Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inflasi teras S'pura naik 3.6% pada Mei, tertinggi sejak 2008

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Jun 2022 04:42PM Dikemas Kini : 23 Jun 2022 08:47PM
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura meningkat pada bulan Mei kepada paras tertinggi sejak 2008, dipacu oleh kenaikan harga makanan dan perbekalan.

Inflasi teras, yang tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan privet, berada pada 3.6 peratus dari tahun ke tahun pada Mei, naik daripada paras tertinggi 10 tahun sebelumnya sebanyak 3.3 peratus pada April, menurut data rasmi yang dikeluarkan hari ini (23 Jun).

Indeks Harga Pengguna (CPI) utama, atau inflasi keseluruhan, mencecah 5.6 peratus dari tahun ke tahun pada Mei, menjangkaui 5.4 peratus yang dilaporkan pada April dan Mac.

INFLASI MENINGKAT PANTAS BAGI SEMUA SEKTOR

Inflasi makanan meningkat dari 4.5 peratus pada bulan Mei berbanding 4.1 peratus pada April, sedang harga khidmat makanan melonjak lebih kukuh, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam kenyataan media bersama.

Inflasi runcit dan barangan lain juga meningkat, mencatat 1.8 peratus pada Mei berbanding 1.6 peratus pada April, sedang harga pakaian dan kasut, barangan peribadi dan produk penjagaan peribadi terus meningkat.

Inflasi bagi tenaga elektrik dan gas meningkat kepada 19.9 peratus pada Mei berbanding 19.7 peratus pada April sedang harga purata pelan elektrik yang ditawarkan oleh syarikat Pasaran Terbuka Elektrik (OEM) meningkat pada rentak yang lebih pantas, menurut MAS dan MTI.

Inflasi perkhidmatan juga naik sedikit kepada 2.6 peratus daripada 2.5 peratus pada April disebabkan rentak pantas kenaikan dalam kos perbelanjaan percutian dan khidmat teksi serta kereta sewa privet.

Inflasi penginapan naik dari 0.1 peratus kepada 4 peratus pada Mei disebabkan kenaikan lebih tinggi dalam harga sewa rumah. Inflasi pengangkutan privet meningkat kepada 18.5 peratus daripada 18.3 peratus pada April, dengan harga petrol meningkat di tengah-tengah harga minyak global yang lebih tinggi.

MAS dan MTI mengumumkan bahawa tekanan inflasi luaran terus hebat di tengah-tengah kenaikan harga komoditi sejagat serta masalah rantaian bekalan yang berlarutan akibat konflik Rusia-Ukraine dan situasi COVID-19 serantau.

Dari sudut domestik pula, pasaran buruh dijangka "kekal sengit dan akan menyokong rentak kukuh kenaikan gaji sepanjang tahun ini".

Inflasi teras diunjurkan meningkat lagi pada bulan-bulan mendatang, menurut MAS dan MTI.

Bagaimanapun, ia dijangka sederhana menjelang hujung tahun ini, sedang "beberapa tekanan inflasi luaran semakin mereda".

Sungguhpun demikian, kedua-dua pihak memberi amaran bahawa risikonya tetap wujud, termasuk kejutan geopolitik dan yang berkaitan dengan pandemik.

Bagi keseluruhan tahun ini, inflasi utama diunjurkan antara 4.5 peratus dengan 5.5 peratus, manakala inflasi teras dijangka mencecah antara 2.5 peratus dengan 3.5 peratus.

BANTUAN YANG AKAN DIBERIKAN

Pada Selasa (21 Jun), Pemerintah mengumumkan bahawa pakej sokongan S$1.5 juta akan diberikan untuk menyediakan bantuan segera kepada kumpulan berpendapatan rendah dan lebih memerlukan untuk berdepan kenaikan inflasi.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan