Skip to main content

Singapura

Inflasi teras SG naik kepada 2.7% pada Ogos, kenaikan pertama dalam 6 bulan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Sep 2024 05:30PM Dikemas Kini : 23 Sep 2024 11:51PM
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura meningkat kepada 2.7 peratus, berbanding setahun lalu pada Ogos, iaitu kali pertama ia melonjak dalam tempoh enam bulan.

Kali terakhir inflasi teras Singapura naik adalah pada Februari lalu.

Kenaikan pada Ogos daripada 2.5 peratus yang dicatatkan pada Julai lalu sebahagian besarnya dipacu oleh peningkatan inflasi perkhidmatan.

Demikian menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Isnin (23 Sep).

Para ahli ekonomi yang ditinjau Reuters meramalkan perangkaan sebanyak 2.6 peratus pada Ogos.

Inflasi keseluruhan atau utama pada bulan Ogos mereda kepada 2.2 peratus dalam perbandingan tahun ke tahun, kerana kemerosotan dalam harga pengangkutan privet lebih daripada mengimbangi kenaikan inflasi teras.

Inflasi teras tidak termasuk penginapan dan pengangkutan privet.

Mengikut perbandingan bulanan, inflasi teras melonjak 0.3 peratus manakala, inflasi keseluruhan meningkat sebanyak 0.7 peratus.

Inflasi perkhidmatan meningkat kepada 3.3 peratus pada Ogos, naik daripada 2.9 peratus pada bulan sebelumnya. Ini disebabkan oleh perbelanjaan percutian yang melonjak dengan lebih kukuh sementara tambang penerbangan mencatatkan penurunan yang lebih kecil.

Inflasi runcit dan barangan lain, juga melonjak kepada 0.4 peratus pada Ogos, iaitu kenaikan kecil daripada 0.3 peratus pada Julai. Ia disebabkan oleh kenaikan harga lebih tinggi dalam harga barangan rumah yang tidak tahan lama.

Inflasi penginapan susut kepada 2.9 peratus pada Ogos, berbanding 3.1 peratus pada Julai, sedang harga sewa perumahan naik pada kadar lebih perlahan.

Inflasi pengangkutan privet mencatatkan paras pada -1 peratus pada Ogos, berbanding 0.9 peratus pada Julai. Penyusutan itu adalah disebabkan kemerosotan yang lebih besar dalam harga kereta, sekalipun harga petrol meningkat pada kadar yang lebih perlahan.

Inflasi elektrik dan gas kekal tidak berubah pada 6.6 peratus pada Ogos memandangkan kenaikan lebih kecil dalam harga elektrik diimbangi dengan peningkatan yang lebih besar dalam harga gas.

Inflasi makanan juga kekal tidak berubah pada 2.7 peratus pada Ogos, kerana kenaikan dalam inflasi barangan makanan tidak dimasak diimbangi oleh penurunan dalam inflasi perkhidmatan makanan.

PROSPEK

Inflasi teras Singapura dijangka "kekal pada trend yang sederhana secara bertahap-tahap" sepanjang suku ini, dan mereda dengan lebih lanjut pada suku keempat, jelas MAS dan MTI.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita