Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inflasi teras SG turun kepada 1.8% pada Dis; paras paling rendah sejak Nov 2021

Inflasi teras Singapura turun kepada 1.8 peratus pada Disember lalu berbanding setahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Jan 2025 05:21PM Dikemas Kini : 23 Jan 2025 10:08PM
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura turun kepada 1.8 peratus pada Disember lalu berbanding setahun lalu.

Penurunan itu disebabkan oleh penyederhanaan dalam inflasi perkhidmatan, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Khamis (23 Jan).

Kali terakhir kadar inflasi teras berada pada paras lebih rendah adalah pada November 2021, di mana ia mencatat 1.6 peratus.

Mengikut penyesuaian bulanan, inflasi teras - yang tidak termasuk penginapan dan pengangkutan privet - meningkat sebanyak 0.5 peratus.

Sementara itu, kadar inflasi keseluruhan kekal tidak berubah sebanyak 1.6 peratus pada Disember lalu berbanding setahun lalu.

"Ini disebabkan oleh kadar inflasi teras dan inflasi penginapan lebih rendah yang dipacu oleh penurunan sederhana dalam kos pengangkutan privet," menurut MAS dan MTI.

Mengikut penyesuaian bulanan, inflasi keseluruhan - yang tidak termasuk perbelanjaan bukan penggunaan seperti pembelian rumah, saham dan aset kewangan lain serta cukai pendapatan - meningkat 0.3 peratus.

Bagi keseluruhan 2024, purata inflasi teras adalah 2.7 peratus, turun daripada 4.2 peratus pada 2023.

Inflasi keseluruhan adalah 2.4 peratus pada 2024, berbanding 4.8 peratus pada tahun sebelumnya.

SEKTOR

Kos pengangkutan privet jatuh pada rentak lebih perlahan daripada -0.7 peratus pada November kepada -0.1 peratus pada Disember disebabkan oleh penurunan kecil dalam harga kereta.

Inflasi perkhidmatan juga turun daripada 2.2 peratus kepada 1.8 peratus.

Kadar inflasi mereda setelah perbelanjaan untuk percutian merosot dan kos pengangkutan awam meningkat pada rentak lebih perlahan.

Sementara itu, inflasi penginapan susut kepada 2.2 peratus daripada 2.4 peratus disebabkan oleh kenaikan sedikit dalam harga sewa rumah.

Inflasi elektrik dan gas kekal tidak berubah pada 2.5 peratus, kerana harga elektrik dan gas meningkat pada kadar yang sama pada November dan Disember lalu.

Inflasi barang runcit dan barangan lain pula meningkat sedikit kepada 0.3 peratus daripada 0.1 peratus pada November lalu.

"Inflasi runcit dan barangan lain meningkat disebabkan oleh kemerosotan sedikit dalam harga barang peribadi, di samping kenaikan lebih tinggi dalam harga ubat-ubatan dan produk kesihatan," menurut MAS dan MTI.

Kadar inflasi makanan juga meningkat daripada 2.4 peratus kepada 2.5 peratus disebabkan oleh kenaikan lebih tinggi dalam harga makanan yang tidak dimasak.

UNJURAN

MAS dan MTI menyatakan tekanan harga komoditi global diramalkan terus terkawal di tengah-tengah keadaan bekalan yang menggalakkan.

Sementara itu, sejajar dengan inflasi global yang mereda dan kadar pertukaran dolar Singapura berwajaran perdagangan yang semakin mengukuh, harga barang perkilangan import juga terus merosot.

Di Singapura, kos buruh unit diramalkan meningkat secara bertahap-tahap, di samping pertumbuhan gaji nominal dan daya pengeluaran yang semakin meningkat.

"Sejajar dengan itu, inflasi perkhidmatan yang semakin mereda, dijangka lebih rendah pada tahun ini," menurut MAS dan MTI.

"Disebabkan oleh faktor-faktor tersebut, inflasi teras MAS diramalkan merosot pada 2025 berbanding 2024."

Sementara itu, kadar inflasi keseluruhan mungkin berkurangan pada 2025 disebabkan oleh "jangkaan kenaikan dalam inflasi pengangkutan privet daripada kadar rendah pada 2024 yang seharusnya dapat diimbangi oleh kadar inflasi teras dan penginapan yang lebih rendah", menurut MAS dan MTI.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan