pukul 10.00 malam pada 27 Ogos.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan