Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Inflasi teras SG naik kepada 3.6% pada Februari kerana perbelanjaan sempena Tahun Baharu Cina

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura naik 3.6 peratus dari tahun ke tahun pada Februari, iaitu yang paling tinggi sejak Julai 2023.

Sebahagian besarnya disebabkan kesan perbelanjaan sempena Tahun Baharu Cina.

Jumlah tersebut naik daripada 3.1 peratus pada Januari dan lebih tinggi daripada 3.4 peratus yang diunjurkan tinjauan ahli ekonomi Reuters.

"Ini didorong oleh inflasi perkhidmatan dan makanan yang lebih tinggi, sebahagiannya mencerminkan kesan bermusim yang dikaitkan dengan Tahun Baharu Cina," kata Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Isnin (25 Mac).

Inflasi teras tidak termasuk pengangkutan privet dan kos penginapan. Catatan pada Februari merupakan yang tertinggi sejak Julai 2023 apabila ia berada pada 3.8 peratus.

Inflasi keseluruhan juga naik kepada 3.4 peratus tahun ke tahun pada Februari, daripada 2.9 peratus pada Januari disebabkan kos penginapan yang lebih tinggi.

Inflasi penginapan naik kepada 3.9 peratus daripada 2.1 peratus pada Januari, kerana rebat Bayaran Perkhidmatan dan Penyenggaraan (S&CC), yang diagihkan pada Januari, tidak diagihkan pada Februari.

Inflasi perkhidmatan naik kepada 4.2 peratus pada Februari daripada 3.3 peratus pada Januari, disebabkan kos penerbangan perbelanjaan ketika bercuti yang lebih tinggi.

Inflasi makanan naik kepada 3.8 peratus berbanding 3.3 peratus pada Januari, sedang harga makanan sudah dimasak dan belum dimasak meningkat pada kadar lebih laju.

Inflasi elektrik dan gas turun kepada 5.3 peratus disebabkan kadar kenaikan kos elektrik yang lebih perlahan.

Inflasi pengangkutan privet jatuh daripada 2.9 peratus pada Januari kepada 1.4 peratus pada Februari disebabkan kadar kenaikan harga kereta lebih perlahan, yang mencerminkan premium Sijil Hak Memiliki Kenderaan (COE) lebih rendah.

RAMALAN

Menurut MAS dan MTI, inflasi teras dijangka meneruskan trend sederhana sepanjang tahun, sedang tekanan kos import terus merosot dan ketegangan dalam pasaran buruh domestik berkurangan.

MAS dan MTI mengunjurkan kedua-dua inflasi keseluruhan dan teras kepada purata 2.5 peratus hingga 3.5 peratus bagi 2024.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan