Skip to main content

Singapura

Inflasi teras SG turun kepada 3.8% pada Julai, terendah dalam setahun

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura terus menyusut dan jatuh kepada 3.8 peratus pada Julai berbanding setahun sebelumnya, iaitu paras terendah dalam tempoh lebih setahun.

Penurunan dari 4.2 peratus pada Jun disebabkan kenaikan lebih rendah harga makanan dan kejatuhan kos elektrik dan gas.

Demikian menurut Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) pada Rabu (23 Ogos).

Kali terakhir inflasi teras berada di bawah 3.8 peratus adalah pada Mei 2022, pada 3.6 peratus.

Inflasi teras naik kepada 5.5 peratus pada Februari dan Januari lalu, iaitu paras tertinggi dalam 14 tahun, sebelum terus jatuh pada bulan-bulan seterusnya.

Inflasi teras tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan privet.

Inflasi keseluruhan jatuh kepada 4.1 peratus pada Julai berbanding tahun sebelumnya, lebih rendah daripada 4.5 peratus pada Jun.

"Ia disebabkan inflasi pengangkutan lebih rendah, selain kejatuhan inflasi teras," dedah MTI dan MAS.

SEKTOR

Inflasi makanan jatuh kepada 5.3 peratus pada Julai sedang kadar kenaikan harga makanan sudah dimasak dan belum dimasak mula sederhana.

Kos elektrik dan gas jatuh 1.6 peratus disebabkan tarif lebih rendah berbanding setahun lalu.

Tarif elektrik buat isi rumah yang dilaraskan, termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), jatuh pada kadar lebih tinggi 7.2 peratus untuk suku ketiga tahun ini, dibandingkan kepada penurunan 0.9 peratus pada suku sebelumnya.

Tarif gas jatuh 4.2 peratus pada suku ketiga, berbanding kenaikan 1.0 peratus pada suku kedua.

Inflasi barangan runcit dan lain-lain jatuh 2.6 peratus disebabkan kenaikan harga pakaian dan kasut yang lebih kecil.

Inflasi khidmat perkhidmatan tidak berubah dan kekal pada 3.6 peratus dengan kenaikan kos yang lebih kecil dalam perkhidmatan jagaan pesakit luar hospital dan kemerosotan harga tambang penerbangan yang diimbangi dengan kenaikan perbelanjaan bagi percutian.

Inflasi penginapan naik kepada 4.6 peratus disebabkan kenaikan pada caj perkhidmatan dan penyenggaraan dibandingkan setahun lalu.

RAMALAN

Inflasi teras dijangka semakin sederhana buat beberapa bulan akan datang sedang kos import kekal rendah dibandingkan kadar setahun lalu dan kekangan pasaran domestik mula dilonggarkan, kata MAS dan MTI.

Secara keseluruhannya untuk 2023, inflasi utama dijangka akan berada antara 4.5 hingga 5.5 peratus, manakala inflasi teras dijangkakan antara 3.5 hingga 4.5 peratus.

Tidak termasuk kesan sampingan akibat kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 1 peratus, inflasi utama dan teras masing-masing dijangkakan pada 3.5 hingga 4.5 peratus dan 2.5 hingga 3.5 peratus.

Dengan peningkatan kuota Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) dan kenaikan unit perumahan untuk disewa, inflasi pengangkutan dan penginapan dijangka akan sederhana sepanjang tahun.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita