Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inflasi teras SG naik kepada 5.5% bulan lalu; tertinggi sejak Nov 2008

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura meningkat kepada 5.5 peratus pada Januari berbanding tempoh yang sama setahun lalu, yang merupakan paras tertinggi sejak November 2008, dedah data rasmi pada Khamis (23 Feb).

Paras itu naik daripada 5.1 peratus yang dicatatkan pada Disember tahun lalu. Inflasi teras kekal tidak berubah selama tiga bulan dari Oktober hingga Disember tahun lalu.

Kenaikan pada bulan Januari itu dipacu oleh kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang lebih tinggi, serta inflasi yang meningkat bagi perkhidmatan, makanan dan runcit serta barangan lain, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Indeks harga pengguna teras naik sebanyak 0.8 peratus pada bulan Januari berbanding bulan sebelumnya, yang sebahagiannya disebabkan oleh kesan sekali sahaja kenaikan GST sebanyak satu peratus dan kesan musiman yang dikaitkan dengan Tahun Baru Cina, jelas MAS dan MTI.

Kali terakhir inflasi teras Singapura mencecah 5.5 peratus adalah pada November 2008.

Inflasi teras tidak termasuk kos penginapan dan kos pengangkutan privet.

Indeks harga pengguna utama, atau inflasi keseluruhan, adalah 6.6 peratus pada Januari tahun ini berbanding setahun lalu, iaitu lebih tinggi berbanding 6.5 peratus yang dicatatkan pada Disember 2022. Ini mencerminkan kenaikan inflasi teras dan inflasi penginapan yang lebih tinggi.

Inflasi teras dijangka kekal pada paras melebihi 5 peratus tahun ini berbanding tahun lalu pada suku pertama 2023, dan kekal tinggi bagi separuh pertama tahun ini.

Ia diunjurkan menjadi perlahan "pada paras yang semakin boleh diramal" pada separuh kedua tahun ini sedang pasaran buruh domestik yang lebih ketat kian dilonggarkan dan inflasi global menjadi lebih sederhana, menurut MAS dan MTI.

Bagi 2023, inflasi keseluruhan diramal mencecah antara 5.5 peratus dengan 6.5 peratus, manakala inflasi teras dijangka antara 3.5 peratus dengan 4.5 peratus.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan