Skip to main content

Singapura

Inflasi teras SG naik buat dua bulan berturut-turut

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Inflasi teras Singapura meningkat kepada 2.8 peratus pada September, meningkat untuk dua bulan berturut-turut.

Ia sebahagian besarnya disebabkan oleh inflasi runcit dan barangan lain yang meningkat, menurut Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada Rabu (23 Okt).

Tinjauan Reuters terhadap ahli ekonomi meramalkan angka tidak berubah sebanyak 2.7 peratus untuk September.

Berbanding tahun ke tahun, inflasi keseluruhan turun kepada 2 peratus pada September berbanding 2.2 peratus pada Ogos, didorong terutamanya kejatuhan lebih tinggi harga pengangkutan privet yang mengimbangi peningkatan inflasi teras, kata MAS dan MTI.

Inflasi teras tidak termasuk kos tempat tinggal dan pengangkutan privet untuk mencerminkan perbelanjaan isi rumah di Singapura dengan lebih ketara.

Berbanding bulan ke bulan, inflasi teras meningkat sebanyak 0.1 peratus manakala inflasi keseluruhan naik sebanyak 0.3 peratus.

Inflasi runcit dan barangan lain meningkat kepada 0.8 peratus pada September berbanding 0.4 peratus pada Ogos kerana terdapat penurunan lebih kecil dalam harga pakaian dan kasut.

Harga elektrik dan gas merosot kepada 6.3 peratus pada September daripada 6.6 peratus pada Ogos disebabkan rentak kenaikan yang lebih perlahan.

Inflasi makanan pada September turun sedikit kepada 2.6 peratus daripada 2.7 peratus pada Ogos disebabkan harga makanan yang meningkat pada kadar lebih perlahan.

Inflasi perkhidmatan kekal pada 3.3 peratus kerana kejatuhan dalam yuran perkhidmatan telekomunikasi secara amnya diimbangi oleh peningkatan lebih besar dalam yuran tuisyen dan yuran lain, perbelanjaan percutian dan kos insurans kesihatan.

Inflasi kos tempat tinggal pada September merosot kepada 2.7 peratus daripada 2.9 peratus pada Ogos disebabkan kadar kenaikan sewa rumah yang perlahan.

Sementara itu, harga pengangkutan privet turun 2.4 peratus berbanding 1 peratus pada Ogos disebabkan penurunan harga kereta pada kadar lebih tinggi di samping harga petrol yang lebih rendah.

Walaupun harga tenaga global tidak menentu sejak beberapa minggu kebelakangan ini, ia secara amnya kekal di bawah paras setahun lalu, kata MAS dan MTI.

"Harga barangan import Singapura juga kekal lebih rendah secara keseluruhannya," tambah agensi tersebut.

Pada masa yang sama, inflasi perkhidmatan kekal sederhana dan akan terus menurun sepanjang tahun ini.

MAS dan MTI juga berkata pengukuhan secara beransur-ansur kadar pertukaran dolar Singapura akan harus terus meredakan inflasi import Singapura.

"Di peringkat domestik, kos buruh seunit diunjurkan meningkat secara beransur-ansur selain menyederhanakan pertumbuhan gaji nominal dan meningkatkan produktiviti," tambahnya.

Oleh itu, inflasi teras Singapura "dijangka kekal pada aliran sederhana dan mencapai sekitar 2 peratus" menjelang akhir 2024, kata MAS dan MTI.

Inflasi teras diunjurkan berada pada purata 2.5 peratus hingga 3 peratus pada 2024 dan terus menurun kepada 1.5 peratus hingga 2.5 peratus pada 2025.

“Sementara itu, inflasi tempat tinggal dijangka turun lebih rendah tahun depan memandangkan permintaan bagi sewa rumah menjadi sederhana, kata MAS dan MTI.

Dengan mengambil kira faktor-faktor tersebut, inflasi keseluruhan dijangka berada dalam lingkungan sekitar 2.5 peratus untuk keseluruhan 2024 dan purata antara 1.5 peratus dan 2.5 peratus pada 2025.

"Risiko kepada unjuran inflasi secara relatifnya seimbang. Dalam negeri, keadaan pasaran buruh yang lebih kukuh daripada jangkaan boleh membawa kepada kelonggaran yang lebih perlahan dalam pertumbuhan kos buruh seunit," kata MAS dan MTI.

"Keadaan geopolitik yang semakin tegang pula boleh membawa kepada harga komoditi yang lebih tinggi dan menambah kos import. Sebaliknya, kemerosotan yang ketara dalam ekonomi global boleh mendorong pengurangan lebih besar pada tekanan kos dan harga, menyebabkan inflasi domestik lebih rendah daripada yang dijangkakan."
Sumber : CNA/SU/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita