Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inggeris terus jadi bahasa utama pentadbiran, pengajaran, tapi Melayu kunci bagi dalami warisan, identiti

Walaupun bahasa Inggeris akan terus menjadi bahasa utama bagi pentadbiran, pengajaran dan perdagangan, bahasa-bahasa ibunda seperti Bahasa Melayu menjadi kunci untuk rakyat Singapura memahami dengan lebih mendalam lagi diri mereka sendiri serta warisan dan identiti mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Walaupun bahasa Inggeris akan terus menjadi bahasa utama bagi pentadbiran, pengajaran dan perdagangan, bahasa-bahasa ibunda seperti Bahasa Melayu menjadi kunci untuk rakyat Singapura memahami dengan lebih mendalam lagi diri mereka sendiri serta warisan dan identiti mereka.

Demikian tekan Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan merangkap Pengangkutan, S Iswaran hari ini (6 Nov).

Beliau menarik perhatian betapa walaupun Singapura meluaskan ufuknya dan dicabar oleh globalisasi, rakyatnya perlu kekal "bersauh secara kukuh menerusi akar-akar budaya yang mendalam".

Sebagaimana melentur buluh dari rebungnya, masyarakat mesti memupuk golongan muda supaya mempunyai minat yang mendalam terhadap bahasa ibunda. Di sinilah kata Encik Iswaran, sumbangan guru-guru Bahasa Melayu sangat berharga dan sangat diperlukan.

Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan S Iswaran.

"Kita haruslah merebut setiap peluang untuk melengkapkan anak-anak kita dengan pengetahuan yang relevan, dan membolehkan mereka membuat keputusan bijak dalam melayari kehidupan.

"Dengan asas yang kukuh dalam Bahasa Ibunda, mereka akan lebih bersedia menjalin hubungan dengan orang dari setiap pelusuk dunia," kata Encik Iswaran.

Beliau berucap demikian di majlis penyampaian Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) ke-15 di mana lima guru Bahasa Melayu diumumkan sebagai pemenang AGAB tahun ini atas sumbangan cemerlang mereka dalam pendidikan dan pembelajaran Bahasa Melayu.

3 GURU DIIKTIRAF BAGI KATEGORI TELADAN

Salah seorang pemenang AGAB Kategori Teladan ialah Cikgu Mohd Fuad Salim, 47 tahun, dari Sekolah Menengah Springfield.

Meskipun mempunyai 22 tahun pengalaman mengajar, beliau sentiasa meningkatkan dirinya dengan mendakapi teknologi serta menyampaikan pengajaran secara autentik dan relevan.

Ini termasuk memperkenalkan kaedah podcast di sekolahnya - Podcasting@Springfield - dengan kerjasama Kelab Masyarakat Tampines West, demi meningkatkan kefasihan dan keyakinan berbahasa Melayu bagi para pelajarnya.

Ketua Subjek Bahasa Melayu di sekolahnya itu juga memimpin sekumpulan guru untuk memanfaatkan teknologi bagi mereka pakej-pakej pembelajaran online yang berkualiti untuk para pelajar mereka.

Itulah antara sumbangan dan pendekatan yang beliau laksanakan di sekolahnya sehingga diberi kepercayaan untuk dinobatkan sebagai penerima AGAB 2021.

"Anugerah ini satu pemangkin untuk saya meneruskan usaha saya untuk menjadikan bahasa Melayu satu bahasa yang hidup, dari segi digunakan dalam bahasa seharian dan bukan hanya di bilik darjah," kata beliau.

Dua lagi penerima Kategori Teladan ialah Cikgu Manisah Osman daripada Sekolah Rendah Yio Chu Kang dan Cikgu Zulhafiz Zainal daripada Sekolah Menengah Woodlands Ring.

Pada usia 31 tahun, Cikgu Zulhafiz mungkin antara penerima Kategori Teladan paling muda sejauh ini. Tapi itulah senjata istimewa yang digunakan di sebalik kematangannya mendidik pelajar.

"Saya cuba memahami apa yang mereka suka seperti sekarang mereka suka K-Pop, mereka suka anime. jadi walaupun saya tidak begitu memahami aspek-aspek ini, saya cuba mendalami aspek ini dan membawanya masuk ke dalam bilik darjah saya, mungkin melalui aktiviti-aktiviti dan sebagainya.

"Jadi mereka juga dapat keseronokan belajar dan mereka dapat lihat kerelevanannya dengan diri mereka," jelas beliau.

Cikgu Zulhafiz sebelum ini juga pernah diundang oleh Universiti Tun Abdul Razak di Malaysia untuk menyertai perbincangan kolaboratif dengan para pendidik di rantau ini bagi memahami implementasi dan cabaran-cabaran pembelajaran dari rumah - sesuatu yang cukup diperlukan semasa pandemik ini.

Guru veteran Cikgu Manisah Osman, 58 tahun pula mempunyai pengalaman luas 33 tahun dalam bidang pendidikan. Seorang Guru Kanan, beliau banyak terlibat dalam merancang dan mewujudkan kurikulum dan program Bahasa Melayu sekolahnya dengan menyertakan Taman Warisan Melayu, Bukit Chandu dan Kampong Gelam dalam pendidikannya.

Beliau juga aktif menyumbang kepada pembangunan profesional para guru Bahasa Melayu di sekolahnya menerusi rangkaian kolaborasi dengan para Guru Pakar di Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS) dan Jawatankuasa Penggalakan dan Pembelajaran Bahasa Melayu (MLLPC).

2 GURU DIPILIH BAGI KATEGORI PERANGSANG

Bagi Kategori Perangsang - untuk guru yang berkhidmat bawah 10 tahun - dua pemenang dipilih.

Mereka terdiri daripada Cikgu Nor Azlin Abdul Aziz dari Sekolah Rendah Blangah Risedan Cikgu Shaheda Salim dari Sekolah Rendah Perempuan Raffles.

Kedua-duanya diiktiraf kerana menggunakan kaedah yang inovatif dalam pengajaran Bahasa Melayu, khususnya menjadikannya lebih menyeronokkan.

Cikgu Shaheda, 34 tahun, yang juga Penyelaras Unit Bahasa Melayu di sekolahnya, berkata: "Mereka merupakan orang-orang yang akan meneruskan perjuangan kita untuk memartabatkan bahasa Melayu jadi saya rasa penting untuk kita melentur buluh biarlah dari rebungnya.

"Kalau kita berpaksikan pendirian ini memang wajar untuk kita mulakan memupuk minat dalam bahasa Melayu sejak awal lagi kerana ini akan membantu mereka untuk menguasai kemahiran bahasa Melayu tu secara semulajadi."

Cikgu Nor Azlin, 28 tahun, pula adalah penyelaras Unit Bahasa Melayu di sekolahnya, yang aktif menggunakan ICT seperti Plickers, Kahoot dan Nearpod untuk memancing minat murid kepada bahasa.

Beliau sebelum ini pernah diberikan Anugerah ICT Blangah Rise 2020.

Sumbangan lain beliau kepada bidang bahasa termasuklah melaksanakan program membaca kepada murid tadika yang dilakukan murid-murid Darjah 6. Program ini memberi peluang kepada para pelajar membina keyakinan dan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu mereka.

Kesemua pemenang AGAB itu juga berpeluang menyertai program pembangunan profesional yang dibiayai sepenuhnya.

Tahun ini mereka terpilih daripada sejumlah 204 pencalonan bagi 139 guru yang diterima antara Februari hingga April tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan