Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inflasi teras SG naik lagi kepada 5.3% pada Sep, hampir capai paras tertinggi dalam 14 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Oct 2022 02:18PM Dikemas Kini : 25 Oct 2022 09:19PM
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura naik lagi kepada 5.3 peratus pada September, sebahagian besarnya dipacu kenaikan harga makanan, perkhidmatan dan runcit serta barangan yang lebih tinggi.

Demikian menurut data rasmi pada Selasa (25 Okt).

Kadar itu lebih tinggi berbanding 5.1 peratus yang dicatatkan pada Ogos dan hampir mencapai paras tertinggi dalam tempoh 14 tahun.
 
Kali terakhir Singapura mencatat pertumbuhan inflasi teras lebih tinggi dari tahun ke tahun adalah pada November 2008 apabila ia mencecah 5.5 peratus.

Inflasi teras tidak termasuk kos penginapan dan pengangkutan privet.

Indeks harga pengguna utama atau inflasi keseluruhan pada September tidak berubah berbanding Ogos, meningkat 7.5 peratus daripada tahun lalu.

"Inflasi teras diramal terus tinggi dalam beberapa suku akan datang sebelum menjadi perlahan pada (separuh kedua) 2023 berikutan pasaran buruh beransur pulih dan inflasi global menjadi sederhana," menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) dalam satu kenyataan media bersama.

Harga makanan lebih tinggi disebabkan kenaikan lebih tinggi bagi harga khidmat makanan dan makanan belum dimasak, mencecah 6.9 peratus pada September.

Inflasi penginapan juga naik pada rentak lebih pantas dengan harga sewa rumah, mencecah 4.9 peratus pada September.

Kos perkhidmatan meningkat kepada 4 peratus pada September disebabkan peningkatan besar pada harga pengangkutan dan perbelanjaan percutian.

Inflasi pengangkutan privet bagaimanapun jatuh kepada 22.3 peratus berbanding 24.1 peratus pada Ogos disebabkan kenaikan harga kereta dan petrol yang lebih perlahan.

Harga runcit dan barangan yang lain pula meningkat pada rentak lebih pantas, sebanyak 3.1 peratus pada September, dengan kos peralatan telekomunikasi, ubat-ubatan dan produk kesihatan serta produk penjagaan diri yang lebih mahal.

Sementara itu, harga elektrik dan gas kekal tidak berubah berbanding Ogos sebanyak 23.9 peratus.

Keseluruhan inflasi tahun ini dijangka sekitar enam peratus, sementara inflasi teras MAS diunjurkan pada sekitar empat peratus.

Pada 2023, inflasi utama diunjurkan pada purata 5.5 peratus hingga 6.5 peratus, manakala inflasi teras diramalkan antara 3.5 peratus dengan 4.5 peratus,dengan mengambil kira kesemua faktor termasuk kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Tidak termasuk kesan sementara kenaikan GST, inflasi utama dijangka pada 4.5 peratus hingga 5.5 peratus, dan inflasi teras pula pada 2.5 peratus hingga 3.5 peratus.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan