Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inflasi, vaksin COVID-19, atlit salah guna dadah antara isu dibahas di Parlimen 3 Okt

Anggaran Waktu Membaca:
Inflasi, vaksin COVID-19, atlit salah guna dadah antara isu dibahas di Parlimen 3 Okt

Gambar bangunan Parlimen yang dipetik pada 18 Jun 2022. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Kadar tinggi inflasi, perlindungan daripada vaksin COVID-19 yang belum dicairkan dan melindungi para atlit daripada penyalahgunaan dadah adalah antara agenda yang akan dibahaskan apabila Parlimen bersidang pada Isnin (3 Okt).

Menurut kertas arahan yang dikeluarkan pada Jumaat (30 Sep), para Anggota Parlimen (AP) sudah memfailkan lebih 90 soalan berkaitan topik yang luas, yang termasuk isu-isu pengambilan pekerja dan keprihatinan tentang kesejahteraan mental para pegawai polis.

AP Ang Wei Neng (PAP-West Coast) membangkitkan tentang kemungkinan mempercepatkan pengagihan baucar-baucar Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) ke suku ketiga 2022 dan bukan Januari tahun depan.

Beliau juga bertanya sama ada baucar CDC S$100 boleh diberikan kepada setiap rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas berbanding setiap keluarga.

Bahagian terkini baucar-baucar tersebut diagihkan kepada keluarga Singapura yang layak pada bulan Mei, menyusuli kumpulan pertama pada Disember tahun lalu. Sehingga 1.22 juta keluarga Singapura menerima baucar digital tersebut, yang boleh digunakan di pusat-pusat penjaja dan kedai-kedai di kejiranan.

Pertanyaan Encik Ang difailkan "memandangkan kadar inflasi yang terus-menerus meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini".

Inflasi teras Singapura melonjak 5.1 peratus pada Ogos, sebahagian besarnya disebabkan oleh kenaikan tinggi pada harga makanan dan perkhidmatan.

Kali terakhir Singapura melaporkan pertumbuhan lebih tinggi inflasi teras dari tahun ke tahun adalah pada November 2018, apabila ia mencatat 5.5 peratus.

AP Dr Wan Rizal (PAP-Jalan Besar) bertanya kepada Menteri Kesihatan Ong Ye Kung tentang perlindungan yang diambil untuk mencegah vaksin-vaksin yang belum dicairkan daripada disuntik. Ini menyusuli satu insiden di sebuah klinik di Hougang.
Pada 20 September, klinik tersebut dilaporkan memberikan dos-dos vaksin yang belum dicairkan kepada dua orang dewasa.

Salah seorang daripadanya perlu dimasukkan ke hospital setelah mengalami sakit kepala dan degupan jantung yang laju. Seorang lagi individu tidak mengadu tentang sebarang kesan sampingan.

Klinik dan doktor yang memberikan suntikan tersebut sudah digantung tugas di bawah Program Vaksinasi Nasional buat masa ini.

Para AP juga bertanya tentang pengakuan pengambilan dadah di luar negara oleh tiga perenang negara - juara Olimpik Joseph Schooling, Amanda Lim dan Teong Tzen Wei.

SportSG menyatakan pada Rabu (28 Sep) bahawa ia menggantung semua sokongan bagi ketiga-tiga atlit selama sebulan bermula 1 Oktober.
Dr Wan Rizal bertanya kepada Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Edwin Tong, sama ada terdapat langkah-langkah untuk melindungi para atlit berprestasi tinggi daripada penyalahgunaan dadah.

AP Darryl David (PAP- Ang Mo Kio) pula bertanya sama ada Pemerintah atau Persatuan Sukan-Sukan Nasional (NSA) menawarkan sebarang program untuk mendidik para atlit negara dan elit tentang bahaya dan perangkap akibat pengambilan dadah rekreasi serta yang mempertingkat prestasi.

Selain itu, beliau bertanya sama ada terdapat sebarang program untuk kerap menjalankan ujian ke atas para atlit bagi mengesan pengambilan dadah sedemikian.

Dua AP menyerahkan soalan-soalan kepada Menter Ehwal Dalam Negeri, K Shanmugam, berkaitan kesihatan mental para pegawai Home Team, selepas seorang pegawai dijumpai mati dengan kesan tembakan di Bayfront Avenue pada 19 September.

AP Zhulkarnain Abdul Rahim (PAP-Chua Chu Kang) bertanya sama ada terdapat langkah berjaga-jaga untuk sentiasa meniliai kesihatan mental dan kesejahteraan para pegawai polis dan polis tambahan yang membawa senjata, lebih-lebih lagi mereka yang menjalankan tugas dalam kalangan masyarakat awam.

AP Melvin Yong (PAP-Radin Mas) bertanya tentang jumlah pegawai Home Team yang meninggal dunia semasa berkhidmat dan berapa banyak daripadanya merupakan kes bunuh diri.

Beberapa AP menyerahkan soalan-soalan tentang isu pengambilan pekerja.

Ini termasuk satu daripada AP Jessica Tan (PAP-East Coast) berkaitan inisiatif-inisiatif untuk membawa pulang bakat rakyat Singapura yang berada di luar negara.

Beliau bertanya sama ada terdapat sokongan untuk membantu mereka dan keluarga mereka ditempatkan semula di Singapura.

Sementara itu, AP Gerald Giam (Parti Pekerja-Aljunied) bertanya kepada Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng sama ada terdapat perancangan untuk menyemak skim Pas Pekerjaan untuk memperkenalkan had baru nisbah tanggungan bagi pekerja yang berada paras separuh ke bawah tangga gaji.

Ini akan menggalak para majikan mempertingkat tenaga kerja rakyat Singapura dengan menggajikan dengan melatih lebih ramai bakat rakyat Singapura dan memindahkan kemahiran daripada pekerja hijrahan kepada tenaga kerja tempatan, kata beliau.

Empat Rang Undang-Undang Pemerintah juga akan diperkenalkan semasa Parlimen bersidang pada Isnin nanti.

Rang undang-undang itu ialah Rang Undang-Undang (Pindaan Lain) Keselamatan Online, Rang Undang-Undang (Penggabungan) Fungsi Perakaunan, Rang Undang-Undang (Pindaan) Persatuan Pembangunan Antarabangsa dan Rang Undang-Undang (Pindaan) Harga Karbon.

Terdapat juga bacaan kedua bagi empat rang undang-undang lain - iaitu Rang Undang-Undang (Pindaan Lain) Statut, Rang Undang-Undang (Pindaan) Cukai Pendapatan, Rang Undang-Undang (Pindaan) Amanah Perniagaan dan Rang Undang-Undang (Pindaan) Akauntan.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan