Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inflasi teras S'pura naik kepada 4.8% pada Jul; dipacu harga makanan, elektrik & gas lebih tinggi

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Aug 2022 03:21PM Dikemas Kini : 23 Aug 2022 10:02PM
SINGAPURA: Kadar inflasi teras di Singapura naik lagi kepada 4.8 peratus, sebahagian besarnya dipacu oleh kenaikan harga yang lebih tinggi bagi makanan, elektrik dan gas.

Demikian menurut data rasmi yang dikeluarkan pada Selasa (23 Ogos).

Kadar inflasi itu lebih tinggi berbanding 4.4 peratus yang dicatatkan pada Jun dan menjangkaui ramalan Reuters yang menganggarkan peningkatan sebanyak 4.7 peratus.

Kali terakhir Singapura melaporkan pertumbuhan yang lebih tinggi dari tahun ke tahun adalah pada November 2008 apabila inflasi teras mencecah 5.5 peratus.

Inflasi teras tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan privet.

Indeks harga pengguna atau inflasi keseluruhan meningkat kepada 7 peratus pada Julai berbanding setahun lalu, melepasi 6.7 peratus yang dilaporkan pada Jun.

"Selain inflasi teras yang lebih tinggi, kedua-dua inflasi pengangkutan privet dan penginapan juga naik pada Julai," menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan media bersama.

INFLASI KESELURUHAN MENINGKAT

Inflasi keseluruhan meningkat pada Julai disebabkan oleh inflasi yang lebih tinggi bagi makanan, elektrik, gas dan penginapan.

Kadar inflasi makanan juga lebih tinggi, mencecah 6.1 peratus pada Julai disebabkan oleh kenaikan harga khidmat makanan dan makanan yang belum dimasak.

Inflasi elektrik dan gas melonjak kepada 24 peratus pada Julai berbanding 20 peratus pada Jun berikutan kenaikan tarif elektrik dan gas yang lebih tinggi.

Inflasi penginapan juga meningkat disebabkan oleh kenaikan sewa rumah pada rentak yang lebih pantas dan mencecah 4.6 peratus pada Julai.

Inflasi perkhidmatan turut meningkat kepada 3.5 peratus pada Julai sedang kos khidmat pesakit luar, tambang penerbangan serta perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan mencatatkan peningkatan lebih tinggi.

Inflasi pengangkutan privet naik kepada 22.2 peratus berbanding 21.9 peratus pada Jun dek kenaikan harga kereta yang lebih kukuh.

Kadar inflasi untuk jualan runcit dan barangan lain
mencatatkan kadar peningkatan yang lebih perlahan iaitu 2.8 peratus pada Julai, sedang inflasi bagi peralatan telekomunikasi, ubat-ubatan dan produk kesihatan merosot.

Pada masa yang sama, kos barangan peribadi jatuh.

MASALAH RANTAIAN BEKALAN SEMAKIN MEREDA

Di peringkat global, masalah rantaian bekalan semakin mereda dan harga sesetengah komoditi kini mendatar.

Namun begitu, kadar inflasi global berkemungkinan kekal tinggi kerana pasaran komoditi utama terus menghadapi kekangan bekalan dan pasaran buruh di banyak ekonomi utama kekal ketat.

Selain itu, pemulihan untuk permintaan domestik bagi sesetengah ekonomi serantau sedang sekatan-sekatan COVID-19 dilonggarkan mungkin akan meningkatkan inflasi. Oleh itu, tekanan ke atas harga import Singapura dijangka berterusan.

"Bagi pasaran domestik, pasaran buruh kekal ketat, sekali gus memastikan pertumbuhan gaji kekal kukuh. Di tengah-tengah perbelanjaan pengguna yang kukuh, perniagaan-perniagaan mungkin akan mengalihkan kenaikan harga bahan api, perbekalan dan bahan import lain serta kos buruh kepada harga pengguna," menurut MAS dan MTI.

Oleh itu, tekanan inflasi akan kekal tinggi dalam masa beberapa bulan akan datang sebelum ia mula mereda menjelang akhir tahun.

Inflasi kereta dan penginapan juga berkemungkinan kekal kukuh sepanjang tahun ini.

Bagi keseluruhan tahun ini, inflasi keseluruhan diunjurkan antara 5 hingga 6 peratus, manakala inflasi teras diramalkan antara 3 dengan 4 peratus.

LANGKAH PEMERINTAH

Semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (21 Ogos), Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengatakan bahawa pemerintah bersedia untuk melakukan lebih banyak lagi sekiranya keadaan kenaikan kos bertambah buruk.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan